Pembalut yang membaluti mata Hasriah akhirnya dibuka dengan perlahan. Penglihatan Hasriah masih berbalam dan kurang jelas.
“Cik perlukan masa untuk pulih sepenuhnya. Sementara waktu ini, cik cuba jauhi cahaya terang dan silau matahari,” kata doktor Azhar dengan senyum puas. Ternyata, kejayaan pembedahan itu telah memberikan kepuasan kepadanya. Hasriah rasa amat gembira dan terharu.
“Mak?” tanya Hasriah menyapu wajah Kamsiah.
“Ya Has. Syukurlah,” jawab Kamsiah dengan suara bergetar.
Dia memeluk Hasriah dengan air mata syukur. Sungguh tidak diduga kalau nasib Hasriah tidak seburuk yang disangkanya. Allah memakbulkan doanya.
“Cuba teka ini siapa?” Pak Cik Hamdan pula berseloroh.
“Ini, mesti bapa Has yang baik hati itu,” jawab Hasriah sambil menarik tangan Pak Cik Hamdan dan mengucupnya.
“Tapi, kenapa pandangan saya kelam dan berbalam-balam?” tanya Hasriah.
“Seperti yang saya kata tadi, ia akan mengambil sedikit masa pulih. Selain elakkan cahaya, cik juga perlu elak menangis. Air mata mungkin akan merosakkan tisu mata yang masih baru,” kata Dr. Azhar.
“Jadi, bila saya boleh keluar dari sini doktor?”
“Kena tunggu sampai mata Cik Hasriah benar-benar pulih. Mungkin seminggu dua lagi.”
Pak Cik Hamdan dan Kamsiah angguk perlahan.
“Jangan bimbang. Cik boleh tinggal di sini berapa lama pun tanpa fikirkan bayaran.”
“Kenapa macam itu?”
“Semua bil telah dibayar oleh Puan Norliah. Malah dia meninggalkan cek untuk menampung perbelanjaan cik di sini,” ujar Dr. Azhar.
“Mana dia?” tanya Hasriah.
Sungguhpun dia tidak suka pada wanita itu, tapi kali ini mulutnya ringan bertanya.
Diam. Dr. Azhar tidak menjawab. Sebaliknya dia berjalan keluar dari bilik itu. Dia meninggalkan tanda tanya.
“Mak, Zainal mana mak?” Hasriah bertanya.
Dia tidak mahu memikirkan soalannya yang tidak berjawab itu. Kamsiah gugup. Dia menoleh kepada Pak Cik Hamdan.
“Zainal tak jadi datang, Has. Dia kurang sihat. Dia kata dia tunggu Has di kampung sahaja.”
“Sampai hati Zainal,” keluh Hasriah. Matanya yang masih baru itu, dipejamkan.
“Has, sabarlah. Dia tak berniat buat begini. Has pun tahu keadaan dia macam mana. Bapa pun tak suka dia datang dalam keadaan tak sihat,” kata Pak Cik Hamdan cuba memujuk Hasriah dan memujuk hatinya juga.
“Nanti, kalau kita dah balik, kita akan jumpa dia juga,” sambung Kamsiah pula.
Tangannya membelai Hasriah. Dalam hatinya, dia teramat bimbang kalau Hasriah menangis.
“Yalah. Has akan sabar. Kalau 20 tahun Has boleh sabar, takkan masa singkat ini Has tak boleh sabar.”
“Benar Has. Jangan mudah fikir bukan-bukan,” balas Pak Cik Hamdan cuba sembunyikan rasa kesal dalam hatinya.
“Has, hari ini Has dah dapat balik ke rumah,” kata Pak Cik Hamdan.
“Yakah? Has dah tak sabar nak jumpa Zainal.”
Mata Hasriah bersinar, ceria. Pak Cik Hamdan dan Kamsiah saling berpandangan. Hati mereka digaru bimbang. Kenyataan yang bakal Hasriah hadapi tidak semanis dibayangkan.
“Abang tak beritahu Puan Norliah dulu?”
“Abang dah cuba menelefon beberapa kali, tapi masih tak dapat. Mungkin dia masih di luar negeri,” jelas Pak Cik Hamdan.
“Habis… kita nak terus balik? Tak perlu ke rumah besar itu?” suara Kamsiah mendatar.
“Bapa, lain kali saja kita ke sana. Has nak balik ke kampung dulu. Has nak jumpa Zainal,” kata Hasriah mematikan rasa serba salah Pak Cik Hamdan ketika itu. Akhirnya Pak Cik Hamdan bersetuju dengan kehendak Hasriah. Mereka bertolak balik ke Melaka selepas selesai urusan hospital.
Mereka sampai di Durian Tunggal ketika siang sudah dipanggil senja.
“Has, inilah rumah kita Has. Tengok pokok bunga melur yang Has tanam di tepi pagar tu, memutih bunganya,” kata Kamsiah ketika teksi yang membawa mereka berhenti di halaman rumah.
Hasriah berjalan ke arah yang ditunjukkan. Sekuntum bunga melur dipetik dan dihidunya. Wangi. Kewangian yang sudah biasa meresap ke hidungnya sejak dulu. Tidak berubah. Bezanya kini, dia boleh melihat warna melur putih bersih itu.
“Benar kata Zainal, warnanya putih bersih.”
Kamsiah angguk perlahan. Nama Zainal tidak pernah lekang dari mulut Hasriah. Tidak ada sesiapa yang mampu menahan Hasriah daripada menyebut nama itu.
Akhirnya, alam yang indah ini mampu juga dilihatnya dengan mata sendiri. Hari pertama, dia bahagia menatap wajah kedua orang yang membesarkannya. Namun, semuanya hambar dan tidak menggembirakan. Dia ingin melihat wajah Zainal.
“Saya ke rumah Majid sekejap, nak tanya khabar Zainal tu,” bisik Pak Cik Hamdan ke telinga Kamsiah.
Dia tidak mahu bertangguh. Hal Zainal itu amat mengganggu fikirannya. Kamsiah angguk perlahan. Dia juga tidak sabar untuk mengetahui apa puncanya yang menyebabkan Zainal berubah begitu mendadak.
“Mari naik Has. Mak tak sabar nak tunjukkan Has bilik Has,” kata Kamsiah, sengaja membenamkan resahnya dan membunuh hajat Hasriah untuk ke Bandar Hilir.
Dengan langkah perlahan, Hasriah mengekori Kamsiah.
“Bilik ini tak secantik bilik Has di rumah banglo mama Has tu. Hanya ini yang mampu kami berikan pada Has,” kata Kamsiah ketika pintu dibuka.
Mata Hasriah melilau, memerhati ke seluruh ruang bilik itu. “Mak, mana gambar Zainal?”
“Mana ada. Mana pernah Zainal berikan gambarnya…” Kamsiah hairan.
“Ada mak. Zainal pernah berikan Has gambar dia.”
“Untuk apa? Bukankah Has tak dapat melihat?”
“Zainal kata, kalau Has nak tengok wajah dia Has peluk gambar itu masa tidur. Nanti Allah tunjukkan wajahnya dalam mimpi,” jawab Hasriah. Dada Kamsiah berdenyut, sedih. Hasriah menarik laci mejanya. Dia mencari. Kamsiah pula membiarkan sambil menahan sebak. Sungguh mendalam kerinduan dan harapan Hasriah terhadap Zainal.
“Nah, ini dia!” kata Hasriah sambil menarik sekeping sampul surat. Dari sampul itu ditarik sekeping gambar. Dia merenung. Dia menilik.
“Mak, benarkah ini Zainal?”
Kamsiah mendekat. Gambar itu direnungnya. Kemudian dengan perlahan dia mengangguk.
“Ya. Inilah dia orangnya yang banyak berjasa kepada Has. Sejak kecil dia menjadi tangan kanan kami untuk memimpin Has ke mana yang Has nak pergi. Dia sangat berbudi,” jawab Kamsiah.
“Tapi kenapa sekarang dia lari dan tinggalkan Has?”
“Dia tidak lari. Esok lusa dia akan datang. Mungkin dia sengaja nak menduga Has. Dia nak tengok kesetiaan Has.”
“Apakah selama ini Has tak setia?”
“Has, keadaan dah berubah.”
“Apakah kerana mata ini?”
Kamsiah diam. Dia tidak menyambung lagi. Dia bimbang akan melukakan hati Hasriah yang sedang lara itu.
Kamsiah segera berlalu. Tidak mahu dia berlama-lama dalam bilik itu.
“Zainal, sampai hati Zainal buat Has macam ini. Mana semua janji Zainal pada Has?” tanya Hasriah kepada gambar di tangannya.
Pak Cik Hamdan sampai di rumah Pak Majid dan memberi salam. Malangnya, tiada yang menjawab. Akhirnya dia meninggalkan halaman itu dan berjalan menuju ke Bandar Hilir. Ketika dia sampai di sana, matanya terpaku melihat beberapa bangunan sudah didirikan di situ. Begitu cepat projek itu dilaksanakan. Ketika dia menoleh ke sebelah kirinya, dia melihat longgokan pasir dan batu bata di atas sebidang tanah yang sudah siap dibersihkan. Dia berjalan ke arah tanah itu. Kemudian dia termenung lama di situ. Dia mencari-cari sebab kenapa projek pembinaan sebuah kilang kraf tangan yang diimpikan oleh Zainal itu masih tidak dimulakan.
“Assalamualaikum Medan!” suara Pak Majid menegurnya.
Pak Cik Hamdan menoleh sambil mulutnya menjawab salam itu. “Kau dari mana? Tadi aku ke rumah kau?”
“Aku ke kedai. Aku nampak kau berjalan ke sini. Bila kau balik?”
“Baru sampai. Aku tak naik pun ke rumah aku. Terus ke rumah kau. Aku risaukan Has. Zainal mana?” Pak Cik Hamdan tidak mahu berselindung rasa.
“Dia ada di rumah mak ciknya di Tanjung Bidara. Aku baru telefon dia suruh balik. Tengok pasir dan batu-batu ini. Sampai bila nak dibiarkan macam ini? Kalau hujan, habis nanti dibawa air.”
“Habis apa katanya?”
“Dia akan balik dua tiga hari lagi.”
Pak Cik Hamdan mengeluh. “Aku kasihankan Has. Aku bimbang dia akan sedih dan menangis kalau Zainal terus larikan diri. Kau pun tahu, matanya itu masih baru lagi.”
“Aku faham kebimbangan kau. Aku juga kesal dengan sikap Zainal ini. Kita tengok dalam sehari dua ini, Kalau dia tak balik juga, kita bawa Has ke sana,” kata Pak Majid.
“Terima kasih Majid kerana bersimpati dengan Has.”
“Aku amat belas dengan nasib dia, Dan. Dulu dia dibuang ibunya. Kini, dia ditinggalkan untuk selama-lamanya,” balas Pak Majid.
“Apa maksud kau Majid? Siapa yang ditinggalkan?” Pak Cik Hamdan segera menatap wajah Pak Majid.
“Kau tak tahu ke? Bukankah Has ditinggalkan mamanya.”
“Itu aku tahu. Sejak kecil dia tak ada mama,” kata Pak Cik Hamdan.
“Tapi kini dia ditinggalkan mamanya untuk selama-lamanya.”
“Majid? Apa yang kau cakap ini?” Pak Cik Hamdan memegang bahu Pak Majid.
“Kau belum tahu ke?” tanya Pak Majid bingung.
Dia tercengang-cengang.
“Mengenai apa?”
“Mengenai kematian Puan Norliah, mama Has.”
“Hah? Bila?” Pak Cik Hamdan tersentak.
“Selepas hampir sebulan kau ke Kuala Lumpur. Semasa Has di hospital.”
“Mana kau tahu?”
“Semua pekerja di tapak pembinaan itu bercuti. Kau tak tahu?” Pak Majid mengulangi pertanyaannya.
Pak Cik Hamdan geleng kepala. “Jadi, Has pun belum tahu?” Sekali lagi Pak Cik Hamdan menggelengkan kepala. Fikirannya menerawang. Dia mengira-ngira masa yang disebutkan Pak Majid. Kemudian dia teringat kata-kata Kamsiah. Tiba-tiba dia ikut teringat pada perbualannya dengan Dr. Azhar.
“Kau tahu dia mati sakit apa?” Pak Cik Hamdan mencari kepastian.
“ Kata mereka, Puan Norliah meninggal akibat kanser.”
“Kanser darah?” dengan cepat Pak Cik Hamdan memotong cakap Pak Majid.
“Benar, Dan. Dari mana kau tahu?” Giliran Pak Majid pula menyoal hairan. Namun Pak Cik Hamdan sudah tidak mampu menjawab lagi. Dia terduduk. “Kenapa Dan?”
“Majid… mata Has….”
Pak Cik Hamdan terhinggut-hinggut. Pak Majid tidak bertanya lagi. Dia mula faham apa tersurat di sebalik tangisan Pak Cik Hamdan itu.
“Subhanallah… besarnya kuasa-Mu ya Allah.” Air matanya membasahi pipi. Akhirnya dia berkongsi esakan dengan Pak Cik Hamdan. Pak Cik Hamdan meninggalkan Pak Majid di situ. Dia bergegas kembali ke kampungnya di DurianTunggal. Segala persoalan tentang Zainal hanyut begitu sahaja. Malam semakin beringsut usia. Manusia yang diamuk keresahan terus bergelut dengan rahsia yang hanyut perlahan. – Mingguan Malaysia
Hanyut sebuah rahsia
- Oleh Masraden MD
- 14 November 2021, 5:36 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Tengkujuh di hati Jusuh
7 Januari 2024, 6:07 pm
Bukan salah alamat
29 Oktober 2023, 5:18 pm
Dunia tin sardin
22 Oktober 2023, 6:02 pm