Biola terakhir - Utusan Malaysia

Biola terakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Karya Md. Rasul Haron

ZAHARI begitu khusyuk menyiapkan kerjanya. Jari-jemarinya ligat menaip di komputer. Kopi panas yang terhidang di atas meja sesekali dihirup. Zahari begitu tekun bekerja sehinggakan dia tidak sedar sudah tiba masa untuk makan tengah hari. Pekerjaannya sebagai seorang pegawai di salah sebuah syarikat terkemuka di ibu kota benar-benar memberikan tekanan untuk menyiapkan tugasan yang diberi.
Bunyi deringan telefon bimbit di atas meja membuatkan dia terkejut. Segera dia menekan butang bercakap tanpa melihat nombor yang tertera di dada skrin telefon bimbitnya.
“Selamat sejahtera. Iya saya Zahari.”
“Encik Zahari, saya Taukeh Ah Peng di sini,” ujar empunya suara itu lagi.
Mata Zahari terbeliak. Nafasnya turun naik. Dia seperti mahu menjerit tatkala mendengar nama Taukeh Ah Peng. Wajahnya tiba-tiba bertukar ceria. Sejak beberapa bulan lalu, dia sentiasa sibuk mencari biola terakhir kepunyaannya ayahnya.
“Petang nanti saya datang ke kedai?” balas Zahari seperti tidak sabar.
Beberapa kali juga dia mengucapkan terima kasih kepada Taukeh Ah Peng dan akhirnya perbualan terhenti di situ. Zahari menjeling ke arah jam dinding. Lagi 4 jam kerjanya hampir selesai.
Dia melangkah ke sofa panjang yang terletak di ruang biliknya untuk berehat seketika. Dia berasa pelik kerana tidak berasa lapar sedangkan pada waktu itu sudah masuk waktu makan tengah hari. Barangkali kerana panggilan itu menyebabkan perutnya kenyang serta-merta.
Beberapa hari lalu dia mengambil cuti untuk menjenguk ayahnya di kampung. Ayahnya kini sudah semakin uzur dan sering sakit-sakit. Disebabkan itu abangnya meminta agar Zahari pulang menziarahi ayahnya.
Meskipun dia sentiasa sibuk dengan tugasan yang bertimbun di pejabat tetapi sebagai seorang anak dia masih bertanggungjawab terhadap ayahnya. Kerana ayahlah dia menjawat jawatan tinggi di pejabatnya.
Dan jika bukan ayahnya yang berkorban untuk membesarkan dia dan abangnya maka sudah pastilah dia tidak mengecapi nikmat kehidupan serba selesa dan mewah. Usai kematian ibunya, ayahlah yang menggantikan tempat sebagai ibu dan bapa. Justeru, tidak ada sebab untuk dia menolak permintaan abangnya untuk menjenguk ayah di kampung pada setiap hujung minggu.
“Ayah, Zahari datang ayah,” kata Zahari ketika dia pulang menjenguk ayahnya.
Ayahnya membuka mata perlahan-lahan. Memegang erat tangan Zahari dengan penuh kasih sayang. Saat itu Zahari dapat merasakan betapa ayahnya telah lama menderita dan kelelahan. Lama Zahari memerhatikan wajah ayahnya. Pada wajah itu terlalu banyak garis kesusahan dan kehidupan yang ditempuh oleh ayahnya.
Pada mata ayahnya tergambar kolam-kolam derita yang sukar ditafsirkan. Rambut ayahnya sudah banyak yang memutih. Menggambarkan betapa kini ayahnya sudah tua dan meninggalkan segala kenangan manis pada masa mudanya. Tangan ayah sejuk. Kulitnya sudah berkedut.
Malah tangan ayah keras kerana bekerja kuat siang dan malam untuk membesarkan Zahari dan abangnya. Bibir ayah juga sudah terlalu pucat dan kadang-kadang ada air mata jernih yang mengalir lesu di pipi ayah. Tatkala melihat ayah pada waktu itu, hati Zahari sebak. Menitis air mata Zahari tanpa dia sedari.
“Ayah, ini Zahari belikan kuih kesukaan ayah. Mari Zahari suapkan,” kata Zahari sambil membuka bekas berisi kuih lapis kegemaran ayahnya.
Ayahnya menggeleng-gelengkan kepala tanda tidak mahu. Ayahnya berusaha untuk bercakap sambil memegang tangan Zahari dengan erat.
“Ada apa ayah?” tanya Zahari lembut.
Namun, pertanyaan itu dibiarkan oleh ayahnya. Ayahnya menunjukkan jari ke arah atas almari dengan pandangan yang agak lemah.
Berkerut dahi Zahari memikirkan apa yang cuba disampaikan oleh ayahnya pada ketika itu. Kemudian, Zahari melangkah ke arah almari sambil menjenguk apa yang ada di situ.
