Bagaimana rupa karya sastera masa depan? - Utusan Malaysia

Bagaimana rupa karya sastera masa depan?

Dr. Anwar Ridhwan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bahagian 1

Butiran kata-kata tokoh yang satu ini, riuh mengalir bagai gerimis. Itu sekali gus mencoret makna terhadap perjalanannya sebagai seorang sasterawan yang ulet memperjuangkan nasib kesusasteraan negara.
Dalam gagasan rasionalnya, sastera bukan bahan ringan-ringan sekadar memenuhi tuntutan silibus bilik darjah, namun lebih jauh dari itu ia sebenarnya berperanan membentuk warganegara bangsa yang bertamadun, kritis dan maju daya fikir serta sahsiah.
Tokoh yang dimaksudkan ialah Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan, yang disantuni Mingguan Malaysia baru-baru ini.

SEIMBANGKAN PEMBANGUNAN FIZIKAL, ROHANI
Beliau yang juga Pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem, Aswara berkata, fungsi sastera terhadap pembangunan negara jelas ditonjolkan melalui elemen-elemen yang dibina terhadap masyarakat.
Ini katanya, termasuk pembinaan jati diri melalui naratif dan bahasa indah dalam sesebuah karya, mengasah daya berfikir yang kreatif, kritis serta membina, malah karya sastera juga turut memupuk nilai estetik dan kerohanian dalam jiwa pembaca.
“Saya kira kesusasteraan ini perlu dalam kehidupan manusia, kerana kita tidak mahu wujud kelompok masyarakat yang tak seimbang dari segi teknologi berbanding kerohanian. Misalnya, maju dari segi pembangunan fizikal semata-mata, tapi tiada kerohanian serta nilai estetik.
“Sedangkan jika kita tengok di negara-negara maju, penghargaan kepada sastera serta perkembangannya masih berjalan baik, kerana di sana sastera diangkat sebagai satu puncak kepada penggunaan bahasa indah dan berkesan, selain membentuk gagasan pemikiran warga bangsa yang bernas,” katanya.

‘INTERNET BENDA’
TAK GUGAT
Pun begitu, katanya, penggiat sastera terutama penulis buku, haruslah terbuka bagi mengharmonikan gaya kesusasteraan konservatif agar bergerak seiring dengan perkembangan dunia yang semakin digital dan global sifatnya.
Ini kerana, katanya, digitalisasi sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada sambutan masyarakat terhadap buku termasuk buku-buku sastera.
“Walaupun generasi sekarang dihidangkan dengan internet benda (internet of things) termasuk laman web, blog dan media sosial yang memiliki kemampuan untuk menghantar maklumat melalui jaringan internet semata-mata, namun pada pandangan saya, kepentingan buku tetap tidak akan hilang dan ia akan kekal relevan.
“Maklumat ini saya dapat daripada teman-teman yang berniaga buku, mereka beritahu bahawa walaupun dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, hakikatnya permintaan terhadap buku tetap tinggi khususnya yang berbentuk elektronik,” katanya.

RUPA KARYA MASA DEPAN
Justeru, katanya, penulis sastera wajar mencari kaedah yang sesuai bagi menghasilkan medium berkarya yang menepati selera khalayak masa kini, namun tidak meminggirkan nilai estetik sedia ada.
“Saya tak dapat meramalkan apakah bentuk medium kesusasteraan pada masa akan datang, apakah penulis sastera masih akan berkarya dalam bentuk buku fizikal atau sebagainya. Namun saya kira sekarang dalam satu proses evolusi, yang mana hanya generasi muda mampu menentukan bagaimana bentuk dan corak karya sastera pada masa akan datang.
“Saya rasa bukan lagi dalam bentuk bercetak semata-mata, dan saya sering mengingatkan kepada pelajar-pelajar saya, bagaimanakah kita mahu kekalkan nilai-nilai sastera dalam teknologi dan platform yang baru.
“Bagaimana kita mengekalkan nilai estetik bahasa yang indah dalam hasil sastera akan datang, yang mampu meninggalkan kesan emosi kepada pembaca. Kedua, bagaimana karya pada masa akan datang tetap menonjolkan aspek estetika seni, dan mampu memberi satu pengalaman baru kepada khalayak. Jadi nilai dan elemen ini harus dikekalkan,” katanya.
‘RUMAH SEPTUAGENARIAN’
Meski di batas waktu, Anwar berkata beliau tetap memperuntukkan sedikit masa sebalik kesibukan rutin, untuk terus menghasilkan ‘buah tangan’ kepada masyarakat demi memugar semangat dan roh kesusasteraan negara.
Dari hal itulah, katanya beliau berjaya menghasilkan karya terbaru yang terbit tahun ini, berjudul Rumah Septuagenarian.
“Septuagenarian ini bererti individu dalam lingkungan umur 70 sehingga 79 tahun. Karya ini menghimpunkan tujuh skrip drama yang belum pernah dipentaskan dan diterbitkan.
“Bagaimana saya mencari masa menulis di sebalik rutin? Memanglah rutin harian saya agak sibuk, kerana dalam satu minggu ada tiga atau empat hari saya memberi kuliah kepada bukan saja pelajar-pelajar ijazah sarjana muda, tapi juga di peringkat ijazah serta doktor falsafah.
“Jadi waktu untuk saya menulis pada waktu malam atau hujung minggu, kerana semasa saya bertugas, saya tidak menggunakan waktu rasmi untuk tujuan peribadi,” katanya menyudahi perbualan. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya