Mengangkat aliran sastera - Utusan Malaysia

Mengangkat aliran sastera

Ternyata mata pelajaran kesusasteraan sedang melalui fasa inovasi yang lebih bersifat kontekstual yang membentuk ke arah pemikiran kritis, kreatif. - Gambar hiasan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Mohd. Amir Mohd. Zahari

PERALIHAN pemikiran terhadap pembentukan kemenjadian murid yang mengikuti aliran sastera Melayu perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat dalam melahirkan pelajar yang mempunyai daya kreativiti yang tinggi.
Dalam usaha ke arah itu, pada tahun 2020 pelarasan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) bagi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK) digunakan untuk pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima. Maka, Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) KMK merupakan platform yang berperanan lebih aktif dalam membangunkan lagi mata pelajaran kesusasteraan.
Kandungan DSKP mata pelajaran KMK telah menggariskan beberapa strategi untuk memastikan kebolehpasaran pelajar beraliran sastera ditingkatkan.
Antara salah satu aspek diberi perhatian adalah melahirkan murid yang dapat menguasai Kemahiran Abad Ke-21 dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dengan memberi fokus kepada kemahiran berfikir serta kemahiran hidup dan kerjaya yang berteraskan amalan nilai murni sepertimana yang disarankan Kementerian Pendidikan.
Kini, keupayaan mata pelajaran KMK bersifat komersial dalam melakukan beberapa inovasi mengikut kehendak semasa. Pendedahan pelbagai aspek yang terdapat di dalam PdP Sastera bersifat praktikal (hands-on), penerokaan minda (minds-on) dan penghayatan (hearts-on).
Antaranya pendekatan yang pelajar perlu laksanakan mempersembahkan karya yang diadaptasi atau yang dihasilkan dalam pelbagai bentuk kreatif, menarik dan berkesan.
Justeru, penilaian lain seperti kemampuan berkarya, menyertai aktiviti sastera, deklamasi puisi, berlakon, berbalas pantun, berpidato dan lain-lain, langsung memberi pendedahan kepada murid untuk meneroka pengalaman di luar sekolah dalam usaha mencari idea dan inspirasi dalam menghasilkan karya.
Ternyata mata pelajaran kesusasteraan sedang melalui fasa inovasi yang lebih bersifat kontekstual yang membentuk ke arah pemikiran kritis, kreatif dan kemahiran selanjutnya dapat pula dapat menyemai daya saing pelajar, mengintegrasikan pengetahuan dan kemahiran murid.
Usaha ini jelas menunjukkan bahawa inisiatif yang sangat baik mampu menangani persepsi yang mengatakan murid yang mengambil aliran sastera tidak mempunyai masa depan yang cerah.
Untuk menghakis tanggapan negatif masyarakat umum tersebut, imej mata pelajaran kesusasteraan perlu meletakkan kedudukan yang sama dengan mata pelajaran sains dan teknologi. Selaras dengan meneliti kepentingannya sebagai satu cabang ilmu, dan ciri-cirinya yang dapat memenuhi matlamat pendidikan serta berfungsi untuk membentuk pemikiran lebih analitis dan kreatif.
Apa yang penting adalah pendidikan sastera di sekolah bergantung kuat kepada guru yang menyampaikan pelajaran itu. Guru sastera perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dalam mempertingkatkan mutu pengajaran mereka. Peranan guru perlu berlipat ganda dalam merancakkan corak pengajaran yang lebih proaktif.
Pelajar pula perlu menerima dengan hati terbuka dalam melalui sesi pembelajaran KMK dengan lebih interaktif agar perubahan corak KSSM yang baharu dapat mewujudkan persaingan dalam mengharungi revolusi Pembelajaran Abad ke-21.

PENULIS ialah Pensyarah Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya