Remeh atau tidak kuasai? - Utusan Malaysia

Remeh atau tidak kuasai?

Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENITI usia 65 tahun pada tahun ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membuka lembaran sejarah tanah air bagi menggerak dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.
Dahulu dikenali sebagai Balai Pustaka, DBP tak pernah pudar semangatnya membajai pepohonan ilmu bahasa Melayu, yang kini makin sirna dibadai arus kebaratan.
Membuatkan fungsinya lebih unggul dalam mengukuhkan akar kebudayaan dan pembangunan tamadun bangsa Malaysia yang berilmu, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran yang ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini berkata, institusi itu juga diamanahkan dengan tanggungjawab besar memelihara Perlembagaan.
“Kalau kita lihat, dalam Perkara 152 Perlembagaan kita, ada dinyatakan dengan jelas bahawa bahasa Melayu itu adalah bahasa kebangsaan dan juga bahasa rasmi negara.
“Maksudnya, antara perkara yang termaktub dalam Perlembagaan yang dijaga dan dikawal oleh Perlembagaan kita adalah hal berkenaan bahasa Melayu, sebab itu DBP adalah satu institusi yang menjaga dan memelihara Perlembagaan itu.
“Sebab itu, kalau kita lihat sejarah DBP, ia ditubuhkan pada 1956, iaitu setahun selepas negara mencapai kemerdekaan. Jadi di situ boleh dilihat bagaimana harapan pemimpin kita sewaktu merundingkan kemerdekaan, malah pandangan daripada penjajah British itu sendiri, yang bersetuju dengan tuntutan-tuntutan golongan nasionalis yang menuntut kemerdekaan, termasuk dari aspek bahasa Melayu,” katanya.

LEBIH SEJUTA ISTILAH
Katanya, selaras dengan amanah dipikul demi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, DBP telah mencipta berjuta-juta istilah.
“Sudah lebih sejuta istilah kita bina. Pada masa sama, dari segi ejaan, kita memperkukuhkan kedudukan bahasa Melayu dengan mencipta ejaan-ejaan baharu.
“Dahulu, kita tiada satu sistem ejaan dan kemudian kita bekerjasama dengan Indonesia pada 1972, bagi mewujudkan satu sistem ejaan baru yang diguna pakai hingga sekarang,” jelasnya.
Sehubungan itu, katanya kini bahasa Melayu berjaya diperkasa di kedudukan yang sangat kukuh.
“Sebagai bahasa bagi negara bangsa kita, yang juga bahasa ilmu yang telah melahirkan insan-insan Malaysia yang berjaya dalam pelbagai lapangan, bahasa Melayu kini berada dalam kedudukan yang sangat kukuh malah tiada beza dengan bahasa lain.
“Sebab tiada perkara yang tak mampu diungkapkan dalam bahasa ibunda kita ini. Cuma, kelemahan sekarang ini adalah kelemahan penuturnya, bukan kelemahan bahasa. Bahasa kita sudah lengkap, malah berevolusi sesuai dengan arus moden apabila melahirkan istilah-istilah yang popular dengan generasi terkini, seperti swafoto bagi maksud selfie,” katanya memberi contoh.

LAHIRKAN MASYARAKAT BERILMU
Sesuai dengan pencapaian itulah, kata beliau, bahasa Melayu berjaya melahirkan masyarakat yang berjaya.
“Apabila kerajaan memutuskan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan, yang menggantikan bahasa Inggeris, ini membawa kesan besar kepada negara.
“Kalau kita lihat sejak merdeka, apabila sekolah-sekolah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, telah terbukti bahawa bahasa Melayu ini memainkan peranan sangat penting dalam memberi ilmu dan memandaikan bangsa Malaysia.
“Tidak ada seorang pun daripada rakyat Malaysia kecuali segelintir kecil yang sekarang ini berjaya dalam pelbagai lapangan, baik dari birokrat, ahli politik, teknokrat dan lain-lain lapangan, yang tidak belajar menggunakan bahasa Melayu,” tambahnya.

ANASIR ANTI-BAHASA
Sewaktu diajukan soalan, apakah pandangan beliau terhadap golongan yang konon menjulang Perlembagaan tapi meremehkan bahasa Melayu, malah ada yang malu bertutur bahasa itu, Abang Sallehuddin berkata, setiap rakyat yang mengaku dirinya warga Malaysia, wajar mempunyai rasa cinta demi memugar keluhuran bahasa ini yang menjadi identiti negara.
“Kalau mereka mengaku dirinya rakyat Malaysia, dan kalau mereka selalu mengaku bahawa mereka mempertahankan Perlembagaan, bercakap di sana-sini tentang Perlembagaan, maka mereka mesti ingat bahawa keluhuran bahasa Melayu itu dituntut dalam Perlembagaan.
“Jika mereka menganggap diri masing-masing sebagai rakyat Malaysia, sepatutnya perkara yang meremehkan bahasa Melayu ini tidak berlaku. Malah kita agak dukacita dengan perkara ini, namun kita faham.
“Kemungkinan mereka tak berbahasa Melayu, sebab kelemahan mereka. Mereka tiada niat memperlekehkan bahasa Melayu, tapi sebab tak mampu menguasainya, maka seolah-olah menunjukkan mereka tak memelihara keluhurannya. Justeru, perkara ini harus diberi perhatian,” tegasnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya