Gincu buat Suria - Utusan Malaysia

Gincu buat Suria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kegelisahan semakin mencengkam. Perasaannya dibalut cemas bercampur gelisah. Buntu fikirannya. Tidak tahu apa yang harus dilakukannya dalam menempuh saat-saat begitu. Cahaya matahari terus menikam ubun-ubunnya. Bahang di dalam khemah khas yang dibina sejak semalam semakin merimaskan nafas.
“Suria hilang!” kedengaran suara dari telefon bimbitnya.
“Macam mana boleh hilang?” tukas Hilman.
“Pagi tadi selepas sarapan, saya minta dia bersiap-siap sambil menguruskan dua adiknya. Semasa hendak berangkat ke sana, saya dapati dia sudah tiada dalam bilik,” terang ibu Suria.
“Akak dah cari di tempat-tempat yang biasa dia pergi?” tanya Hilman cuba menyiasat. Fikirannya masih kusut. Dia bimbang jika sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada Suria. Itu adalah tanggungjawabnya. Silap-silap nanti dia dibuang kerja.
“Saya dah tanya jiran-jiran, mereka pun tak nampak kelibat Suria. Kawan-kawannya pun tak tahu di mana dia,” terang Amnah dalam suara sebak.
Tugas Hilman sebagai penyelia di pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) adalah untuk memastikan semua pelatihnya mendapat vaksin. Program Outreach Vaksinasi Covid-19 khusus untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU). Tiga hari sebelum tarikh vaksinasi, ibu bapa telah dimaklumkan tentang program tersebut. Ada yang tidak bersetuju tetapi setelah diberi penerangan jelas, mereka akur akhirnya.
PDK tersebut terletak di pinggir bandar Mahligai. Seramai 25 orang pelatih berusia 8 hingga 30 tahun ditempatkan di situ. Diterajui oleh seorang penyelia dan tiga pembantu. Kedudukannya sangat strategik bersebelahan dengan sebuah klinik kesihatan.
Seramai 15 pelatih sudah selesai menjalani vaksinasi yang diadakan di pekarangan klinik. Pelatih yang berusia 18 tahun ke atas sahaja terlibat. Berbagai ragam ketika proses itu berjalan. Ada yang memejamkam mata, menangis teresak-esak, ada yang memegang erat tangannya, memeluknya namun ada juga yang tersenyum selepas menerima suntikan vaksin.
“Akak tunggu di rumah, sekejap lagi saya sampai,” beritahu Hilman sambil menghidupkan enjin keretanya.
Hilman seorang pemuda tinggi lampai berkulit cerah. Sudah hampir lima tahun bertugas di PDK tersebut. Dia mesra dipanggil ‘cikgu’. Hubungan dengan keluarga pelatihnya sangat akrab. Mereka dianggap sebahagian daripada keluarganya. Tugasnya sangat mencabar demi memastikan semua pelatih mendapat latihan khususnya pengurusan diri. Di situ berbagai kemahiran yang disediakan seperti masakan, rumah tangga, perkebunan, bakat dan usahawan. Tamat latihan, mereka akan meneruskan kerjaya berdasarkan kemahiran yang diikutinya.
Suria salah seorang pelatihnya yang sangat manja. Hari-harinya sentiasa ceria. Senyuman terukir menyembunyikan luka yang berselirat di atmanya. Tinggal bersama ibu dan dua adik lelakinya. Sudah hampir dua tahun ayahnya pergi tanpa berita. Penghijrahan ke ibu kota untuk mencari pekerjaan. Sehingga kini kelibatnya masih belum muncul. Tiada khabar berita diterima. Demi kelangsungan hidup, ibunya terpaksa menjual kuih-muih di kampung.
Berat badan Suria cuma 30 kilogram serta rengkat ketika berjalan. Usianya sudah menjangkau 18 tahun namun hanya mempunyai ketinggian 125 cm sahaja akibat terbantut pembesarannya.
Sekali imbas seperti berusia 10 tahun. Dia pengidap autisme. Sering dibuli rakan-rakannya. Dia pernah ditempatkan di kelas Program Pendidikan Khas Integrasi di sebuah sekolah menengah.
Dia sering mengamuk apabila kehendaknya tidak dituruti. Dia tidak dapat mengikuti kelas dengan sempurna sehingga dia dicadangkan supaya dimasukkan ke PDK. Setelah hampir dua tahun, Suria nampak seronok dan serasi belajar pelbagai kemahiran di situ.
Kelas yang paling disukainya adalah tarian dan kemahiran rumah tangga. Walaupun rengkat, gerakan tariannya yang penuh dengan kelembutan itu memikat hati sesiapa yang menontonnya. Dia rajin membuat kerja-kerja rumah seperti melipat baju dan menyapu sampah.
Di simpang jalan ke rumah Suria, ada sebuah kedai Kosmetik Sri Manja. Hilman memberhentikan keretanya. Dia segera masuk ke dalam kedai untuk membeli sesuatu. Sebentar kemudian keluar semula dan terus menuju ke rumah Suria.
Persekitaran rumah Suria bersih tanpa sampah-sarap di halaman. Hanya ada beberapa helai daun dari pohon nangka yang baru gugur. Redup di kelilingi pohon rambutan yang sedang masak buahnya.
Rumah papan bercat putih sudah agak lusuh. Kedudukan rumahnya tinggi serta bertangga batu berwarna hijau kusam. Rumah peninggalan arwah ibu Amnah sejak 20 tahun lalu. Adik beradiknya yang lain sudah menetap di bandar. Di rumah itu dia sekeluarga menumpang teduh, lebih-lebih lagi sejak suaminya pergi meninggalkan mereka.
“Di sanalah Suria selalu bermain dengan kawan-kawannya. Dia tak pernah pergi jauh dari situ,” beritahu Amnah sambil menuding jari telunjuknya ke arah satu kawasan lapang kira-kira 50 meter dari rumahnya.
Suasana di situ sunyi sepi. Sesekali kedengaran suara kicau burung hutan sayup-sayup. Di musim pandemik, kanak-kanak jarang kelihatan bermain di situ. Masing-masing berkurung di rumah.
Dahulu ia sangat meriah dengan kehadiran rakan-rakan Suria. Hilman menghampirinya. Gerun hatinya untuk meredah semak samun tebal yang berada di hadapannya itu.
Kampung itu agak terpencil serta tiada taman permainan untuk kanak-kanak bermain. Suasana penempatan kampung masih jelas di kawasan itu. Hanya beberapa rumah batu sahaja yang dibina di situ. Pekerjaan mereka memelihara lembu serta kambing di samping bercucuk tanam.
“Saya bimbang kalau-kalau Suria masuk dalam semak,” Amnah bersuara cemas. Entah apa yang ada di dalam semak tebal itu. Hatinya semakin rungsing bila mengingatkan diri Suria yang sedemikian.
“Dulu pernah ada seorang budak hilang dalam semak itu. Dia meninggal akibat disondol oleh babi hutan,” cerita Amnah.
“Saya rasa, tak mungkin Suria masuk dalam semak itu,” Hilman bersuara cuba menyedapkan hati Amnah.
“Akak dah cari keliling rumah?” tanya Hilman.
“Tak sempat, saya panik tadi,” beritahu Amnah yang semakin sugul.
“Sekarang kita cari sekeliling rumah dulu,” arah Hilman cuba mententeramkan keadaan.
Hilman tiba-tiba teringat yang Suria amat gemar menyorok di bawah tangga pondok bacaan di kawasan PDK. Dia merajuk apabila alat solek mainannya dirampas semasa sesi latihan berjalan. Habis satu PDK gempar dengan kehilangan Suria ketika itu.
“Di sini selamat, cikgu. Dapat lindung Suria dari diganggu orang,” beritahu Suria apabila disoal oleh Hilman kenapa menyorok di situ.
Kini Hilman benar-benar yakin, Tanpa berfikir panjang, Hilman terus berlari anak menuju ke bawah tangga rumah Suria. Di dalam hatinya tidak putus-putus berdoa agar tuhan mempertemukan dia dengan Suria.
“Alhamdulillah. Syukurlah Suria ada di sini,” ujar Hilman. Tekaannya tepat bila melihat kelibat Suria. Tubuh Suria kelihatan comot dan tidak terurus. Sudah lebih tiga jam Suria berada di bawah tangga itu. Amnah segera memeluk anaknya dengan penuh rasa syukur. Suria terus menangis ketika dipeluk ibunya. Tangisannya terhenti bila melihat wajah Hilman.
“Saya tak mahu disuntik. Saya takut. Jangan paksa saya,” raung Suria cuba melepaskan diri daripada dakapan ibunya. Dia seperti ketakutan untuk berdepan dengan Hilman.
Hilman hanya diam membisu. Dia tidak mahu menambah kecelaruan Suria.
Amnah memujuk Suria keluar dari tempat persembunyian. Mereka duduk di sebuah bangku di bawah pohon rambutan. Matanya masih liar sambil memerhatikan Hilman. Mukanya disondol-sondol ke bahu Amnah. Keadaan Suria masih belum reda, malah tingkahnya bertukar lebih agresif.
“Pergi, pergi cikgu dari sini, jangan ganggu Suria, Suria tak nak suntik vaksin tu,” tempik Suria sekali lagi. Kali ini lebih kuat berbanding tadi.
“Tak, tak, cikgu datang bukan untuk suntik Suria,” pujuk Hilman dengan lembut untuk meredakan suasana kalut itu.
“Tengok ini, cikgu bawa apa,” pujuk Hilman sambil mengeluarkan kotak kecil berisi gincu berwarna pink dari dalam poket seluarnya. Gincu yang dibeli semasa singgah di kedai tadi.
“Eh, gincu,” sahut Suria dalam suara agak mengendur.
“Suria tentu suka gincu ini kan?” pujuk Hilman penuh lembut.
“Suka. Suka sangat. Dah lama Suria nak gincu warna pink ini,” ujar Suria dalam nada penuh manja. Wajahnya kelihatan gembira dengan apa yang ditunjukkan Hilman.
Amnah mengenakan gincu itu pada bibir Suria yang manis itu. Suria tampak semakin seronok, jelas di wajahnya senyuman kegirangan.
Tiba-tiba saja watak Suria bertukar lembut menyantuni Hilman. Padam api kemarahannya.
“Cantiknya Suria, macam bintang filem Bollywood,” usik Hilman.
“Macam pelakon yang Suria minat tu, namanya Kajol kan cikgu?” Suria semakin teruja.
Suria tersengih, seolah berbangga dengan pujian yang diterimanya itu sehingga lupa kisah dia menyorok tadi.
Oleh kerana terlalu seronok, Suria menyanyi lagu Hindustan dengan caranya yang tersendiri sambil mengelilingi pohon rambutan. Dia bayangkan seolah-olah dirinya Kajol. Adik-adik Suria bersorak keriangan. Hilman dan Amnah ketawa bersama-sama.
“Sekarang cerita pada cikgu kenapa Suria tak mahu pergi vaksin?” Hilman mula mencungkil apa yang tersembunyi di kotak fikiran Suria.
“Suria takutlah cikgu. Kawan depan rumah itu cakap, sakit sangat kena suntik. Muka kita akan jadi hodoh selepas disuntik. Suria tak nak jadi macam tu,” adu Suria.
“Itu tidak benar, kita suntik vaksin tu untuk jadi sihat. Nanti boleh lindung kita daripada dijangkiti penyakit Covid-19 yang merebak sekarang. Cikgu yakin Suria tak akan bertukar jadi hodoh, malah semakin cantik sebab dah pakai gincu pink ini,” pujuk Hilman.
“Betul ke cikgu?” soal Suria sekali lagi inginkan kepastian.
“Betul, kalau tak percaya tanyalah ibu,” jawab Hilman lagi sambil matanya memandang jam tangan.
Amnah turut mengangguk mengiakan penjelasan Hilman. Dalam hatinya dia bangga dengan kredibiliti Hilman. Rela berkorban masa dan tenaga demi melunaskan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.
“Sekarang ikut cikgu, kita pergi vaksin, kawan-kawan Suria semua dah selesai.” Tangan Suria terus dipimpin ibunya sambil berjalan beriringan menuju ke kereta Hilman.
Kelopak mata Hilman tiba-tiba basah. Wajah Dayana adik bongsu kesayangannya menari-nari di ingatan.
Dayana juga autisme dan telah pulang menemui pencipta-Nya lima tahun lalu akibat komplikasi paru-paru berair. Senyuman manja Suria meluruh rindunya kepada Dayana. Suria tersenyum sambil sebelah tangannya menggenggam erat gincu pemberian Hilman. Perlahan-lahan diletakkan ke dadanya. Matanya mengerling ke arah Hilman dan Amnah yang berdiri tidak jauh dari situ. – Mingguan Malaysia 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya