Sayembara DBK 2021 dalam talian - Utusan Malaysia

Sayembara DBK 2021 dalam talian

Johan Sekolah Rendah 2020, Nur Awatif Inani Abdullah juga memenangi Anugerah Khas Juri menerima hadiah daripada Exco Kelantan, Datuk Md. Anizam Ab. Rahman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Zainal Abidin Muhamad

Sistem kehidupan seluruh dunia telah berubah akibat pandemik Covid-19. Gaya komunikasi dalam segala hal berubah secara drastik daripada komunikasi bersemuka kepada komunikasi dalam talian yang dilihat sebagai norma baharu untuk meneruskan kelangsungan kegiatan harian manusia dalam suasana yang walang.
Dalam aspek kesusasteraan, pandemik telah memberi harapan baharu dalam lapangan ini. Banyak sayembara, pertandingan dan pendeklamasian berlangsung secara dalam talian dan Sayembara Deklamasi Puisi sempena dengan Dekad Bahasa Kebangsan (SDPDBK) 2021 juga akan diadakan secara dalam talian.
Acara anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dan Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan dan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPNK) ini telah bermula sejak 2001.
Acara yang pada asalnya dikenali dengan nama Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan telah dijenamakan semula dengan nama SDPDBK pada 2019.
Acara untuk tahun ini akan berlangsung secara dalam talian bermula pada 1 hingga 11 November melalui Facebook (FB) GEMA.
Pihak penganjur tentunya tidak mahu acara tahunan yang dinantikan oleh setiap lapisan masyarakat ini lenyap begitu sahaja.
Mengambil pendekatan itu sejak 2020 acara ini diadakan secara dalam talian. Secara kesimpulannya, pandemik Covid-19 telah mencipta suatu paradigma baharu menerusi kepelbagaian peristilahan bahasa, kaedah penganjuran aktiviti sastera selari dengan penghidupan dalam norma budaya.
SDPDBK yang bertujuan merangsang dan menggalakkan masyarakat agar meluahkan rasa cinta terhadap bahasa kebangsaan ini terbuka kepada pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah di Kelantan.
Selain itu, penganjuran program ini pastinya dapat mencungkil bakat-bakat baharu dalam kalangan generasi hari ini dalam bidang deklamasi puisi. Di samping itu penganjur mengharapkan agar ia dapat mendekatkan dan memupuk minat masyarakat terhadap bahasa dan sastera tanah air.
Sayembara deklamasi puisi bermaksud pertandingan deklamasi sajak. Peserta bagi kedua-dua kategori dikehendaki memilih salah satu puisi yang terkandung dalam Antologi Puisi Bahasa yang dikumpulkan oleh pihak penganjur untuk dideklamasikan.
Puisi-puisi berkenaan boleh didapati di DBPWT atau boleh juga dimuat turun secara percuma melalui FB GEMA.
Hanya 10 peserta terbaik bagi setiap kategori dipilih ke peringkat akhir. Peserta saringan perlulah merakamkan puisi yang dideklamasikan.
Rakaman video peringkat saringan hendaklah dihantar ke FB GEMA dan juga e-mel kepada [email protected] mulai 1 hingga 11 November ini.
Pertandingan akhir diadakan secara langsung dalam talian melalui aplikasi Google Meet. Pautan pertandingan akan diberikan oleh penganjur kepada peserta akhir nanti.
Tarikh pertandingan peringkat akhir akan dimaklumkan oleh pihak urus setia. Hadiah untuk kategori sekolah menengah bagi johan, naib johan dan tempat ketiga masing-masing wang tunai RM400, RM300, RM200 bersama piala iringan dan sijil.
Bagi kategori sekolah rendah pula RM250.00 untuk Johan, RM200 untuk naib johan dan RM150 bagi tempat ketiga diiringi dengan piala dan sijil.
Penganjur juga menyediakan hadiah wang tunai RM100 untuk tempat keempat hingga keenam dan 4 hadiah saguhati untuk setiap kategori. Sementara itu, peserta yang memperoleh kongsi video tertinggi akan mendapat wang tunai RM100 setiap kategori.
Untuk keterangan lanjut mengenai sayembara ini boleh hubungi Siti Nur Zafran ( 017-2249306).
Kita semua perlu akui bahawa dunia sastera kita adalah kecil, terkepung dalam suatu lingkungan komuniti yang berpencar-pencar pula dalam kelompok masing-masing.
Pihak penganjur mengharapkan agar kegiatan sebegini dapat membuktikan bahawa seni, sastera dan budaya memainkan peranan yang amat besar dalam mendidik masyarakat.
Kejayaan dan sokongan banyak pihak khususnya kerajaan negeri dan DBP pastinya menggambarkan bahawa bidang deklamasi adalah relevan, malar segar dan diterima masyarakat jagat walau negara dalam suasana endemik.

PENULIS ialah Ketua 1 GEMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya