Krisis sosial manusia sejati dan klon - Utusan Malaysia

Krisis sosial manusia sejati dan klon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Ulasan buku
Oleh Ismail Hashim
Novel Amatak mengisahkan manusia klon- manusia yang dilahirkan melalui rahim tiruan untuk tujuan persenyawaan. Tujuan manusia itu diklonkan membolehkan organ-organ mereka digunakan orang lain.
Pemindahan organ-organ ini pula, membolehkan penerima mendapat tenaga baharu dan menyambung hayat mereka.
Dengan pengaruh yang sedia ada ke atas golongan wartawan, pemerintah dan yayasan, Phrommin berjaya mempengaruhi Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang mencipta klon manusia. Phrommin mengharapkan pihak kerajaan dapat mewartakan undang-undang klon di parlimen negaranya.
Penciptaan manusia klon ini mempunyai nilai-nilai komersial yang tinggi, terutamanya permintaan dalam kalangan masyarakat antarabangsa. Phrommin mahukan manusia klon boleh digunakan menjadi anggota polis, pekerja kilang, pekerja ladang dan sektor-sektor lain.
Manusia klon ini akan mati  setelah organ-organ mereka dipindahkan kepada manusia  normal tadi. Novel ini ditulis oleh Wimon Sainimnuan,Thailand.
Karyanya ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia oleh penulis Suwanlerd Pro Poul. Wimon Sainimnuan ialah pemenang S.E.A Write Award 2000.
Wimon dilahirkan pada  1955 di daerah Bang Len,Wilayah Nakhon Pathom, Thailand. Pengarang pernah menjadi editor majalah Phean Nak Arn (Sahabat Pembaca).
Hasil karyanya yang pertama adalah Kumpulan Cerpen berjudul Krase Lom Thi Phad Klab (Arus Angin yang Menghembus Kembali) diterbitkan pada 1983. Novel yang berjudul Ngu (Ular) berjaya mencipta namanya dalam arena penulisan kreatif.
Novel  tersebut telah diterbitkan pada  1984. Kebanyakan karya pengarang ini  mendapat sambutan hangat di pasaran dan dicetak ulang sebanyak tiga hingga enam kali setiap judul.
Novel ini mendatangkan krisis sosial antara manusia klon dengan manusia sejati. Mereka merasakan hidup mereka tidak dihargai dan diri mereka terikat dengan kehendak manusia tertentu.
Plotnya digerakkan oleh Phrommin dan Profesor David Spencer – bertugas sebagai doktor pakar serta Pengarah Hospital Siam San Weid yang bertanggungjawab membina manusia klon ini. Doktor ini juga dikenali ‘Doktor Bertangan Dewata’.
Phrommin dan Prof.  David mengharapkan keuntungan ekonomi yang tinggi dengan mewujudkan manusia klon di pasaran perdagangan antarabangsa.
Pengarangnya menyamakan kuasa Tuhan dengan kuasa manusia dan kasih sayang sesama manusia itu telah jumud. Manusia klon dihidupkan dan kemudiannya dimatikan untuk tujuan pemindahan organ tubuhnya kepada penerima.
Dalam situasi begini, berlakulah pertembungan rasa dendam kerana  tujuan manusia klon tidak bebas saling terikat dengan kehendak tuannya sendiri. Ia mirip seekor ayam dipelihara untuk mendapatkan dagingnya.
Walaupun idea klon merupakan idea ‘gila’, pengarang berjaya membangunkan jalan penceritaan dengan berkesan dan menyentuh deria rasa pembacanya.
Perasaan kasihan kepada nasib manusia klon mengatasi manusia sejati menimbulkan perasaan berbaur antara kesian dan benci.
Pengarang membangunkan watak-watak protoganis dan antagonis dengan berkesan. Watak protoganis ialah  Chiwan dan Orachun dan watak antogonis ialah Phrommin dan Profesor David Spencer. Watak-watak ini menghidupkan konflik dalam novel setebal 331 halaman ini.
Membaca novel Amatak mengingatkan kita tentang pemerdagangan manusia untuk tujuan pelacuran dan pulangannya adalah wang.
Manusia klon  adalah perancangan jangka panjang untuk tujuan kesihatan bagi memanjangkan jangka hayat dengan menggantikan organ sendiri dengan organ manusia klon.
Apakah teori manusia klon berjaya dipraktikkah seratus peratus melibatkan pemindahan organ klonnya ke manusia yang normal? Pemindahan dilakukan ke atas Phrommin menggunakan organ klon Orachun didapati berjaya.
Pengarang membina suasana suspense  selepas pemindahan mata di mana Phrommin tidak dapat melihat dengan jelas dan peti suaranya yang serak dan sengau-  dengan suaranya yang asal sama seperti suara pemilik manusia klon itu.
Rupa-rupanya, keadaan ini hanyalah bersifat sementara kerana setelah  membuka kain pembalut matanya Phrommin sudah dapat melihat dengan jelas dan saraf matanya berfungsi dengan baik.
Kejayaan memperoleh organ yang baharu, mendorongkan Phrommin berasa bangga dan merasakan dirinya  mempunyai tubuh yang baharu dan menamakan dirinya sebagai Phrommin  Thanabodin dengan mempunyai hayat yang lebih panjang.
Dari segi moralnya, Phrommin telah menghancurkan perasaan Rathirat kerana kekasihnya, Orachun iaitu manusia klon mati setelah memindahkan organ kepada Phrommin. Lelaki ini merasakan diri seperti Tuhan yang mempunyai  kuasa ke atas orang lain.
Menurut penulis Suwanlerd Pro Poul dalam tulisan prakatanya, keinginannya untuk menterjemahkan novel ini kerana kandungan falsafah yang menarik dan mampu diterapkan oleh pengarangnya termasuk sokongan rakan-rakannya untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, terutamanya melibatkan unsur-unsur ritual.
Menurut  penulis , kerja-kerja terjemahan novel Amatak berjaya disiapkan pada  2016.  Beliau berdepan dengan kesukaran dalam dialog-dialog asal novel ini meng­gunakan bahasa Pali atau Sanskrit berlandaskan falsafah-falsafah Buddha dalam menghidupkan novel ini.
Judul: Amatak
Pengarang: Wimon Sainimnuan
Penterjemah: Suwanlerd Pro Poul.
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun: 2021
Harga: RM35.00
Pengulas: Ismail Hashim
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya