Banjir air mata - Utusan Malaysia

Banjir air mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hujan semakin lebat. Sudah tiga hari langit gelap gelemat. Matahari langsung tidak menyinar. Petak-petak sawah serta kawasan rendah mulai digenangi air.
Mat Seman bangun dari tempat duduk. Kemudian dia mencapai kain batik lepas dan diikat di kepala. Tanpa memakai baju dia turun dari rumah menuju ke belakang. Air hampir-hampir melimpahi tebing parit besar. Dia memandang sekeliling. Dan tumpuannya kini adalah ke kandang lembunya. Air mulai memasuki ke kawasan kandang. Dia sedang menghitung jumlah lembunya. Hujan lebat yang mencurah langsung tidak dihirau.
Mat Seman naik semula ke atas rumah. Sambil memerah kain batik lepas yang basah, dia melabuhkan punggung di bendul.
“Air sudah nak limpah tebing parit.”
“Tebing parit besar belakang rumah kita?” Soal Mek Timah isteri Mat Seman
“Ya.”
“Aku bimbang.”
Memang Mat Seman dalam kebimbangan. Mek Timah pun merasa bimbang. Bimbang melihat kegelisahan suaminya. Setiap kali musim tengkujuh tiba. Setiap kali hujan mencurah-curah, kegusaran mula melanda suaminya.
“Aku nak ke Banggol Tengah, Timah. Aku nak mencari tempat tinggi yang tidak tenggelam air.” Mat Seman mencapai sabit yang sedia terselit di dinding dan turun ke halaman rumah. Berbekal sebuah saman peneduh basah, dia membelah hujan yang masih lebat.
Mat Seman menuju ke Banggol Tengah. Hanya di sini sahaja tempat yang agak tinggi. Kawasan ini jarang ditenggelami banjir, kecuali pada tahun 2014.
Di atas banggol ini lembu-lembunya akan selamat. Mat Seman akan pindahkan kesemua 19 ekor lembunya ke sini dengan segera. Akan dipindahkan sebelum air menenggelamkkan Kampung Gelam. Mat Seman tahu kerja-kerja memindah memakan masa.
Kesemua 19 ekor lembu itu perlu diikat dan dijerat dengan tali serawan. Mengikat tali ke tengkuk lembu bukan kerja mudah. Ia memerlukan kepakaran. Yang kecil-kecil juga perlu dijerat. Mat Seman memerlukan tali yang banyak. Mek Timah juga mesti membantunya.
Mat Seman tidak sanggup lagi peristiwa 2014 berulang. Peristiwa duka bila 30 ekor lembunya dihanyutkan banjir. Dia masih ingat peristiwa pagi itu. Sebaik saja dia sedar pada waktu subuh hari itu, air sudah melimpah. Kandang lembunya habis tenggelam. Seekor pun lembunya tidak ada. Semuanya hanyut dibawa arus. Kiri kanan rumahnya seperti lautan. Dia anak-beranak pun hanya sempat berpindah dengan menaiki sampan.
Lebih setahun Mat Seman berduka. Banyak kerugian dia alami. Hampir seratus ribu ringgit hilang dalam sekelip mata. Dia mengambil masa yang lama untuk menternak semula.
Dia cukup memilih dan berhati-hati hendak membeli lembu betina dan lembu jantan kacukan Kelantan Kedah untuk dijadikan baka. Akhirnya dengan penuh tekun dia menternak semula. Dari sebulan ke sebulan dia menjaga lembu-lembunya dengan penuh perhatian. Setiap pagi ketika mengheret lembunya keluar dari kandang, hatinya sebak. Sebak mengenangkan peristiwa dulu. Dia kehilangan lembu yang banyak.
Dia mencerut rumput pagi dan petang. Daun-daun rumput yang dibawa ke kandang akan di rintik-rintik dengan air garam. Dia mahu mempastikan lembu-lembunya memakan rumput sepanjang masa. Dia ingin memastikan lembunya tidak lapar.
Dia inginkan lembu bakanya cepat segar dan subur. Biar lembunya gemuk dan berisi. Dia mahu memastikan lembunya cepat bunting dan beranak. Dia juga mahu mempastikan anak-anak lembunya cepat membesar. Cukup dua tahun dia akan menjualnya. Dia ingin mendapat hasil ternakannya.
Setiap pembeli akan geram melihat peliharaannya. Pembeli akan menerima berapa saja harga yang akan dia tawarkan nanti. Pembeli tidak akan rugi jika membeli lembunya, jika lembu tersebut disembelih dan dijual secara runcit. Daging lembunya ada keistimewaan. Daging lembunya tidak akan berlemak. Isinya merah dan terasa manis. Sama ada bila dibakar, digulai atau dibuat sup.
Jika seekor lembu jantan cukup umur, dia mampu menjual sehingga RM4,000. Dia yakin pembeli tidak akan rugi jika dagingnya dijual runcit. Harga runcit daging dan hati sekarang mencecah sehingga RM35 sekilo. Harga tulang dan perut muda juga mencecah RM25 sekilo. Pendek kata peraih tidak akan rugi.
Mat Seman tidak banyak membuang masa. Persekitaran tanah tinggi di Banggol Tengah dibersihkannya. Dua pohon pokok kerian sebesar pemeluk akan dijadikan tempat menambat lembu. Dia mencatas daun-daun palas hutan untuk dijadikan peneduh dan atap. Pokok-pokok gelam paya sebesar betis akan dijadi bahan membuat bangsal sementara. Di situlah akan menjadi tempat Mat Seman berteduh dari basah sambil menunggu lembu-lembunya.
Keselamatan lembunya mesti diutamakan. Jika lembu terselamat dari banjir, mungkin lembunya tidak terselamat dari manusia. Ramai juga manusia yang menunggu masa untuk mencuri. Mat Seman tahu manusia seperti itu masih ada di Kampung Gelam. Mereka hanya mengintai peluang sahaja. Jika kita lepa dan lalai tentu lembu akan hilang.
Musim banjir tahun lepas lembu Pak Su Najib hilang entah ke mana. Khabarnya dicuri waktu tengah malam. Lembu itu disembelih dan dilapah di dalam semak belakang madrasah. Pak Su Najib hanya gigit jari.
Menjelang Maghrib bangsal sementara telah siap. Mat Seman mula mencari kayu-kayu dan ranting-ranting kering. Kesemuanya dihimpun di bawah bangsal supaya cepat kering. Kesemuanya itu akan dijadikan bahan bakar semasa menjaga lembu nanti. Unggun api akan dinyalakan sepanjang malam untuk menghilangkan kesejukan lembu-lembu.
Ketika melangkah pulang ke rumah, hujan masih turun dengan lebat. Air semakin banyak. Sebahagian besar batas-batas padi sudah tenggelam. Mat Seman mempercepatkan langkahnya. Bagaimana keadaan rumahnya saat ini? Bagaimana keadaan lembu di dalam kendang? Bagaimana keadaan air di dalam parit besar di belakang rumahnya?
Sebaik saja sampai di halaman rumah, air sudah melepasi labu betis. Air di dalam parit besar telah melimpahi ke kandang lembunya. Azan Maghrib bergema dari madrasah Kampung Gelam sebaik saja dia melangkah naik ke atas rumah. Mek Timah tiba-tiba muncul di beranda dengan wajah gusar.
“Seharian abang tak makan. Abang pergi ke mana?” Rungut Mek Timah.
“Aku ke Banggol Tengah, siapkan tempat hendak pindahkan lembu. Lembu-lembu kita itu perlu diselamatkan.”
“Kalau ya pun, naiklah dulu. Makanlah dulu.”
“Saya pun sudah berkemas.”
“Berkemas?”
“Air makin naik bang. Jika perlu kita kena berpindah.”
Mat Seman mengeluh berat. Dia melihat beberapa bungkusan pakaian dan makanan berada di tepi dinding. Dia melangkah ke dapur. Dia duduk dan bersila di hadapan hidangan yang telah lama disediakan Mek Timah. Dia menjamah nasi berlaukkan ikan keli gulai kuning. Tidak sampai tiga mulut dia berhenti. Setelah menutup saji dia bergegas ke perigi mengambil wuduk. Usai solat fardu Maghrib Mat Seman bergegas turun dari rumah.
“Abang nak ke mana pula?” Tegur Mek Timah
“Aku mesti pindahkan lembu-lembu sekarang juga.”
Mat Seman mencapai beberapa utas tali nylon. Di halaman rumah, air sudah naik ke paras lutut.
“Kau pun kena tolong juga Timah. Kita mesti heret keluar anak-anak lembu yang kecil dulu,” laung Mat Seman.
Tanpa apa-apa jawapan, Mek Timah bergegas turun. Dia mengharungi air yang sedang naik menuju ke kandang.
Mat Seman mula mengheret Jantan dan ibu induk yang dibelinya tahun 2015. Kemudian Mek Timah mengheret tiga ekor anak-anak lembu yang berumur setahun. Berpandukan lampu suluh di dahi masing-masing suami isteri itu meredah air separas lutut. Mereka berdua meredah malam. Mereka meredah hujan yang amat lebat.
Selesai menambat kelima-lima ekor lembu, Mek Timah menyalakan api. Agak payah juga hendak hidup. Daun-daun dan ranting kering yang masih lembab mula menyala. Mat Seman mengambil tongkol kayu lama dan diletak dalam bara api itu.
Ketika persekitaran Banggol Tengah bercahaya dengan unggun api, Mat seman dan Mek Timah bergegas balik ke rumah. Mereka harungi air yang mula melepasi paras lutut. Masih ada 14 ekor lagi lembu yang perlu mereka pindahkan malam ini. Biar pukul berapa pun, kerja-kerja memindahkan lembu mesti selesai. Tidak boleh ditangguh-tangguh lagi.
Air di hadapan rumah mula melepasi paha. Mat Seman mengheret empat ekor anak jantan yang sudah mencapai umur dua tahun. Mek Timah pun begitu. Misi menyelamat lembu berjalan lancar. Lembu jantan ini perlu diselamatkan dulu. Musim Hari Raya Aidiladha nanti, harga lembu jantan yang cukup umur akan melambung. Orang ramai akan mencarinya untuk ibadat korban dan akikah. Harganya akan mencecah lima ribu ringgit seekor.
Air paras paha mereka redah begitu saja. Lembu-lembu juga tidak banyak kerenah. Mengikut saja tali yang diheret oleh Mat Seman dan Mek Timah. Selesai lapan ekor anak jantan ditambat. Mereka berehat seketika. Tongkol kayu ditambah. Biar unggun tidak padam. Biar api terus menyala. Biar Banggol Tengah terang bederang. Biar lembu mereka tidak kesejukan.
Masih ada enam ekor lagi perlu dipindahkan. Mesti diselamatkan segera malam ini, sebelum air semakin dalam. Sebelum lembu-lembu mereka tenggelam dan hanyut. Selagi mereka mampu mengheret lembu-lembu tersebut mesti dipindahkan.
Waktu Isyak telah lama berlalu. Ketika sampai di halaman rumah air telah mencecah punggung. Enam ekor lembu hampir tenggelam. Mat Seman cepat-cepat mencapai tali. Lembu diheret keluar dari kandang.
Mek Timah cepat melangkah naik ke atas rumah. Semua bungkusan diangkat ke atas meja dan rak kayu. Perkakas di dapur termasuk beras dan makanan diangkat dan diletak ke atas almari.
“Kau tunggu aku di rumah Timah. Kau jangan pindah. Aku akan bawa enam ekor lembu ini ke Banggol Tengah dulu, sebelum air melimpah kampung,” laung Mat Seman sambil mengheret lembu ke Banggol Tengah.
Mek Timah hanya mendengar laungan itu antara jelas dan tidak. Mat Seman hilang dalam kepekatan malam dan deru hujan mencurah.
Malam semakin larut. Mat Seman tidak juga muncul-muncul. Mek Timah tidak sabar menunggu kedatangan cahaya. Air mula melimpah sampai ke lantai rumah. Kebimbangan mula menerjah hati Mek Timah. Rasa bimbang keselamatan suaminya kian memuncak.
Mek Timah turun untuk mencari Mat Seman di Banggol Tengah. Tapi dia naik semula ke atas rumah. Air sedang mengalir laju. Air sudah mencapai paras dada. Dia tidak berani mengharungi air. Dia rasa amat tertekan. Dia menjerit sekuat hati. Dia bimbangkan keselamatan suaminya. Saat itu jugalah pasukan penyelamat banjir tiba. Dia dipapah naik ke atas bot. Mek Timah tidak tahu apa lagi yang berlaku selepas itu.
Ketika dia sedar, dia sudah berada di pusat pemindahan sementara. Anak-anak cucunya berada di kiri kanan.
“Ayah kamu mana?”
Anak cucu dia seketika.
“Pasukan petugas banjir sedang mencari ayah,” jawab anak-anaknya.
Mek Timah terkaku dan kelu. Pusat pemindahan sementara sedang banjir dengan air mata. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya