Caladium cat tumpah - Utusan Malaysia

Caladium cat tumpah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Karya MUKHTAR MUSTAFA

“Kegilaan ini akan teruskan. Bukan lagi sekadar hobi. Bukan lagi menanam secara suka-suka. Jika dahulu hanya semata-mata sebagai hiasan di halaman rumah. Jika dahulu hanya sebagai penyejuk mata memandang, tapi kini segala-galanya kerana keuntungan.”
“Kerana wang mama.”
“Taman mini ini kita akan besarkan. Biar menjadi sebuah nurseri.”
Kesungguhan Fini itu menggusarkan Sarma. Pelbagai persoalan bercambah dalam fikirannya. Apakah cita-cita anaknya itu akan berjaya dan menjadi kenyataan?
“Kita perlukan modal besar Fini. Mama bimbang cita-cita Fini ini gagal.”
“Jangan bimbang mama. Fini akan membuat pinjaman bank. Usaha kita ini akan berjaya.” Fini meyakinkan mamanya.
Bertitik tolak daripada perbincangan antara Fini dan mamanya, sebuah kawasan nurseri di halaman rumah Sarma pun terbina. Kawasan itu mula berpagar dawai berduri dan berbumbung plastik hitam serap cahaya.
Dalam tempoh sebulan pasu-pasu pelbagai saiz mulai sampai. Baja, tanah kompas serta sabut kelapa sudah mulai bertimbun di dalam bangsal sementara berukuran 20 kali 20 kaki.
Dari sehari ke sehari Sarma menunggu pokok-pokok bunga dipunggah turun dari lori. Tetapi penantian itu tidak kunjung tiba. Hinggalah satu hari, sebuah lori sepuluh roda berhenti berhampiran Nurseri Fini.
Fini yang sedang santai di beranda bangun dari kerusi. Dia berlari-lari menuju ke hadapan lori. Dia kelihatan bercakap-cakap dengan pemandu lori. Seketika kemudian dia seperti menjerit.
“Mama, pesanan sudah sampai.”
Sarma meluru keluar mendapatkan Fini. Fini sedang mengira satu persatu kotak bersaiz dua kaki kali dua kaki yang sedang dipunggah turun.
Kerja-kerja mengangkut turun pasu bunga yang berbungkus dalam kotak-kotak kecil sedang diuruskan oleh dua remaja lelaki. Mereka kelihatan begitu berhati-hati menjalankan kerja menurun dan menyusun kotak.
Sarma agak terkejut bila melihat kesemua pasu bunga yang dikeluarkan daripada kotak itu adalah pokok keladi.
Dia ingin bertanya pada Fini, tetapi hasrat itu tidak jadi bila melihat anak bongsunya itu begitu tekun mengeluarkan pokok-pokok yang masih kecil dan berdaun tiga helai.
“Mama, semua caladium yang Fini beli ini adalah spesies yang sedang hot di pasaran sekarang. Peminat keladi akan menyerbu nurseri kita ini”
“Tetapi Fini akan membuka untuk jualan dalam tempoh dua bulan dari sekarang, setelah daunnya tumbuh dua helai lagi dan daun utamanya dapat menyerlahkan warna sebenar.”
Semalaman itu Fini berada berada di nurseri ditemani mamanya. Dia mengasingkan satu persatu pasu keladinya mengikut jenama.
Bermula dari spesies yang paling mahal Florida Beauty, diikuti Rattana Rung Reuang, Keladi Gajah, Black Magik, Albino, Moonlight, Monstera Delicosa, Caladium Festivia dan Mickey Mouse.
Memang kecantikan keladi hiasan ini bergantung kepada bentuk daun dan warna campuran pada daun. Pelbagai variasi warna dapat dilihat. Campuran putih hijau, merah biru dan warna hitam. Ramai yang tertarik kerana daun-daun keladi yang berbentuk love, bujur telur, bulat, lonjong serta warna putih telus.
Fini yakin, bila daun keladi sudah menjadi lima helai, harganya akan mencecah antara RM100 hingga RM5,000.
Bagaimanapun spesies Rattna dan Florida Beauty, Fini tidak akan dijual selagi daun utamanya tidak mencapai sepuluh inci. Kedua-kedua spesies akan mencecah lebih puluhan ribu ringgit.
Bermula dari hari itu Fini menjaga anak-anak keladinya dengan penuh tekun. Sebahagian besar masa Fini habiskan di nurseri. Sistem penyiraman amat diutamakan. Kursus dua minggu yang dihadiri mengenai penjagaan tanaman caladium Alocasia, Dieffenbachia, genus caladium yang diikuti dipraktik sepenuhnya. Dia mahu pastikan anak-anak keladi tidak menerima cahaya matahari yang terik. Sistem pembajaan juga dititik berat.
Fini seperti tidak sabar untuk melihat helaian daun pokok keladinya bertambah. Fini tidak sabar untuk menjual kesemua 500 pasu pokok-pokok yang berada di dalam nurserinya.
Tempahan dari rakan-rakan terus diterima. Tempahan dari jiran-jiran yang baru menduduki kawasan perumahan Taman Seri Gemilang juga dil uar dugaan. Fini merasa puas hati kerana tempahan secara online juga bertambah setiap hari.
Jualan secara besar-besar hanya menunggu saat dan ketika sahaja.
Setiap pagi Fini membelai daun keladinya. Musuh-musuh tanaman seperti ulat, beluncas dan cacing perosak adalah antara makhluk yang boleh mematikan pokok keladinya. Semburan ubat anti makhluk perosak sentiasa Fini buat.
Masuk bulan kedua, Fini mula berfikir pelan pemasarannya. Ketika itulah dia akan mengaut keuntungannya berlipat ganda, Kegembiraan itu tergambar di wajah Fini.
Tapi keesokan harinya kegembiraan itu telah bertukar. Kedukaan tiba-tiba singgah di wajah Fini. Sebaik sahaja membuka pintu pagar nurserinya, langkah Fini tiba-tiba terhenti.
Dia tergamam kaku. Bibirnya kelu. Lututnya terasa lemah. Dia tiba-tiba terduduk. Air matanya bercucuran. Dia menangis dan menangis semahu-mahunya.
Mamanya yang melihat semua itu meluru ke arah Fini. Dia pun turut menitiskan air mata. Dia mendekati anak bongsunya itu. Fini dipapah dan dibawa masuk ke dalam rumah. Dua beranak itu tidak berkata apa-apa. Masing-masing berpelukan. Masing-masing menitiskan air mata.
“Kita rugi besar mama.” dalam sedu-sedan keluar kata-kata itu dari mulut Fini. Air mata Fini masih bercucuran.
“Fini mesti bertenang dan sabar. Mama akan telefon papa.” Pujuk Sarma
“Mama dan papa akan selesaikan semua ini.”
Sarma tahu, di dalam keadaan getir begini dia memerlukan seorang suami berada di sisi. Sarma tahu, Haji Kamil tidak akan membiarkan anak bongsunya menanggung semua beban ini sendirian. Kesusahan ini mesti dikongsi bersama.
Ketika itu jugalah Sarma menghubungi Haji Kamil di Kota Kinabalu. Sarma menceritakan segala-galanya. Bahawa separuh daripada anak-anak keladi hiasan yang dijaga Fini sejak dua bulan lalu tiba-tiba layu.
Mendengarkan berita itu, Haji Kamil mengambil keputusan. Dan pada petang itu juga dia mengambil penerbangan Kota Kinabalu Kuala Lumpur – Kota Bharu Menjelang tengah malam itu, dia sudah pun berada di rumah.
Lampu ruang tamu masih menyala.Haji Kamil sedang mendengar luahan hati anak bongsu, Fini.
“Papa faham perasaan Fini. Fini dalam kesedihan. Fini dalam kekecewaan. Fini mengalami kerugian.”
“Benar papa”
“Papa dan mama masih ada. Fini mesti melupakan semua itu. Kita akan mengambil langkah yang baru. Papa akan bantu Fini.”
Fini terdiam. Dia memeluk erat tubuh papanya. Dia merasa lega seketika. Janji dari papanya membuat dia bersemangat semula. Tetapi satu masalah yang mungkin tidak dapat dia atasi.
Bagaimana janjinya dengan para pembeli yang telah menempah lebih awal. Bagaimana dia mahu menyorok muka. Bagaimana dia akan membuat alasan. Bagaimana nanti bila ada pembeli yang tiba-tiba singgah di nurseri, terutama penghuni kawasan perumahan Taman seri Gemilang. Semalaman itu Fini tidak dapat melelapkan mata.
Ketika mama dan papanya sudah lena, Fini bangun semula. Dia keluar dari rumah. Dia memasuki nurseri. Dia membilang semula pokok-pokok yang masih hidup. Hanya tinggal 100 pasu sahaja yang masih hidup. Fini menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya yang masih hidup itu boleh dijual.
Fini naik semula ke rumah. Tetapi ketika itu azan subuh telah bergema. Mama dan papanya sudah pun bangun. Fini mandi dan menunaikan fardu subuh. Panjang Fini berdoa. Dan doa Fini yang paling panjang, meminta semoga Allah memberi kekuatan kepadanya.
Ketika di meja makan pagi itu, Haji Kamil mengajak Sarma dan Fini untuk pulang ke kampung. Haji Kamil tahu, di rumah atuknya nanti, hati Fini yang parah terluka akan terubat nanti.
Mereka berdua bersetuju. Sekitar pukul 10 pagi mereka bertolak dari rumah menuju ke Kampung Bendang Ikan. Di Kampung Bendang Ikan itulah 23 tahun lalu Fini dilahirkan.
Di rumah itu jugalah Haji Kamil dilahirkan. Itulah rumah pertama mereka, sebelum berpindah ke Kota Bharu. Kini rumah itu didiami oleh Haji Tarmin. Isterinya Hajah Bedah meninggal 10 tahu lalu.
Setelah tiga jam perjalanan mereka pun sampai. Haji Tarmin agak terkejut. Tetapi lelaki berusia 82 tahun itu tersengih mempamerkan gusi tanpa gigi. Dia tercegat memerhati kedatangan anak, menantu dan cucunya. Setelah bersalaman Haji Kamil dan Sarma naik ke rumah pusaka.
“Sudah tiga bulan saya tidak bertemu ayah. Syukur ayah masih sihat.”
“Tentu ada hajat lain, kalau tidak kamu tak mari jenguk aku.”
“Adalah sikit-sikit ayah.”
“Ayah baiki rumah lagi?” Haji Kamil mengalih perbualan.
“Aku baiki bilik kamu, Kamil. Wang yang kau kirim setiap bulan dah lebih RM5,000 aku tak guna.”
“Habis makan minum ayah, guna wang mana?”
“Hasil jualan ubi keladi setawi (colocasia esculentum) aku pun dah lebih daripada cukup.”
“Aku tanam 1,000 pokok keladi setawi. 10 bulan sudah boleh gali isinya. Permintaan dari Jabatan Pertanian, FAMA, pembuat kerepek dan pasar tani tak putus-putus Kamil.”
Ketika mama dan papanya sedang berbincang di atas rumah, Fini masih berada di halaman. Dia terpegun. Dia sedang dalam kehairanan. Memang tidak terduga. Memang di luar kotak pemikiran.
Fini kemudian berlari-lari membawa wajah keterujaan menuju ke rumah kelahirannya.
“Atuk…atuk, keladi.”
“Ya cu, itu kebun keladi setawi atuk. Kenapa?”
“Mama, papa tengok keladi itu.”
Mereka bertiga bergegas turun mengikuti langkah Fini.
“Keladi ini atuk.” Fini menuding jari ke arah pohon keladi yang tumbuh meliar di atas batas saliran air.
“Itu keladi liar cu, tak boleh makan. Isi, batang serta daunnya gatal. Keladi itu beracun”
“Itu keladi spesies genus caladium dan alocasia atuk.”
“Keladi yang berdaun merah bercampur-campur putih hijau ini, kami orang kampung panggil keladi cat tumpah.”
“Keladi inilah yang Fini cari atuk. Keladi ini mahal kalau di bandar. Beribu-ribu ringgit harganya atuk.”
Sarma dan Haji Kamil ketawa berdekah-dekah. Haji Tarmin terkapar-kapar kehairanan. Dia melangkah menuju kebun keladinya. Dia menggali keladi pinang.
“Bukan keladi itu atuk.” Tiba-tiba Fini bersuara.
“Keladi ini mama kau akan gulai lemak campur udang untuk makan kita malam ini manakala keladi cat tumpah yang Fini minat tu, pagi esok atuk ambil semua untuk kamu.”
Fini tersenyum. Dia terbayang nurserinya. Dia menerpa ke arah atuknya.
“Jangan lupa keladi cat tumpah.”
Mereka berempat ketawa. Cahaya matahari senja memancar ke daun caladium yang tumbuh meliar di Kampung Bendang Ikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya