Karya Osman Ayob
TIDAK ada yang lebih hiba bagi orang tua, selain dari sambutan 1 Syawal tidak dapat disambut bersama anak, menantu dan cucu. Ini amat dirasai Pak Salam dan isterinya Mak Besah. Perasaan hiba ini sudah dirasai tahun lalu. Akibat PKP dan larangan rentas negeri dikuatkuasakan, anak dan menantunya yang bekerja di Kuala Lumpur tidak dapat pulang merayakan hari yang menggembirakan itu.
Jika larangan rentas negeri terus dikuatkuasakan, tahun ini juga mereka akan menghadapi situasi yang sama. Pak Salam teringat tahun sudah, dia dan isterinya menyambut Aidilfitri di taman perumahan mereka di Bagan Seraya, tahun ini pula mereka berdua akan menyambutnya di dusun dalam situasi sama. Sunyi tanpa keletah tiga orang cucu daripada pasangan anak sulung mereka, Azizah dan Mahadi dan dua orang cucu daripada anak bongsu mereka Anwar dan pasangannya Maznida.
“Jika mereka boleh balik, alangkah baiknya bang,” keluh Mak Besah sambil duduk menjuntai kaki di pelantar pondok mereka dalam dusun yang redup. Dia yang kurang sihat sejak beberapa hari lalu, mendongakkan muka, memerhati lima biji durian yang akan luruh beberapa hari lagi, mungkin menjelang hari lebaran.
Memang di luar jangkaan sama sekali, pokok durian yang tidak berbuah musim lalu itu, mengeluarkan bunga lebih awal. Ketika pokok-pokok lain baru mula berbunga sebelum puasa, pokok durian sebatang yang tegak di hadapan pondok, berbunga awal dan kini buahnya sudah menanti masa untuk gugur ke bumi.
“Yalah.” Pak Salam yang baru pulang melihat anak-anak duriannya di kaki bukit, bersuara sambil mengesat peluh di dahi. Sama seperti isterinya, dia memerhati buah durian yang berjuntaian di atas dua batang julai menjulur ke pondok.
“Aku agak, kes Covid ini nampak tak menurun,” keluh Pak Salam lagi yang jarang ketinggalan mengikuti berita di TV setiap hari.
“Malah ada setengah negeri, bukan sahaja surau dan masjid ditutup, pasar Ramadan juga tak dibenarkan.”
Mak Besah mengeluh dan mengangkat kedua belah kakinya dan duduk jauh sedikit dari tepi pelantar. Pak Salam menapak anak tangga dan duduk menjuntai kaki macam isterinya tadi. Bulan puasa ini kerjanya ala kadar sahaja. Awal pagi dia ke hujung kebun. Sebaik pecah peluh dan panas belum terik, dia sudah pulang ke pondok.
Tenaganya sudah banyak berkurangan. Pak Salam sudah tujuh tahun bersara. Isterinya pula suri rumah sepenuh masa berpenyakit kencing manis. Tiga tahun lalu, isterinya menjalani pembedahan pintasan jantung. Badannya yang gempal, menyebabkan Mak Besah tidak kuat berjalan lagi. Lutut dan kakinya pula dihinggapi gout. Namun kerja rumah dapat dilaksanakan dengan baik.
“Alangkah baik, jika sekatan rentas negeri dibatalkan,” keluh Mak Besah sambil melunjurkan kaki. “Anak cucu tentu dapat balik beraya bersama kita.”
Pak Salam mengeluh. Hatinya berkira-kira, raya akan disambut 10 hari lagi. Kerajaan boleh memberi gambaran, sekatan rentas negeri boleh dibatalkan atau tidak. Jika dibatalkan, tentu ramai yang hendak pulang. Sudah pasti jalan raya akan penuh sesak. Dan yang lebih pasti, suasana di kampung akan menjadi meriah.
“Entahlah,” Pak Salam mengeluh lagi. Dikesat peluh di dahinya dengan kain cukin. “Dari perkembangan sekarang, Covid tak nampak akan menurun, nampak berat kerajaan nak beri kebenaran rentas negeri tu.”
“Saya sentiasa berdoa, anak cucu kita dapat pulang beraya bersama nanti.” Mak Besah tidak mahu menyembunyikan doanya setiap kali lepas solat. Sengaja dia melangut, memandang buah-buah durian yang akan luruh menjelang raya nanti.
“Aku juga sama.” Mata kedua-duanya terpaku pada buah-buah durian berduri panjang dan berbentuk bujur itu. Sudah beberapa tahun, mereka dapat merasa keenakan durian berisi kuning itu. Cuma tahun sudah, entah kenapa pokok itu tidak berbuah. Tetapi tahun ini, pokok itu membuat kejutan luar biasa. Terasa satu keajaiban dikurniakan Allah kepada mereka berdua. Bunganya memercup awal pada ketika pokok-pokok lain belum menunjukkan tanda akan berbunga.
Sejak itu, pasangan itu menyimpan angan-angan. Pak Salam yang mahir membuat perkiraan, menjangka buah-buah itu gugur menjelang hari raya nanti. Jika tangkainya liat dan tidak ada angin bertiup, durian itu akan gugur juga sebelum atau selepas raya. Dia yakin pada pengalamannya yang sudah beberapa tahun menjadi penghuni pondok setiap kali musim durian luruh.
“Jika mereka boleh balik, ini rezeki mereka.” Mak Besah yang sejak kebelakangan ini kurang sihat, bersuara serak. Dua hari lalu dia ke klinik kerana demam. Kencing manisnya sudah ke tahap suntikan insulin pagi dan petang. Menurut doktor, buah pinggangnya sudah mulai rosak dan perlu memakan ubat setiap hari.
“Berdoa sajalah,” ujar Pak Salam. “Kita harap kes akan menurun sebelum raya dan kerajaan akan membuka semula pergerakan merentas negeri.” Pak Salam melompat turun apabila mendapati beberapa ekor tupai melompat ke pohon duriannya.
“Hoh! Hoh! Hohh…!” Suaranya yang garuk itu memecah kesunyian dusun. Semua tupai pantas melompat dan menghilang dalam rimbun pokok manggis.
Selain menjaga pokok-pokok dalam dusunnya, tugas yang tidak dapat dielak adalah menghalau tupai dan kera yang mengganas setiap hari. Binatang yang seolah-olah kelaparan itu, merosakkan apa sahaja yang boleh dimakan.
Ketika ini selain durian sudah berbunga, cempedak, dokong, langsat dan manggis juga sama. Inilah sebab dia dan isterinya berpindah ke dusun bagi menjaga putik-putik buah daripada dirosakkan tupai dan kera.
“Kita terpaksa tinggalkan rumah di taman ini,” Pak Salam masih ingat keputusannya. Rumah itu ditinggalkan kosong begitu sahaja. Cuma diharap jiran-jiran menjaga rumah kembar setingkat itu.
“Di dusun, kita boleh isikan masa menebas semak samun. Menanam semula pokok yang mati. Dan yang penting pokok-pokok yang berbunga itu perlu dijaga dari dirosakkan tupai dan kera.”
Mak Besah tidak membantah. Dia sendiri suka tinggal di bandar KK. Suaminya dulu pegawai di pejabat tanah dan daerah KK. Setelah lima tahun di situ, suaminya bersara. Kerana aktif dalam persatuan wanita, Mak Besah mempunyai ramai kawan. Kini amalan kunjung mengunjungi menjadi budaya hidup wanita veteran KK, bandar Diraja yang bersejarah itu.
Tanah dusun seluas lima ekar ini dibeli ketika Pak Salam bekerja di pejabat tanah. Tidak terlintas dalam fikiran mereka untuk mendirikan pondok dan tinggal dalam dusun. Mereka merancang mahu menetap di Bagan Seraya sesudah bersara. Tetapi keadaan boleh mengubah fikiran sesiapa sahaja. Pada musim buah, dusun tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Membiarkannya samalah seperti memberi rezeki kepada pencuri selain berpestalah tupai dan kera memakan apa sahaja yang ada.
Tidak ada masalah pasangan itu tinggal dalam pondok yang telah dilengkapkan dengan keperluan asas seperti dapur gas, peti sejuk dan TV. Jalan depan dusun sudah diturap dengan tar.
Mudah sekali bagi peraih bermotosikal dan kenderaan keluar masuk mencari durian. Pasangan itu tiada masalah memasarkan hasil dusun mereka. Malah ada peraih sanggup mengutip durian di tengah dusun asalkan mendapat buah yang baik.
Setiap malam dalam bulan puasa, pasangan itu tidak ketinggalan menunaikan solat Isyak dan tarawih di sebuah masjid tidak sampai setengah kilometer dari pondok. Kawasan dusun yang dulunya sunyi, kini menjadi kediaman eksklusif ramai orang terutama pesara yang inginkan kedamaian setelah tertekan dengan kesibukan hidup di kota.
Sama halnya dengan Pak Salam dan Mak Besah. Apabila ada masa terluang telefon pintar menjadi penghubung pasangan itu dengan anak, menantu dan cucu di Kuala Lumpur. Melalui video call, terubatlah rindu mereka berdua dengan keletah cucu-cucu yang lincah.
“Alangkah baiknya jika kau orang boleh balik,” ujar Mak Besah kepada menantunya. “Durian depan pondok akan gugur bila-bila masa.”
“Yakah mak?” tanya Maznida ketawa kecil. “Dah berbuah ke?”
“Buah salah musim.” Pancing Mak Besah. Dia tahu Maznida sedang mengandung. Tentu mengidamkan buah itu.
“Saya teringin nak makan durian,” rungut Aisyah. “Tapi di K.L. ni tak ada buah tu?”
Mak Besah berasa hiba. Dia dulu pernah mengalami masalah yang sama. Ketika mengandung anak sulungnya Azizah, dia mengidam hendak makan durian Belanda. Puas suaminya mencari, akhirnya dapat juga. Ketika dia menjamah buah itu, tidak dapat diceritakan nikmatnya. Sudahnya Azizah dilahirkan dengan tenang dan mudah.
“Sabarlah Maznida,” suara Mak Besah memujuk. “Apa nak buat keadaan sekarang tak mengizinkan kau orang pulang.”
Hatinya menjadi lebih hiba apabila mendengar esakan Maznida dalam telefon.
Mak Besah menyimpan isi perbualan itu dalam hatinya. Tidak dipanjangkan kepada suaminya.
Pada malam-malam akhir Ramadan ibadat mereka diisi bersama jemaah di masjid. Walaupun setiap malam hujan turun agak lebat, mereka tidak pernah menguzurkan diri.
“Anggapkan Ramadan ini terakhir buat kita.”
Kata-kata suaminya itu tidak perlu dipertikai. Mak Besah reda dengan apa yang berlaku dan akan berlaku.
Masuk hari akhir Ramadan, hujan turun agak lebat dengan angin kencang. Menjelang Isyak, hujan menjadi lebat dan kilat sabung menyabung. Pak Salam dengan Proton tuanya tetap membawa isterinya ke masjid.
Mak Besah mengadu perutnya meragam. Sudah banyak kali terkentut. Sampai di masjid dia bergegas mengambil wuduk semula. Ketika membasuh kaki, dia tergeleceh lalu jatuh tersembam.
Dengan bantuan beberapa jemaah wanita, Mak Besah diangkat dan dibaringkan dengan mulut seolah-olah terkunci. Pak Salam bergegas datang dan atas nasihat beberapa jemaah, dia tidak berfikir panjang lagi lalu membawa isterinya ke hospital.
Mak Besah diberi rawatan kecemasan. Pak Salam tidak teragak-agak menelefon anak menantunya.
“Pak minta doktor keluarkan satu nota tentang mak. Kirim pakai WhatsApp segera.” Desak anaknya Anwar dengan suara cemas.
Pak Salam patuh. SOP cukup ketat. Dia tidak dibenarkan menemani isterinya.
Menjelang subuh semua anak dan menantunya tiba di hospital. Mereka mendapat kebenaran pulang atas sebab kecemasan.
“Mak kau orang ada di ICU,” ujar Pak Salam di ruang menunggu. “Aku tak dibenarkan masuk.”
Maznida menantu Pak Salam, seorang jururawat kanan di Hospital Besar Kuala Lumpur segera menghubungi pihak hospital dan meminta budi bicara mereka agar dapat melihat orang tua yang dikatakan tenat itu.
Hatinya lega. Segunung kesyukuran tegak dalam dada. Didapati emak mentuanya sudah sedar dan akan dipindahkan ke wad biasa. Walaupun pagi itu mereka tidak dapat solat sunat Aidilfitri, masing-masing gembira dengan perkembangan kesihatan Mak Besah.
Menjelang petang, Mak Besah dibenarkan pulang setelah doktor mendapati dia sudah pulih. Kepulangan mereka petang itu amat bermakna. Empat biji durian luruh dan baunya menghimbau sebaik sahaja kereta berhenti di hadapan pondok.
Amran, cucu paling tua mengutip durian dan membawanya naik ke pondok. Berseri-seri wajah Pak Salam dan Mak Besah. Bunga-bunga kegembiraan kembang di hati masing-masing, menyaksikan anak menantu dan cucu menikmati durian salah musim. – Mingguan Malaysia