“Kenapa Zahari?” tiba-tiba abangnya muncul dari arah belakang. Zahari hampir terjatuh kerana berasa sangat terkejut.
“Entahlah abang. Ada sesuatu di atas almari yang ayah suruh Zahari ambil,” jelas Zahari
Abangnya mengambil kerusi lalu memanjat almari tersebut. Di situ kelihatan sebuah bekas biola berwarna hitam. Bekas itu diberikan kepada Zahari lalu ditunjukkan kepada ayahnya. Tatkala membuka bekas itu didapati ianya kosong. Zahari dan abangnya berpandangan kehairanan.
“Biola ayah.” itu sahaja kata-kata yang keluar dari mulut ayahnya dengan linangan air mata.
Zahari dan abangnya tergumam. Seingat mereka biola itu sudah lama dijual. Mereka sendiri tidak tahu di mana biola itu sekarang? Pada waktu itu Zahari berumur 10 tahun manakala abangnya berumur 12 tahun. Seingat mereka orang yang membeli biola itu hanya dikenali sebagai Pak Kahar sahaja.
“Agaknya ayah mahukan biolanya kembali?” bisik abangnya.
Kening Zahari bergerak-gerak seperti berlaga-laga sendiri. Agak sukar jika biola itu sudah dijual dan mencari siapa pemilik biola itu sekarang.
“Susah macam ini. Tapi kita boleh cuba dulu,” balas Zahari.
Zahari dan abangnya duduk tercatuk seperti burung. Memikirkan tindakan yang perlu diambil. Seingat mereka ayahnya yang dikenali sebagai Man Biola merupakan seorang lelaki yang sangat kacak pada waktu mudanya.
Tanyalah sesiapa sahaja tentang Man Biola, pasti semua orang akan tahu betapa lelaki itu hebat menggesek biola. Ayahnya pernah menganggotai kumpulan Ghazal Pati yang amat terkenal dalam era 60-an.
Sebagai pemuzik sudah pastilah kehidupan ayahnya sering menjadi perhatian peminat-peminat muzik pada masa itu. Namun apabila sudah berusia dan berumahtangga, ayahnya meninggalkan kumpulan Ghazal Pati dan kembali ke kampung halamannya Pajak Song.
Beberapa minggu kemudian, Zahari mendapat alamat Pak Kahar melalui sepupu ayahnya. Kebetulan pada waktu itu dia mengambil cuti untuk mencari biola kesayangan ayahnya itu. Tatkala memandu memasuki Kampung Changkat, suasana di kampung itu sudah semakin sunyi. Banyak rumah yang sudah dimamah anai-anai. Banyak tanah yang ditumbuhi semak-samun. Semua waris tanah tersebut sudah berhijrah dan meninggalkan kampung demi mencari kehidupan yang lebih mewah. Kini semuanya telah terkubur tanpa ada yang mengunjunginya.
Sampai di rumah Pak Kahar, Zahari telah dijemput dengan mesranya. Meskipun Pak Kahar terpinga-pinga dengan kedatangan yang tidak diundang itu tetapi pantas sahaja Pak Kahar membuka cerita tentang biola terakhir kepunyaan ayah Zahari.
“Pakcik masih ingat tentang biola itu. Memang pakcik beli disebabkan pada masa itu ayah kamu memerlukan duit untuk membayar yuran asrama kamu. Pakcik beli dengan harga RM500,” terang Pak Kahar lagi.
“Tetapi sayang sekali. biola itu sudah pakcik jual kepada seorang usahawan terkenal di ibu kota. Usahawan itu kenalan rapat pakcik. Katanya sangat meminati barangan antik seperti biola kepunyaan ayah kamu,” ujar Pak Kahar lagi.
Kata-kata Pak Kahar membuatkan Zahari terdiam. Wajahnya kembali muram. Kali ini agak sukar pencariannya kerana perlu berurusan dengan orang terkenal pula.
“Boleh pakcik bagi alamatnya?” pinta Zahari seperti meminta simpati.
Pak Kahar mencatatkan alamat pada sehelai kertas kemudian menghulurkannya kepada Zahari.
“Biola itu sebenarnya ada sepasang. Tetapi yang satu lagi sudah terjatuh ke dalam sungai sewaktu kami membuat persembahan di Kampung Baroh tidak lama dulu. Hanya ada sebuah biola sahaja sekarang. Kamu hendak tahu mengapa biola itu sangat penting kepada ayah kamu?”
Zahari menganggukkan kepala. Dia langsung tidak tahu mengapa biola itu sangat penting bagi ayahnya.
“Sebenarnya, biola itulah yang menyatukan ibu dan ayah kamu. Pada biola itu tertera nama ibu kamu, Samihah. Ayah kamu pernah memberitahu jika dia merasa rindu kepada arwah ibu kamu, dia akan melihat biola itu berulang kali. Justeru, pakcik faham mengapa ayah kamu mahukan biola itu kembali,” jelas Pak Kahar panjang lebar.
Mengalir air mata Zahari tatkala itu. Benarlah, hanya kenangan yang paling indah tersemat di lubuk hati tatkala hidup bersama-sama orang yang kita cintai. Kenangan yang tidak pernah padam dari ingatan ayahnya.
Zahari meneruskan pencariannya menuju ke alamat yang diberi. Tatkala sampai di sebuah bangunan pencakar langit, dia berdoa agar pencariannya untuk kali ini berjaya.
Dia duduk di sebuah sofa sambil menunggu ketibaan usahawan terkenal itu. Hatinya berdebar-debar. Dia jadi tidak menentu.
“Masih ingat saya?” Tegur seorang lelaki agak gempal dan berumur dalam lingkungan 60-an.
Zahari tersentak. Di hadapannya seorang lelaki yang amat dikenalinya. Dia adalah bekas ayah kepada kekasihnya iaitu Rihani. Terpisat-pisat mata Zahari melihatkan Datuk Azman yang ersenyum memandang Zahari.
“Pak…Pakcik.” Tegur Zahar terketar-ketar.
“Terkejut. Sudah hampir tujuh tahun kita tidak bertemu. Usai kamu pulang ke tanah air setelah menghabiskan pengajian kamu di London kita tidak pernah lagi berjumpa. Apa khabar Zahari?”
Zahari hanya tersengih. Dia berasa amat malu. Sudah lama dia memutuskan hubungannya dengan Rihani. Perhubungannya putus kerana dia tidak mahu Rihani menunggu dirinya terlalu lama. Dia hanyalah mangsa kepada keadaan. Itu sahaja!
“Kamu masih bujang atau…?” Soal Datuk Azman tanpa menghabiskan ayat seterusnya.
Zahari menggeleng-gelengkan kepala. Tiba-tiba sahaja pencarian biola ayahnya menjadi agenda kedua pula
“Rihani masih setia menunggu kamu. Sehingga sekarang cintanya kepada kamu tidak pernah berubah. Pakcik mahu agar Rihani dan kamu berbaik-baik semula. Tentang biola kepunyaan ayah kamu itu usahlah kamu risau. Pakcik sudah berikan kepada seorang rakan baik pakcik yang bernama Taukeh Ah Peng. Ini nombor telefonnya.”
Untuk kali ini hati Zahari sangat ceria. Dia gembira apabila kisah cintanya mendapat restu daripada ayah Rihani.
Dia paling gembira apabila mendapat khabar tentang biola kepunyaan ayahnya itu. Segala penat lelahnya akan berakhir tidak lama lagi. Jika biola itu menyatukan ibu dan ayahnya. Dia juga begitu. Biola itu benar-benar menyatukan cintanya kembali dengan Rihani kekasih hatinya.
“Sudah pukul dua, kamu tidak mahu makankah?” Teguran Imran rakan sepejabatnya membuatkan Zahari tersentak. Terlalu lama dia mengelamun.
“Imran, aku hendak keluar sekejap,” kata Zahari sambil berlalu pergi meninggalkan Imran terpinga-pinga kehairanan.
Pedal minyak ditekan laju menuju ke kedai Taukeh Ah Peng. Itu alamat yang diberi oleh Datuk Azman. Kebetulan pada masa itu jalan tidak sesak membuatkan dia segera sampai di kedai tersebut.
Sesampai di hadapan kedai, dia memakir kereta dengan berhati-hati. Hatinya tidak sabar untuk bertemu dengan Taukeh Ah Peng seperti mana dia tidak sabar untuk bertemu Rihani.
“Mana biolanya Taukeh?” Tanya Zahari tanpa memberi salam. Taukeh Ah Peng yang pada waktu itu sedang menyusun pelbagai alat muzik tergamam. Namun dia tahu yang berada di hadapannya sudah tentu Zahari yang dihubunginya tadi.
“Ini.” Taukeh Ah Peng mengambil sebuah biola lama lalu ditunjukkan kepada Zahari. Saat itu Zahari seperti ingin menjerit kegembiraan. Diamatinya permukaan biola itu dan memang benar ada ukiran nama Samihah iaitu nama ibunya.
Bunyi telefon bimbit Zahari menyebabkan Zahari terkejut. Diamatinya nombor telefon itu dan ternyata dari abangnya.
“Zahari, ayah sudah tiada.”
Zahari tergumam. Biola terakhir dalam dakapannya terus didakap erat. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya