Nota dari Baitullah - Utusan Malaysia

Nota dari Baitullah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Karya Nik Nun Nab

HATI kentalnya tiba-tiba dirobek kesayuan yang jauh saat matanya tepat pada badan Kaabah yang tersergam di hadapannya. Sekali gus air jernih mula menitis dari kelopak matanya yang cuba ditahan sejak tadi. Kedegilan hatinya akhirnya tertewas oleh perasaan terharu yang teramat dari lubuk jiwanya yang penuh ketenangan sebelum ini.
Esakannya yang cuba disembunyikan sejak tadi kian lama kian jelas. Tidak terbendung lagi untuk dia menyorok di sebalik seorang wanita yang mempunyai hati yang keras dan kental.
Alunan suara muazim melaungkan azan serta kelibat para jemaah yang sedang tawaf di Baitullah mencengkam perasaan degilnya. Kali ini dia benar-benar tewas bersaksikan kebesaran Tuhan Yang Maha Agung.
Di sini dia bukan lagi seorang wanita berhati besi. Dia bukan lagi seorang pentadbir yang hebat, tidak pernah digugah oleh ugutan dan serangan psikologi dalam tugasnya. Hanya seorang makhluk yang serba daif yang hanya layak bersujud, tempat dia mengadu dengan apa yang dia alami sekian lama. Ainul, anak gadis yang berada di sebelahnya masih khusyuk membilang tasbih di jarinya sambil mata terpejam menyantuni hati rawannya.
Dengan tangan menadah ke langit, kini dia hanyalah seorang hamba yang lemah. Seorang insan yang kian hari kian hilang kekuatan dalam menghadapi ujian yang datang silih berganti. Dia terus menangis tersedu-sedu dalam doa tertadah.
“Sedihkan bu, bila kita disakiti sampai begitu sekali.” Satu suara lembut mengetuk pintu pendengaran Manisha ketika dia sedang khusyuk berzikir dan bertasbih.
“Marah pun kot sampai mahu dibuat ibu mati yok. Jahat bangat orang sebegitu ibu yaa. Ya ampun…” Sambung suara itu lagi dalam lautan manusia yang sedang mengerjakan tawaf di Baitullah.
Kelihatan satu susuk tubuh berjubah, bertudung dan berniqab putih sedang berada di sebelahnya. Di sebalik sinar cahaya lampu malam dataran Kaabah hanya kelihatan mata wanita yang bulat bundar bercahaya. Mulut Manisha seolah terkunci untuk berbicara. Dibiarkan sahaja wanita dengan loghatnya jelas berasal dari negara jiran, Indonesia itu menyambung bicaranya.
“Saya tahu ibu orang baik-baik. Ibu sentiasa kuat. Hanya ini saja yang saya bisa hadiahkan untuk ibu. Semoga dapat membantu.” Bisiknya sambil menghulurkan sekeping lipatan kertas lalu dimasukkan ke dalam genggaman tangan Manisha.
Dalam sekelip mata tubuh kurus berbalut jubah putih berlalu pergi. Manisha bergegas bangun, mahu dikejarnya susuk tubuh yang tiba-tiba ghaib dari pandangan.
“Mama, Mama nak ke mana? Kan kita nak duduk di sini sehingga waktu subuh.” Suara Ainul, anak gadisnya lantang memanggil Manisha.
“Ainul nampak tak perempuan berjubah putih yang bercakap-cakap di sebelah kanan mama tadi?” tanya Manisha mahukan kepastian. Ainul hanya menggeleng-gelengkan kepala sambil memandang ibunya dengan seribu tanda tanya. Dengan tangan menggeletar Manisha membuka lipatan kertas di dalam genggaman. Dadanya berolak kencang dengan nafasnya ditarik dalam-dalam. Dia cuba mengamati perlahan-lahan tulisan cantik teratur di atas kertas yang sudah agak konyot dan kekuningan.
Manisha tergamam seketika. Terkesima dengan satu pesanan amalan untuk menghapuskan sihir. Dia yakin, itu adalah kiriman Tuhan dalam saat-saat dia bergelut menentang cabaran hidupnya. Amalan sebagai pendinding diri dan keluarganya dalam menghadapi kerenah perbuatan manusia. Amalan yang perlu Marisha laksanakan setiap kali selepas solat Maghrib. Tubuh Manisha menggigil tiba-tiba dan bulu romanya mula meremang sambil matanya melilau mencari wanita misteri yang berada di sebelahnya sebentar tadi.
Pelbagai soalan menerjah ke dalam kotak fikir Manisha. Bagaimana wanita berjubah putih dapat menyelami pergolakan hati dan ujian dalam hidupnya ketika itu. Satu ujian yang maha berat membawa dia ke situ untuk mendekatkan diri dengan Sang Pencipta. Berdoa dan bermunajat meminta pertolongan. Jiwanya sedikit galau membayangkan wanita yang muncul tadi. Kerisauan mula lebur apabila teringatkan sepotong ayat Kun Fayakun yang bermaksud Jadilah maka terjadilah.
“Kalau mengikut ustaz Wahid, zikir-zikir itu memang boleh diamalkan secara istiqamah untuk hapuskan sihir,” beritahu Emir, kawan sekolahnya sejak di bangku sekolah rendah hingga ke universiti melalui corong telefon bimbit.
Emir orang pertama yang Manisha hubungi untuk memastikan kebenaran catatan pada kertas pemberian wanita misteri itu. Manisha menarik nafas lega dan dia tidak akan bertangguh lagi untuk mengamalkannya.
“Kita doakan yang baik-baik untuk orang, insya-Allah doa yang baik itu akan kembali kepada kita. Tak mengapalah Emir, Tuhan maha mengetahui. Kita berserah saja kepada-Nya.”
“Emir doakan semoga Manisha juga akan diberi petunjuk kepada kita berdua. Take care my sweet iron lady. I am missing you here,” bisik Emir mengakhiri perbualan mereka.
Manisha termangu seketika mendengar bicara Emir. Segaris senyuman bermain di bibir. Panggilan timangan iron lady dari Emir sentiasa membuat hatinya berbunga-bunga. Terhibur seketika hati lara. Sudah lama Emir cuba menyatakan perasaannya terhadap Manisha tetapi dia sentiasa mengelak dengan berpura-pura tidak memahaminya. Hatinya masih belum tenang.
Manisha sedar dirinya tidaklah sekuat yang difikirkan. Dia perlukan bahu tempat bersandar, telinga tempat mendengar luahan perasaan dan rintihan. Seseorang yang dapat memberi sokongan dan motivasi. Emirlah yang sentiasa ada untuknya. Dia sedar, setiap kejadian ada hikmah di sebaliknya.
Segala-galanya bermula ketika dia menguruskan satu tender yang disertai oleh Dato’ Ikmal, seorang ahli perniagaan terkenal.
Kontrak penyediaan makanan bermasak di sekolahnya berjaya diperoleh oleh Dato’ Ikmal. Bermula saat itulah tugas Manisha sebagai pengetua mula tercabar. Dato’ Ikmal sering datang ke sekolah atas alasan untuk memantau pekerja-pekerja di dewan makan sambil mengambil peluang berjumpa Manisha di pejabat.
“Saya cadang nak belanja Puan Manisha makan tonight. Sebagai tanda terima kasih dan sempena hari jadi puan,” sapa Dato’ Ikmal sambil merenung tajam ke wajah mulus Manisha di hadapannya. Senyuman Manisha yang bergincu merah jambu itu memikat hatinya.
“Maaf Dato’, saya dah janji dengan anak-anak untuk keluar makan malam ini. Mereka beria-ia nak celebrate birthday mama mereka,” Manisha menolaknya penuh sopan.
Suatu pagi, suasana dalam pejabatnya diriuhkan dengan kehadiran sejambak bunga ros serta berkotak-kotak coklat yang dikirimkan oleh Dato’ Ikmal melalui budak penghantar barang. Terdiam Manisha seketika dengan apa yang berlaku.
“ Ya Allah besar sungguh ujian-Mu. Hanya Engkau yang Maha Mengetahui aku tidak meminta semua ini,” keluh Manisha sambil menyerahkan segalanya kepada kekuasaan Allah.
Manisha kini sudah mula sedar tentang pengurusan bekalan dan sajian makanan kepada pelajar-pelajar yang tidak cekap oleh pekerja Dato’ Ikmal. Dalam masa tak sampai empat bulan sudah tiga kali kes keracunan makanan berlaku dalam kalangan pelajarnya.
Letih Manisha untuk menjawab panggilan daripada ibu bapa pelajar yang terpaksa dimasukkan ke hospital. Bekalan ikan dan ayam tidak mengikut spesifikasi timbangan yang ditetapkan. Potongan ayam dan ikan terlampau kecil.
Manisha sendiri sentiasa turun padang untuk membuat timbangan. Makanan tengah hari kerap tidak mencukupi. Ramai pelajar yang sepatutnya mendapat lauk ayam terpaksa diberi lauk telur sebagai gantian.
Menu minum malam dan minum pagi ditukar sewenang-wenangnya tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak pengurusan sekolah.
Teguran lisan dan bertulis daripada Manisha yang berkali-kali itu membuatkan Dato’ Ikmal terasa tercabar dan dendam. Sudah beberapa kali surat peringatan dikeluarkan namun tidak diambil kisah.
Setelah diadakan perbincangan dengan semua ahli jawatankuasa pentadbir sekolah, mereka sebulat suara mengambil keputusan menamatkan kontrak Dato’ Ikmal.
Terasa berat juga tangan Manisha untuk menurunkan tanda tangan pada surat penamatan kontrak. Namun itulah terbaik untuk kepentingan para pelajarnya.
Sejak penamatan kontrak Dato’ Ikmal, Manisha mula dihujani dengan mesej-mesej ugutan daripada beberapa nombor telefon yang tidak dikenali.
Bagai mimpi ngeri dia menerima serangan demi serangan siang dan malam.
Pernah satu kali ketika Manisha sedang memandu masuk ke pekarangan rumahnya, tiba-tiba satu bungkusan yang mengandungi cecair berwarna merah seakan darah jatuh menimpa cermin depan keretanya. Seluruh badan keretanya berlumuran dengan cecair berwarna merah pekat. Satu lagi ugutan bermotifkan amaran diterima oleh Manisha. Tubuhnya menggigil ketakutan. Nalurinya sudah dapat mengagak siapakah pelakunya. Atas nasihat Emir, Manisha dan Ainul terus membuat laporan polis. Keselamatan dirinya kini terancam.
Sejak itu seluruh badan dan sendi Manisha terasa sakit seperti ada sesuatu menggigit-gigit. Setiap malam, tidurnya diganggu oleh mimpi-mimpi ngeri. Masalah datang bertimpa-timpa. Pelajar-pelajar diserang histeria yang sebelumnya tidak pernah berlaku.
Menurut mereka, ada lembaga hitam yang merayau-merayau di kawasan asrama perempuan. Jika boleh, dia tidak mahu percayakan perkara-perkara yang mistik seperti itu. Sebagai Pengetua, Manisha terpaksa berdepan dengan ibu bapa pelajar yang risau dengan keselamatan anak-anak mereka.
Ada beberapa guru mengatakan mereka sering melihat kelibat lembaga hitam melintas di belakang Manisha sewaktu bermesyuarat. Tubuh Manisha pula sering terhidu bau busuk seperti bangkai setiap kali terserempak dengannya. Masing-masing mendiamkan sahaja.
“Maaf puan, pada pandangan saya puan mungkin terkena sihir orang,” bisik Ustaz Arief pada suatu petang. Manisha menarik nafas dalam-dalam dengan matanya dipejam rapat. Ustaz Arief dapat rasakan bahawa sihir yang dihantar dan ditujukan kepada Manisha memang untuk memusnahkan dirinya.
Untuk meredakan keadaan pergolakan jiwanya, Manisha secara diam-diam telah mengambil keputusan ke Tanah Suci Mekah untuk mengerjakan umrah bersama Ainul. Di sanalah dia dipertemukan dengan seorang wanita misteri berjubah putih sewaktu bersolat di hadapan Baitullah. Dia yakin, segala-galanya datang daripada kurniaan Allah dalam merungkai kekusutan yang menyimpai diri dan perasaannya selama ini.
Hari pertama kakinya melangkah masuk ke kawasan sekolah setelah kembali dari mengerjakan umrah, hati Manisha terasa tenang setenangnya. Aura Baitullah dibawanya pulang itu masih menebal dalam pelukan nalurinya. Bayangan Kaabah masih memenuhi pandangannya. Hatinya tidak putus-putus mengucapkan syukur. Langkahnya terus diatur penuh sopan. Dia yakin Allah tidak membebankan makhluknya melainkan sesuai dengan kemampuannya.
Seminggu berlalu dengan tenang. Sedang lamunannya menerawang jauh ke setiap ruang Masjidil Haram, tempat dia baharu kunjungi, tiba-tiba dia terbaca satu tajuk akhbar yang terletak di atas mejanya.
Terpampang tajuk utamanya, “ Usahawan terkenal parah kemalangan”. Satu intisari berita seorang usahawan tersohor, Dato’ Ikmal sedang kritikal dibacanya berulang-ulang.
Manisha cuba menyelam perasaan yang dia sendiri tidak dapat mengenal pasti. Biar apapun yang berlaku, dia masih mendoakan semoga dipermudahkan urusan rawatan Dato’ Ikmal dan dia akan kembali sembuh.
‘Sentiasa mendoakan yang baik-baik untuk orang lain, doa itu insya-Allah akan kembali kepada kita.’ Pesan almarhum suaminya sentiasa Manisha ingat.
Tiba-tiba satu mesej ringkas muncul di skrin telefon bimbit Manisha. Ringkas namun penuh dengan persoalan dan perlu dijawab segera.
‘Kita nikah ya Manisha. I akan minta izin dari Suraya.’ Manisha hanya mampu mengukirkan senyuman yang belum pernah dia pamerkan sebelum ini. Hanya bibir manisnya sahaja yang mampu menjawab pertanyaan itu. Jari-jarinya terus menekan dua abjad pada skrin telefon bimbitnya. Satu jawaban sudah pun tercoret di kanvas hatinya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya