Matahari sudah pun tegak di atas kepala. Bahangnya mula menggigit kulit tua Mak Kiah yang kian mengendur dan berkedut seribu. Peluh yang memercik di dahi dibiarkan kering dibelai angin sawah yang sesekali singgah di dangaunya. Mak Kiah menyenduk nasi di dalam periuk tanah yang dibawanya pagi tadi sebagai bekalan tengah hari itu. Sebekas sayur keladi udang yang sempat dimasak menjelang subuh tadi sedia dihidang. Ulam-ulaman yang dikutip sekitar rumahnya dijadikan sebagai pembuka selera mereka suami isteri.
Kebun sayur yang diusahakan bersama-sama Ngah Seman, suaminya tumbuh segar di sekeliling dangau tempat dia duduk bersila. Mak Kiah tenang memerhati Ngah Seman menyuap nasi serta menghirup kuah sayur keladi udang dengan penuh selera sekali.
Mata Mak Kiah tiba-tiba berkaca. Genangan air matanya tidak terbendung lagi. Tekaknya tidak dapat menelan nasi yang dikunyah bersama sayur keladi itu.
Ingatan pada Amirul, anak tunggal kesayangannya tiba-tiba saja menerpa dan menyentak hatinya. Rindu kerana sudah setahun Amirul tidak pulang.
Dia masih ingat, pada hari itu hujan turun amat lebat. Ngah Seman pulang dalam keadaan basah kuyup sambil menggigil kesejukan. Lembu-lembunya perlu dipindah segera ke tempat yang lebih tinggi kerana air hujan semakin menenggelamkan kawasan kandang.
Sudah berkali-kali dia memanggil Amirul untuk membantunya namun tidak diendah. Mahu tak mahu dia terpaksa meneruskan usahanya berkeseorangan.
Bau sayur keladi udang dari dapur singgah menyapa deria bau Ngah Seman. Perutnya lapar tiba-tiba. Isterinya memang handal memasak. Tiada siapa dapat menandingi masakan sayur keladi udang Mak Kiah. Ngah Seman memaut sila menghadap hidangan di depannya. Sepinggan nasi putih, semangkuk sayur keladi udang dan sepiring sambal belacan tersedia untuk dijamahnya.
Amirul tiba-tiba muncul dari bilik, terus duduk memaut silanya. Perutnya terasa lapar sejurus bangun dari tidur. Hujan lebat dan sejuk itu mengulit lenanya hingga ke waktu Zuhur. Ngah Seman membeliakkan matanya ke arah Amirul. Geram.
“Kau tahu sudah pukul berapa sekarang? Aku basah kuyup di bawah sana, kau asyik membuta saja di atas rumah. Masa makan begini, pandai pula kau bangun. Apa nak jadi dengan kau ini hah?”
“Kamu itu sudah besar panjang. Sudah 22 tahun. Sepatutnya sudah tahu berfikir, tahu hendak berdikari. Hari-hari asyik makan tidur saja. Harapkan orang tua ini yang bagi makan. Kerja malas.” Bebel Ngah Seman penuh geram.
Amirul terdiam menahan sebak. Dia merasakan seperti dirinya tidak berguna. Sayur keladi udang yang begitu enak dan menjadi kegemarannya terasa seperti hampas untuk dikunyah. Seleranya hilang tiba-tiba.
Pinggan di tangan dihempas keras. Dia bingkas bangun dengan genangan air mata, berkaca. Begitulah perangai Amirul bila ditegur. Cepat sangat dia menarik muka.
Mak Kiah mengeluh sambil menggelengkan kepalanya. Kasihan dia melihat Amirul yang baru saja ingin menjamah makanan terpaksa meninggalkannya. Namun, dia tidak berupaya melarang suaminya yang sedang dibakar kemarahan itu.
Suasana petang itu amat tenang dan damai. Semilir angin sawah bertiup lembut membelai lautan padi yang sedang menghijau. Dia leka menghirup kopi panas dan cucur bawang yang digoreng oleh Mak Kiah sebentar tadi.
Tiba-tiba telefon berdering. Mak Kiah cepat-cepat menjawabnya. Dia mengangguk beberapa kali, dan sekali gus menoleh ke arah Ngah Seman yang masih bersandar di serambi. Wajah Mak Kiah kelihatan ceria dan gembira.
“Amirul hendak balik bang. Anak kita nak balik bang. Petang esok dia akan sampai.” Beritahu Mak Kiah penuh gembira.
“Ye lah, ye lah, ye lah. Mimpi apa agaknya si Amirul itu. Dah puas agaknya dia merajuk hati.” Balas Ngah Seman perlahan dengan nada suara yang masih menyimpan keegoan.
Namun jauh di sudut hati kecilnya tersimpan kerinduan yang amat dalam terhadap satu-satunya anak lelaki tunggal hasil perkongsian hidup dia dan Mak Kiah.
“Dia minta maaf pada abang. Dia menyesal dengan perbuatannya dahulu. Dia juga rindu pada masakan sayur keladi udang masakan saya.” Beritahu Mak Kiah penuh girang. Itulah lauk kegemaran Amirul semenjak kecil lagi.
Esok akan terubatlah rindu mereka pada Amirul. Pohon keladi sudah tersedia ditanam di belakang rumah mereka. Hanya tinggal udang sahaja yang perlu dicari untuk melengkapkan masakan kegemaran anaknya itu. Esok, pagi-pagi lagi dia akan ke kebun untuk memetik pohon-pohon keladi untuk dimasak.
Ngah Seman terus mencapai bubu dan jaring jala sambil menghayun langkahnya menuju ke arah jeram di belakang rumahnya.
Di sana terdapat sebuah anak sungai, tempat dia selalu menangkap ikan dan udang untuk dijadikan lauk harian. Langit petang itu kelihatan semakin gelap dan pekat. Seperti bumi akan ditimpa hujan.
Ngah Seman tidak peduli itu semua. Dia sudah nekad turun membubu udang untuk dipadankan dengan sayur keladi masakan Mak Piah nanti. Dia berharap, Amirul tidak akan berkecil hati lagi apabila hajatnya untuk menikmati sayur keladi udang dapat diperoleh.
Air hujan mencurah semakin lebat. Suasana petang itu dibaluti kebungkaman. Ngah Seman terus meredah hutan kecil menuju ke tebing sungai yang berjeram sambil memikul jala dan bubu di bahunya. Di kepalanya hanyalah menangkap udang di tebing anak sungai itu. Kesejukan dan kedinginan terus mencengkam kulit tuanya.
Bubu dipasang pada celah alur air jeram yang menuruni anak sungai itu. Tubuh tuanya meredah air sungai yang kian keruh dan pekat sambil membenamkan muka sauknya ke arah tebing sungai yang dipenuhi akar serta pokok-pokok kecil yang bergayut di sepanjang tebing.
Hujan masih belum reda, sesekali bertukar lebat. Semakin lama semakin banyak udang yang dapat ditangkapnya hingga terlupa hari sudah menjelang senja.
Sedang asyik dia menjaring udang, tiba-tiba tubuhnya dirempuh keras oleh kepala air yang muncul dari arah jeram beberapa meter dari tempat dia menangkap udang. Air nya deras bagaikan peluru merempuh keras tubuh keding Ngah Seman. Dia terhumban ke dalam anak sungai yang deras dan bergelodak bersama sauk di tangannya. Badannya berpusing-pusing beberapa kali sebelum tenggelam timbul ditelan arus sungai yang semakin mengganas itu. Kelibat Ngah Seman akhirnya hilang bersama kegelapan malam dan hujan lebat yang semakin mencurah di situ.
Mak Kiah masih sibuk di dapur menyediakan bahan-bahan untuk memasak sayur keladi. Santan segar diambil dari pokok kelapa di tepi rumah.
Segala bawang dan rempah ratus sudah disediakan. Batang keladi sudah siap dipotong bersama isinya. Periuk sudah bersedia di atas dapur. Hanya menunggu Ngah Seman pulang membawa udang-udangnya sahaja.
Hatinya mula disambar resah. Biasanya Ngah Seman sudah berada di rumah masa itu. Sebelum Maghrib Ngah Seman sudah bersiap-siap untuk ke surau selepas menguruskan binatang ternakan masuk ke kandang. Usai solat Maghrib Mak Kiah bersiap-siap untuk ke rumah Penghulu Haji Kasim bagi mengkhabarkan perkara itu. Hujan lebat pada sebelah petang tadinya sudah mula reda.
Dalam samar-samar cahaya malam itu muncul sebuah kereta di hadapan rumahnya. Mak Kiah menjenguk dari arah pintu jendela.
“Assalamualaikum Mak. Ada apa ini mak. Mak nak ke mana ini?
“Mirul, anak mak. Ayah kamu, keluar membubu udang petang tadi. Sampai sekarang tak balik-balik lagi. Mak risau. Mari kita pergi beritahu penghulu,”
Kepulangan Amirul disambut dengan penuh gembira, namun dalam masa sama dia sedih menunggu kepulangan suaminya.
Tubuh Amirul dipeluknya kemas-kemas. Tanpa berlengah, mereka berdua terus menaiki kereta menuju ke rumah penghulu Haji Kasim di hujung kampung.
Usaha mencari Ngah Seman turut dibantu oleh anggota polis dan JPAM serta penduduk kampung. Hujan yang sesekali bertukar lebat menyulitkan lagi usaha mencari.
Kawasan operasi pencarian tertumpu di kawasan tebing-tebing sungai tempat Ngah Seman selalu mencari ikan. Pasukan pencarian cuma menemui jaring Jala dan sepasang selipar serta kesan tapak kaki di sekitar kawasan tebing sungai itu.
Arus sungai kembali deras serta paras air nya lebih tinggi dari biasa. Hujan masih belum berhenti. Keadaan sekitar yang gelap dan diselubungi kesejukan itu menyukarkan lagi usaha-usaha pencarian. Waktu sudah mencecah ke pukul tiga pagi. Beberapa buah bot telah digunakan untuk menyusur tebing sungai bagi mengesan mangsa. Akhirnya terpaksa mengalah dan akur dengan arus air yang deras serta membahayakan diri mereka.
Usaha mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan buat sementara. Semua diarah pulang kerana operasi akan disambung semula pada sebelah pagi keesokannya.
Hari baharu mula menjelma. Hujan sudah pun berhenti. Amirul terlena seketika dek keletihan dalam operasi pencarian ayahnya semalam. Dia bangun dan cepat-cepat mendapatkan ibunya di dapur. Sudah tersedia hidangan nasi bersama sayur keladi kegemaran Amirul.
“Makanlah Mirul supaya bertenaga. Nanti boleh pergi mencari ayah kamu lagi.” Pujuk Mak Kiah sambil menyenduk nasi ke pinggan Amirul.
Tekaknya tidak dapat menelan nasi bersama sayur keladi tanpa udang itu. Hatinya sebak mengenangkan ayahnya yang masih belum ditemui lagi ketika itu.
Ayahnya bergadai nyawa meredah anak sungai untuk menangkap udang demi melengkapkan sayur keladi udang yang menjadi kegemarannya. Ayahnya sanggup berkorban demi mengembirakan hati Amirul.
Keheningan pagi itu tiba-tiba dikejutkan oleh ketukan pintu hadapan yang bertalu-talu. Amirul bergegas sambil tangannya menyelak daun pintu. Tercegat dua orang anggota polis di hadapannya.
“Assalamualaikum Encik. Ini rumah Othman Senik.”
“Ya, tuan. Saya anaknya.” Jawab Amirul sambil menjengah ke arah luar rumah.
“Mari encik. Sila ikut saya untuk membuat pengecaman.”
Amirul memeluk tubuh ibunya sambil berjalan menuju ke van Polis di halaman rumah mereka. Sekujur tubuh yang sudah tidak bergerak itu ditatap penuh pilu.
Sudah hampir setahun dia pergi membawa diri kerana merajuk. Dia tidak sempat untuk memohon maaf kepada ayahnya. Insan yang sering membentak dan mengherdiknya selama ini sudah kembali kepada pencipta-Nya. – Mingguan Malaysia
Sayur keladi udang
- Oleh Mommy Widad
- 12 Disember 2021, 5:00 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Selamat hari lahir Kartini
14 Januari 2024, 5:37 pm
Buku yang hilang
31 Disember 2023, 6:05 pm
Pemain silap mata lupa silap matanya
17 Disember 2023, 4:34 pm