Memelihara tulisan jawi dan bangsa - Utusan Malaysia

Memelihara tulisan jawi dan bangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Rosman Md Shah

 

Judul: Kumpulan Cerpen Etos Anak Negeri
Penulis: Rosman Md. Shah
ISBN: 978-967-16974-7-4
Penerbit : Metromedia Solutions

Kumpulan Cerpen Etos Anak Negeri menawarkan manis yang istimewa serta lazat yang berbeza berbanding biasa kepada para pembaca. Kumpulan cerpen ini dihasilkan dalam tulisan jawi sepenuhnya dengan sajian dan rencah pemikiran ke arah memartabatkan seni budaya, menyemai semangat patriotik serta mengangkat peradaban bangsa dan nilai-nilai murni. Uniknya, kesemua 15 cerpen di dalam buku ini, menyatu dalam semangat untuk memelihara dan mengangkat kembali tulisan jawi ke tengah-tengah masyarakat pembaca.
Proses penghasilan manuskrip Kumpulan Cerpen Etos Anak Negeri mengambil masa sehingga satu tahun setengah sehinggalah dizahirkan dalam bentuk karya terbitan dengan disokong oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Penjana dan My Creative Ventures Sdn. Bhd. Kumpulan Cerpen Etos Anak Negeri adalah cerminan usaha kecil penulis dalam menyokong Dekad Membaca Kebangsaan juga sebagai tanda sokongan untuk meletakkan kembali tulisan jawi ke persada gemilang sementelah Hari Jumaat diiktiraf sebagai Hari Jawi oleh kerajaan sejak tahun 2020.
Cerpen-cerpen di dalam Kumpulan Etos Anak Negeri diolah menggunakan pelbagai teknik pengkaryaan antaranya yang bersifat futuristik, klasik, realisme dan surealisme dengan gaya bahasa yang pelbagai. Karya-karya yang terdapat di dalam buku ini, dihasilkan dengan berhati-hati agar bertepatan dengan situasi semasa.
Dalam cerpen Apologetik dan Telepok Uwan, penulis mengangkat tema mempertahankan seni budaya iaitu seni muzik tradisi seperti gambus, gamelan, gendang dan zapin. Apologetik memperlihatkan naratif futuristik dan dunia realiti dua generasi – muda dan orang lama terhadap seni. Hal ini ditegaskan sekali lagi oleh penulis dalam Telepok Uwan dengan tema pemeliharaan Adat Perpatih melalui penggunaan simbol telepok (dastar yang dipakai oleh Ibu Soko dalam upacara adat). Sementara itu, cerpen Ketika Laut dan Langit Kita Masih Sama, mengetengahkan makna tentang cinta damai dunia. Peperangan hanya akan membawa lebih banyak kerugian kepada manusia dan bangsa.
Rasian memaparkan pertembungan dua versi cerita (khayalan dan nyata) dalam gaya bahasa klasik yang memperlihatkan kehadiran tokoh terkenal persuratan alam Melayu, Tun Sri Lanang ditemukan dengan panglima perang Barat bernama John Adam Krusenterns, yang juga pernah menulis tentang Sulalatus Salatin dalam versinya yang tersendiri. Kedua-dua watak ini adalah citra dua dunia antara Timur dan Barat yang melihat sejarah dengan perspektif dan tujuan yang berbeza.
Etos Anak Negeri yang menjadi tajuk kepada kumpulan cerpen ini, membawa persoalan dan mesej berlapis. Etos bangsa dan negara akan ditenggelamkan oleh kemunculan oportunis dan kapitalis yang digambarkan sebagai kawanan serigala seandainya lima prinsip Rukun Negara (di dalam cerpen digambarkan sebagai tiang-tiang seri yang dirosakkan oleh angin pawaka) tidak dipelihara dan dihayati.
Persoalan tentang perpaduan antara kaum pula mendasari cerpen bertajuk Budak Estet. Gaya bahasa yang mudah dan santai digunakan dalam memperihalkan kisah pencarian seorang kanak-kanak yang hilang secara tiba-tiba dari kawasan perumahan Estet Lian Seng. Persahabatan antara empat kanak-kanak berbeza ras (Melayu, Cina dan India) diuji dengan kehilangan Man.
Dalam cerpen Anak Mat Lantun, penulis mengenang zaman masa kecil sebagai anak peneroka Felda. Perjuangan peneroka Felda ketika era 80-an, diperlihatkan dalam usaha membesarkan anak-anak, menerapkan pesan-pesan didik ilmu untuk menjadi sebahagian individu yang menyumbang kepada pembangunan sahsiah dan moral masyarakat. Pesan-pesan moral juga diselitkan pada cerpen Cerita Cinta Ubi Kayu, Bulan Rawan di Kaki Lima dan Logamaya di Mahligai Kaca. Sementara itu, cerpen Malaikat di Depan Pintu dan Anil Hubb; Aku dan Romeo, bertemakan dimensi cinta yang agung iaitu cinta kepada Maha Pencipta. Jangan Bunuh Mimpi membawa persoalan lebih serius tentang nasib bahasa yang sering diancam oleh tindakan oportunis dan peredaran zaman.
Dalam Dongeng Antah Berantah, penulis menjelmakan watak Kaduk, Pandir dan Luncai dengan cara yang berbeza. Kaduk yang telah bergelar orang kaya, kini kembali ke Antah Berantah. Dalam diam dia memendam kasad, mempengaruhi orang kampung menggadaikan tanah di Antah Berantah kepadanya. Emas ditawarkan sebagai tukaran kepada pemilikan hasil bumi Antah Berantah.
Keseluruhan cerpen di dalam buku ini adalah manifestasi perasaan kasih terhadap bangsa, agama, negara dan seni budaya. Bahan bacaan dalam tulisan jawi khususnya karya-karya sastera adalah medan memperkaya khazanah warisan persuratan negara. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya