Segenggam iltizam  - Utusan Malaysia

Segenggam iltizam 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Karya Sujata Wee

Kini bukanlah waktu untuk meratapi nasib badan. Malah Angelin tidak punya masa untuk berkeluh kesah di saat rakan-rakan sebaya dengannya sedang menekuni pelajaran di sekolah. Angelin pula sibuk mengupas bawang, menyiang ikan, kadang-kadang bergerak pantas ke hulu ke hilir memunggah barang demi sesuap nasi. Walau sepenat mana sekali pun Angelin bekerja tidak ubahnya seperti lipas kudung, namun gajinya tetap 20 ringgit sehari.  Bermula jam sembilan pagi hinggalah lima petang. Majikannya Kak Kian tidak mampu untuk membayar lebih memandangkan perniagaan warung makanannya secara kecil-kecilan sahaja.
Kak Kian membuka warung di kampung sebelah rumah mentuanya sendiri. Pelanggannya terdiri daripada rakan-rakan Facebooknya yang tinggal serata daerah. Mereka datang semata-mata menyokong perniagaan Kak Kian, tambahan pula masakan Kak Kian sangat sedap. Kalah restoran dibuatnya. Perniagaan Kak Kian boleh dikatakan semakin maju dari hari ke hari. Angelin sebenarnya amat berterima kasih kepada Kak Kian kerana sanggup menerimanya bekerja seawal usia 14 tahun. Kak Kian simpati nasib Angelin dan memperkenalkan Angelin kepada orang ramai sebagai saudaranya sendiri.
Angelin tidak pernah menitiskan walau setitik pun air mata saat ayahnya meminta dia untuk berhenti sekolah tahun lepas. Dua orang adiknya perlu diberi keutamaan. Malah Angelin diminta membantu walaupun pendapatannya di warung Kak Kian tidak seberapa. Angelin tidak membantah. Berkat berjimat cermat dapatlah dia menyumbang seratus ringgit sebulan untuk bapanya membiayai persekolahan dua adik lelakinya itu. Guru-guru di sekolah agak keberatan untuk melepaskan Angelin, kerana dia pelajar pintar. Dia mempunyai peluang yang cerah pada masa hadapan. Namun kerana alasannya yang kukuh guru-guru tidak mampu mengubah keputusannya itu.
Ibu Angelin, Sopha wanita negara jiran. Berkulit putih kuning berbadan kurus dan berambut lurus melepasi bahu. Sopha berasal daripada keluarga yang hidupnya kucar-kacir. Malah dia tidak mengenali siapa bapanya sendiri. Kehidupan Sopha dibayangi masa lalu yang suram menyebabkan dia gagal mengendalikan dirinya sendiri.
Sopha gemar berpeleseran dan mengambil dadah untuk dijadikan teman hidup. Baginya tidak ada apa-apa yang perlu dipertahankan, tidak maruah apatah lagi cita-cita untuk memiliki  kehidupan yang lebih baik. Menghuni rumah pelacuran di pekan terpencil tanah seberang akhirnya mengikut Eh Boon, lelaki berbangsa Peranakan Cina ke Kelantan sebagai status seorang isteri. Malangnya Eh Boon tidak mampu memberi kemewahan sebagaimana diharapkan oleh Sopha kerana  kerjanya yang tidak menentu. Kadang-kadang menjadi drebar lori, mengambil upah memasang marmar dan bermacam kerja dilakukan. Adakalanya dia terpaksa mengambil cuti kerana badannya yang selalu sakit-sakit.
Ibu Eh Boon menjengilkan mata menerima kepulangan menantu yang tidak diraikan. Dia berasa tersangat malu pada penduduk kampung apabila perempuan itu menjadi menantunya. Pasti penduduk kampung mengumpatnya dari belakang, namun apalah daya dia untuk menghalang. Terpaksa diterima walau hati tersangat sakit dengan tindakan anak lelakinya itu.
Hari-hari berlalu tidak ubahnya seperti selumbar menusuk hati. Masing-masing menjeruk rasa dan perasaan benci emak Eh Boon kepada menantunya semakin menebal. Perempuan itu tidak pernah membantunya di dapur, hanya keluar pagi pulang petang. Pulang untuk makan kemudian masuk ke bilik tidurnya tanpa sepatah pun berbicara dengan ibu mentuanya.
Keadaan berlarutan sehinggalah perempuan itu melahirkan tiga anak. Angelin, dan dua adik lelakinya. Namun sebagai seorang nenek dia menyayangi cucu-cucunya dan menjaga makan minum mereka. Sopha melepaskan tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada mentuanya.
“Lin, ingat pesan nenek. Walau sesusah mana pun hidup kita, jangan sesekali melakukan perbuatan yang buruk. Jangan menipu atau mencuri hak orang. Kita hidup harus ada maruah dan harga diri.”
“Baik nenek. Pesan nenak akan Lin ingat sampai bila-bila.” Angelin memeluk dan mencium neneknya dengan penuh kasih sayang.
Angelin dapat mempelajari banyak perkara daripada neneknya. Sebagai seorang budak yang rajin Angelin selalu membantu neneknya melakukan apa saja pekerjaan. Kasih sayang neneknya telah mengajar dia menjadi insan yang baik dan patuh kepada orang tua. Akhirnya nenek menghembuskan nafas yang terakhir di ribaan Angelin yang sangat dimanjakannya. Sebahagian daripada kegembiraan Angelin turut dibawa pergi oleh neneknya.
Kematian nenek tidak mengubah apa-apa kepada Sopha. Dia tetap dengan tingkah laku buruknya. Makan minum anak dan suami tidak dipedulikan. Terpaksalah Eh Boon mengambil alih tanggungjawab terhadap anak-anak. Dan Angelin pula semakin bertambah tugasnya. Pulang kerja terpaksa pula menguruskan rumah. Mengemas, mencuci dan melakukan segala-galanya. Kewujudan ibunya tidak ubah seperti tunggul kayu sahaja.
“Lin, selepas mengupas bawang tolong pergi kedai Pak Amit ya. Bekas mengisi nasi dan kuih-muih hampir kehabisan. Belilah dalam seratus biji.” Kak Kian memberi perintah. Biasanya Kak Kian beli sendiri tetapi hari itu Kak Kian betul-betul terlupa. Kebetulan suami Kak Kian pula ke luar daerah atas urusan penting.
Angelin yang suka bertopi, berambut pendek berbadan kurus dan berkulit hitam manis itu laju saja mengayuh basikal ke kedai Pak Amit. Dia tidak pernah membantah suruhan majikannya. Kadang-kadang teringin rasanya Kak Kian meminta Angelin mencari pekerjaan yang lebih bagus daripada bekerja di warungnya. Namun Angelin tidak boleh bekerja sembarangan tempat kerana dia belum cukup umur.
Balik dari kedai Pak Amit Angelin singgah di rumahnya. Dia mahu mengambil buah rambutan yang dikait bapanya untuk diberikan kepada Kak Kian. Pagi tadi dia langsung terlupa untuk membawanya. Suasana lengang tengah hari itu. Dua orang adiknya belum pulang ke rumah. Mereka berjalan kaki sahaja untuk pulang dari sekolah. Setiap hari ayahnya akan membeli dua bungkus nasi untuk adik-adiknya yang akan pulang dari sekolah.
Angelin menyandarkan basikalnya di tiang dekat serambi rumah. Setelah basuh kaki di paip depan rumah, Angelin melangkah menaiki anak tangga simen satu persatu. Langkahnya terhenti seketika apabila terdengar seakan suara wanita tertawa mengilai diselangi oleh suara garau seorang lelaki.
Dada Angelin berdebar-debar. Rasa panas menyirap hingga ke cuping telinga. Selama ini memang Angelin pernah mendengar perbuatan sumbang ibunya tetapi dia tidak pernah menyangka yang ibunya akan berkelakuan begitu sehingga ke dalam rumah. Angelin cuba memujuk hati dengan berbaik sangka bahawa ibunya tidak seburuk itu kelakuannya.
Angelin pasti suara lelaki itu bukan suara ayahnya. Pagi tadi ayahnya sudah cakap yang dia akan menghantar barang ke pekan Golok. Kemungkinan ayahnya lewat pulang ke rumah. Banyak perkara yang akan ayahnya buat jika sudah di sana. Angelin tahu benar tentang itu.
Angelin berjalan terhendap-hendap. Kali ini pasti bertemu buku dengan ruas. Dia mahu melihat wajah lelaki yang curang bersama ibunya itu. Dia mahu mengusir lelaki itu jauh-jauh dari rumahnya. Dari kehidupan ibunya yang tidak bermoral. Tetapi mampukah dia seorang gadis remaja berbuat demikian?
Angelin menendang pintu bilik ibunya. Sekali tendang sahaja pintu sudah terbuka. Ternampak olehnya seorang lelaki separuh umur dan tidak berbaju. Mereka tersentak dengan perbuatan Angelin. Ibunya terbeliak mata tanpa berkata apa-apa. Terkejut benar dia kerana selama ini Angelin tidak pernah pulang ke rumah waktu tengah hari.
“Keluar! Keluar dari rumah aku. Angelin menjerit sekuat hati. Tidak ubahnya seperti orang diserang histeria. Lelaki itu segera bingkas bangun dan melarikan diri sepantas kilat. Ibunya terkalut-kalut melihat Angelin yang agresif seperti itu. Biasanya Angelin berbicara dalam bahasa yang lembut, manis dan suka bergurau.
Angelin meraung sekuat-kuat hatinya. Dia menangis semahu-mahunya. Mengenang nasib diri yang terpaksa menanggung beban. Terpaksa bekerja dalam usia begitu muda dan memiliki ibu yang berperangai tidak senonoh. Angelin merindui neneknya. Dia terjelepok di tangga batu itu sehingga adik-adiknya pulang dan tertanya-tanya apakah yang telah berlaku. Mengapa keadaan kakak mereka sedemikian rupa. Angelin membatukan diri. Dia tidak menjawab pertanyaan adik-adiknya. Biarlah dia saja yang tahu perbuatan ibu mereka.
Dengan langkah longlai Angelin meneruskan kayuhannya ke warung Kak Kian. Dia mengesat-ngesat air matanya yang gugur tanpa dipinta. Mahu rasanya dia pergi jauh dari kemelut hidup sedemikian. Dia mahu membina cita-cita dan hidup baru yang gemilang. Hiba sungguh hatinya. Namun di manakah sinar yang akan menyuluh jalan hidupnya kelak? Angelin pasrah dalam reda.
“Lin, ingat lagi tak pelanggan Kak Kian yang datang minggu lepas? Dia minta kebenaran kakak untuk membenarkan Lin kerja dengannya di kedai biskut di Ipoh. Kakak rasa mungkin sana nanti masa depan Lin lebih cerah. Dia janji akan bagi Lin gaji sekali ganda dari yang Kak Kian berikan. Bagaimana, Lin setuju tak? Tidak perlu risau tentang kakak. Bermula bulan depan suami kakak akan pencen dan dia akan bantu kakak di warung.” Rasa simpati Kak Kian mendorong dia untuk melepaskan Angelin untuk bekerja di tempat lain.
Sebenarnya inilah peluang yang tepat untuk Angelin. Dia perlu berani membuat keputusan demi kehidupannya sendiri. Tambah lagi dia begitu terluka dengan kelakuan ibunya. Dia tidak mampu untuk mengubah perangai ibunya ke arah lebih baik. Biarlah dia pergi saja dari situ. Dan dia pasti akan tetap menghantar wang pulang untuk persekolahan adik-adiknya.
“Ayah tahu tak apa yang ibu buat selama ini?” Angelin cuba menyoal ayahnya yang baru saja sampai dari pekan Golok. Angelin bercerita lebar kepada ayahnya tentang perbuatan sumbang ibunya sewaktu adik-adiknya sudah masuk tidur.
“Ayah tahu…tapi apa yang harus ayah buat? Ayah tak mampu untuk memberi lebih sebagaimana yang ibumu minta. Ayah tak kuasa melarang dia buat apa yang dia suka.” Eh Boon memberi penjelasan.
“Ayah relakan isteri ayah berkelakuan sumbang, melacurkan diri…begitu? Mana maruah ayah sebagai seorang suami? Lin malu ayah, Lin tidak rela ibu Lin berperangai macam itu. Ibu ambil dadah Lin tidak sebising ini. Tapi ibu melacur ayah…ibu akan mendapat penyakit akibat  perbuatannya itu. Dan penyakit itu akan berjangkit pula kepada ayah.”
Eh Boon berdiam diri. Asap rokok daun berkepul-kepul dihembusnya keluar. Tidak ada kekesalan dalam diri. Selama ini pun dia mengambil Sopha dari sarang pelacuran. Dijadikan isteri sehinggalah melahirkan tiga orang anak. Dia tidak menentang perbuatan Sopha malah terasa ringan bebannya kerana Sopha mempunyai pendapatan sendiri. Tidak meminta daripadanya.
“Ayah. Lin sudah berhenti kerja di warung Kak Kian. Lin akan ikut Pak Cik Chin Han ke Ipoh. Lin akan bekerja dengannya di kedai biskut miliknya. Lin jarap ayah jagalah adik berdua baik-baik. Lin akan kirim wang setiap bulan.”
Eh Boon tidak menjawab walau sepatah. Dia tahu Angelin kecewa dengan sikapnya yang gagal mendidik isteri dengan baik. Dia juga tahu Angelin malu kepada orang kampung. Dia rela melepaskan Angelin pergi demi wang yang akan bertambah. Mungkin nasib Angelin akan berubah setelah berhijrah ke tempat lain. – Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya