Phing melangkah dengan bersemangat sekali menuju kedai makan sebagaimana yang dijanjikan. Rambutnya yang lurus melepasi bahu itu dibiarkan terurai sesekali mengerbang ditiup angin. Kulit putih gebu dengan badan tinggi lampai kelihatan menarik sekali.
Dia mengenakan kemeja putih bersama seluar hitam. Pantas menarik perhatian beberapa pemuda yang sedang berborak sambil merokok di luar kedai. Salah seorang mereka bersiul-siul mengusik namun Phing tidak mempedulikan mereka. Dia sudah lali dengan usikan dan gurauan anak muda seperti itu.
Ching yang sedang menunggu dengan dua gelas milo ais yang baru dipesan. Sangat manis gadis itu kelihatan. Ching bermata bundar berambut ikal mayang melepasi bahu diikat rapi dengan riben merah jambu. Bertubuh sederhana tinggi berkulit agak gelap sedikit berbanding Phing kerana nenek Ching berketurunan Siam. Ching mengenakan blaus kuning air berbunga kecil bersama seluar jean. Ching lebih selesa berpakaian sebegitu. Di atas meja ada sebuah buku novel yang selalu dibawa ke mana saja dia pergi.
Dia tersangat gembira dapat bertemu Phing setelah sekian lama tidak berjumpa. Setelah tamat SPM masing-masing membawa haluan sendiri. Ching mengadu nasib ke Kuala Lumpur mengambil kursus kesetiausahawan dan Phing masih di Kelantan membantu perniagaan bapa saudaranya sementara menunggu peluang pekerjaan yang lebih bagus.
Ching masih ingat lagi sewaktu dia terlibat dalam kemalangan jalan raya suatu masa dahulu. Ketika itu dia di tingkatan tiga. Tiap-tiap hari selepas habis waktu sekolah Phing akan melawatnya di Hospital Besar Sultanah Zainab 11. Sebulan Ching dirawat kerana kecederaan yang serius.
Selama sebulan jugalah Phing tidak pernah jemu mengunjunginya. Membawa buku-buku cerita untuk dibaca serta menenangkan perasaan Ching yang cedera teruk akibat kemalangan tersebut. Daging paha Ching terpaksa diambil untuk menampal bahagian bawah lutut yang lekuk akibat hancur setelah diseret oleh sebuah trak. Phinglah orang yang banyak membantu mengembalikan semangat Ching yang rebah serta trauma akibat kemalangan ngeri itu.
“Wah…berseri-seri nampak. Lamanya kita tak jumpa ya. Apa khabar sahabat manisku. Sudah ada teman lelaki belum?” Ching berseloroh sedangkan Phing termengah-mengah kerana mengejar masa untuk sampai.
Dalam perjalanan tadi keretanya tersangkut-sangkut akibat kesesakan lalu lintas. Ching pula hanya menaiki motosikal kerana dia sudah faham benar dengan situasi perjalanan untuk menuju ke bandar Kota Bharu.
“Ching, ada berita baik yang ingin ku kongsikan denganmu. Minggu depan aku dipanggil temuduga sebagai pramugari.”
“ Betulkah Phing? Wah…tahniah aku ucapkan. Semoga cita-citamu ingin bertugas di awan biru tercapai jua.”
Ching yang tidak dapat mengawal perasaan gembiranya terus bangkit memeluk Phing. Ucapan tahniah bertalu-talu keluar daripada bibirnya yang mungil. Tidak lupa dia akan selalu berdoa agar cita-cita Phing selama ini tercapai hendaknya.
Kemesraan yang telah terjalin sejak mereka menuntut di sekolah menengah telah mengikat hati mereka menjadi sahabat akrab. Saling berkongsi suka dan duka. Meskipun lama tidak bertemu namun mereka saling bertanya khabar dan berhubungan melalui telefon.
Habis cuti Ching kembali meneruskan pengajian di ibu kota. Menyewa sebuah bilik di tengah-tengah kota raya yang serba mencabar. Ching daripada keluarga yang agak susah. Dia membuat kerja sambilan setelah habis waktu belajar.
Semangat yang kental mendorong kejayaan Ching. Dalam debar dan teruja dia menunggu perkhabaran gembira daripada Phing. Dan akhirnya berita kejayaan Phing sampai jua kepadanya. Phing telah diterima menjadi seorang pramugari dalam salah sebuah syarikat penerbangan Malaysia ke luar negara. Dan Phing telah selamat menjalani kursus dengan penuh cemerlang.
Bermulalah episod Phing bertugas dalam pesawat. Tinggi di puncak awan berteman langit biru. Melangkah berhemah dalam santun lembut gemalai menarik bagasi untuk ke mana-mana destinasi mengikut jadual penerbangan syarikatnya. Berkebaya batik bersarung sempit belah tepi amat menarik dan mencuri pandang sekalian penumpang. Rambutnya disanggul rapi dan alangkah manis apabila lesung pipit di pipinya terserlah sewaktu dia mengukir senyuman.
Jadual rutinnya padat. Dia seorang pramugari yang dedikasi serta mesra penumpang. Semua pelanggan berpuas hati dengan layanan syarikat penerbangan di mana dia bertugas. Di sebalik kesibukannya dia tidak pernah lupa untuk menghubungi Ching, bercerita tentang negara-negara yang pernah dilawatinya. Tidak lupa juga membelikan hadiah.
“ Ching, aku sudah membelikan hadiah istimewa untukmu ketika berada di Australia tempoh hari. Aku harap kau suka. Nanti aku poskan ya.” Phing bersuara di hujung talian.
“ Tak payah susah-susahlah Phing, dah banyak hadiah yang kau belikan untukku.”
“ Tidak mengapa Ching. Aku ikhlas, sebagai tanda ingatan persahabatan kita. Langsung tidak menyusahkan malah aku berasa sangat bahagia mendapat sahabat baik yang setia sepertimu.”
Ching cukup gembira dengan layanan Phing terhadapnya. Seandainya kebetulan dia pulang ke Kelantan, dan Phing juga bercuti mereka akan selalu bertemu dan menghabiskan waktu bersama-sama. Ching memilih bekerja di Kelantan sahaja memandangkan kos sara hidup agak murah. Lagi pula dia tidak perlu menyewa rumah, hanya tinggal bersama ibu bapanya.
Ibu Phing sangat gembira setiap kali menerima kunjungan Ching ke rumahnya. Jarak rumah Ching dan rumah Phing di Kota Bharu hanyalah 10 kilometer. Melintasi Jambatan Sultan Yahya Putra. Berbagai juadah makanan disediakan untuk meraikan kedatangan sahabat karib anaknya itu. Tambahan pula Phing juga sudah jarang-jarang pulang ke Kelantan.
Persahabatan mereka berterusan sehinggalah masing-masing berumah tangga. Cuma Phing tidak dapat menghadiri majlis perkahwinan Ching kerana terpaksa bertugas. Selang beberapa tahun kemudian Phing pula menamatkan zaman bujangnya. Mereka semakin jarang bertemu apabila sibuk dengan urusan keluarga.
Ibu Phing sebenarnya kurang menyenangi pekerjaan pilihan anaknya itu. Namun kerana keinginan Phing yang kuat menyebabkan dia tidak mampu menghalangnya. Setiap kali Phing bertugas di awan biru ibunya sering dibayangi kebimbangan. Risau berbelit di jiwa tidak berkesudahan. Dia bimbang Phing diancam bahaya. Bimbang kalau-kalau pesawat tiba-tiba rosak dan terjunam ke bumi atau ke laut. Masa itu mungkin tidak ada mayat yang sempurna. Segalanya akan hancur berantakan menjadi abu. Tidak ada yang mampu dikenal pasti lagi.
Hatinya tersangat lega setiap kali mendengar Phing sudah selamat mendarat dari mana-mana penerbangan. Phing akan menelefon untuk memaklumkannya. Phing anak yang berbudi dan manja. Lama-kelamaan ibu Phing sudah menjadi biasa.
“ Mak…sudah lama Phing tidak merasa gulai lemak ketam masakan mak. Phing teringin sekali menikmatinya. Nantilah bila balik dari Amsterdam ini Phing akan bercuti pulang ke Kelantan. Mak jangan lupa masakkan nasi kerabu kegemaran Phing itu juga ya.”
“Yalah Phing. Mak akan buat apa saja untuk anak kesayangan mak ini. Sementara mak masih sihat pastilah apa yang Phing mahu makan mak akan sediakan.”
Sayu perasaan hati seorang ibu yang tinggal berjauhan apabila mendengar suara anak gadisnya. Phing sudah dewasa, sudah punya dua orang anak. Phing tidak pernah lupa mengirim wang belanja ibunya setiap bulan.
Hanya itulah satu-satunya permata hatinya. Phing bukannya tidak pandai memasak tetapi air tangan ibu jugalah yang dipilihnya setiap kali dia pulang ke Kelantan. Lagi pula dia terlalu sibuk dengan tugasnya yang tidak berkehabisan.
Ibu Phing sudah pun membeli beberapa ekor ketam untuk dimasak, pastinya ketam yang gemuk serta besar-besar. Dia akan cukup gembira dan berpuas hati apabila melihat anak perempuannya menikmati masakannya dengan penuh berselera kelak.
Lamunannya terhenti apabila terdengar deringan telefon. Kerana ingin terlalu cepat ke ruang hadapan untuk menjawab, tangannya terlanggar sebiji gelas di atas meja. Gelas yang pecah berderai itu dibiarkan sahaja. Dia melangkah cepat-cepat mencapai gagang telefon. Hati ibu Phing berdebar-debar sahaja. Entah kenapa dia berasa tidak sedap hati.
“Selamat tengah hari mak, saya A Kuan. Suami Phing. Harap mak bertenang… jangan terkejut. Ada berita buruk. Saya baru dihubungi syarikat penerbangan tempat Phing bertugas. Kapal terbang yang dinaikinya terhempas di timur Ukraine. Mereka akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa. Mak datanglah ke Kuala lumpur ya.”
Gagang telefon terkulai dari pegangan. Apa yang dibimbangkan selama ini telah menjadi kenyataan. Dan rupa-rupanya nasib Phing juga seperti yang ditakutinya selama ini. Tubuhnya longlai tidak bermaya. Air mata berjuraian tanpa mampu disekat-sekat. Dia perlu kuat, perlu tabah demi cucu-cucunya. Demi kehidupan yang perlu diteruskan.
Dia terkenang kepada Ching, sahabat baik anaknya. Ching perlu tahu perkhabaran ini. Dengan terketar-ketar dia cuba menghubungi Ching. Sebenarnya Ching sudah mendengar berita kapal terbang terhempas. Namun Ching masih ragu-ragu dan tidak pasti apakah mala petaka itu melibatkan Phing. Ching terasa seolah-olah semua itu adalah tidak benar. Sehinggalah ibu Phing sendiri mengesahnya barulah Ching menerima hakikat tersebut.
Ching masih bingung memikirkan tentang musibah ini. Kenapa Phing yang menjadi mangsa kekejaman manusia yang tidak berhati perut. Pesawat berada di puncak awan tiba-tiba bergegar jatuh terhempas.
Ching menawarkan diri menemani ibu Phing ke Kuala Lumpur. Di situ mereka berkumpul untuk mendapatkan matlumat selanjutnya. Jumlah penumpang terkorban, nama-nama mereka yang terlibat semuanya dikenal pasti. Ching dan suami Phing cuba menenangkan emosi ibu Phing.
Mata Ching berdebu menyaksikan dua anak lelaki Phing yang masih kecil. Mereka akan membesar tanpa kasih sayang seorang ibu. Biar betapa pahit pun kehidupan ini ia terpaksa diteruskan jua. Bagaimana pula seandainya A Kuan mencari pengganti Phing kelak? Akan terbelakah kehidupan anak-anak ini. Ching cuba mengusir perasaan yang menghantui jiwanya.
Ching berasa lega apabila melihat keadaan ibu Phing agak terkawal. Rasa simpati sarat membebani jiwanya. Selepas ini bagaimanakah kehidupan ibu Phing? Ching berfikir-fikir demi rasa keinsanan dia harus bertanggungjawab mengambil alih menjaga ibu Phing. Menjadikan orang tua itu sebagai ibunya sendiri. Phing, tenanglah dirimu di sana. Aku akan menjaga ibumu seperti ibu kandungku sendiri. Bisik hati Ching. – Mingguan Malaysia
Awan selubung pilu
- Oleh Sujata Wee
- 5 Disember 2021, 4:56 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Tags: Awan selubung pilu
BERITA BERKAITAN
Mayat tanpa identiti ditemukan terapung dalam sungai
22 Disember 2024, 9:50 pm
Dua remaja sekolah buat aksi ‘sumbang’ di kubur Cina
22 Disember 2024, 9:30 pm
Konsert Rock Kapak 2, imbau memori bersama rockers ‘otai’
22 Disember 2024, 9:30 pm