Doktor Syawal nak raya ... - Utusan Malaysia

Doktor Syawal nak raya …

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Karya WAN MARZUKI WAN RAMLI

Aidilfitri tahun ini usianya menjangkau 32 tahun. Tapi nasib tidak menyebelahinya. Takdir yang telah ditetapkan-Nya membuatkan Syawal bukan seperti anak-anak muda lain. Tidak ada cabaran besar yang menggugah dirinya sepanjang merentas usia remaja yang telah di penghujungnya
Itulah Syawal. Anak muda unik dan istimewa. Pagi itu, Syawal sebagaimana biasa terus mengenakan kemeja uniform PBSM milik abangnya, Fakri yang telah lusuh. Namun, lambang bulan sabit merah masih jelas kelihatan. Di tangannya ada stetoskop plastik. Jika dipakainya spek putih berbingkai tampak persis seorang doktor.
“Lewat hari ini Syawal?” Sapa Aizat yang sedang memikul cangkul.
“Begini punya awal aku turun, kau kata lewat?” Syawal tersengih.
“Kau ini, pelitup muka kau mana? Doktor pun malas pakai pelitup muka? Kau pun tahu kan, kes Covid makin banyak di daerah kita ini?” tanya Aizat
“Kau ini macam tak tahu pula. Aku ini kan doktor. Mana perlu pakai pelitup muka kalau jalan sorang-sorang. Jumpa siapa-siapa nanti aku pakai lah, ini lah, ada dalam poket baju aku ni,” balas Syawal.
“Kena saman nanti baru tahu,” tambah Aizat.
“Siapa hendak saman aku? Berani samanlah.”
Diam.
“Tapi, kau tahu tak Jat. Semua orang kampung ni tak hargai jasa dan bakti aku pada budak-budak kampung kita ni. Sejak ada virus Corona ni, aku selalu ingatkan budak-budak kampung kita agar selalu jaga kebersihan. Terutama dekat balai raya tu hah..” ujar Syawal. Dia mengeluh panjang.
“Dah tahu macam itu, buat apa kau nak tunjuk rajin nasihatkan mereka. Duduk saj di rumah. Kita pun masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan lagi ini,” perli Saiful.
Syawal terdiam. Dadanya diserbu rasa sebak.
Dia teringatkan status ‘doktor’ yang telah lama diberikan oleh oleh budak-budak kampung Kubang Panjang ini.
Apabila dia mengajar budak-budak di balai raya tentang jaga kebersihan pakaian dan tubuh badan, ada yang ketawa dan memandang sinis khidmatnya itu. Semacam tidak ada sesiapa yang mengiktiraf gelaran tersebut.
Dia tidak ada ijazah, diploma, SPM, PT3 atau sijil UPSR sekalipun. Tapi ketika dia kecil, dia teringin benar menjadi seorang doktor.
“Kenapa Syawal nak jadi doktor?” tanya ayahnya.
“Syawal nak ajar mereka hidup sihat ayah. Nak rawat mereka kalau mereka sakit. Nanti kalau ayah sakit pun, senang, doktor dah ada dalam rumah ni.” Senyum Syawal dengan gigi yang kekuningan.
“Syawal janji nak jaga ayah kalau sakit nanti?”
“Betul ayah. Syawal tengok ayah selalu batuk-batuk, sebab tak mandi dengan bersih lepas balik dari sawah.” Bebel Syawal lagi.
Sebaik ayahnya pergi mengadap Ilahi kerana ditanduk kerbau jantannya sendiri, Syawal tinggal dengan Tok Mahat, bapa saudaranya.
Tok Mahat memberi didikan agama yang secukupnya pada Syawal, walaupun ada waktunya otak Syawal naik pening belajar banyak perkara yang tidak dapat dia buat dan amalkan.
Syawal dewasa tanpa didikan di sekolah. Pandai menyebut ABC tapi dia tidak tahu rupa bentuk huruf ABC. Dia malu pada Putera, Safuan, Adam dan kawan-kawan yang lain.
Syawal diragut duka lagi apabila Tok Mahat kemudiannya meninggal dunia ketika umur dia 19 tahun. Kini, dia tinggal pula dengan nenek saudaranya, Nek Siah.
Walaupun dia gagal bersekolah, tetapi cita-citanya untuk menjadi doktor tidak pernah padam. Setiap kali berselisih dengan Doktor Azmi, yang bekerja di sebuah klinik di pekan, jiwa Syawal segera kembang membayangkan dirinya juga sebagai seorang pegawai perubatan. Stetoskop tak lepas dari tergantung di lehernya. Ia membugarkan lagi cita-citanya.
Apabila Farid memberikannya sebuah buku tulis dan sebatang pensil, dia cuba menulis apa saja yang terlintas di benak fikirannya.
Buku itu dipenuhi dengan lakaran-lakaran tanpa makna. Kebanyakannya adalah lakaran stetoskop dan jarum. Pensilnya yang panjang menjadi kian pendek. Sama panjang dengan ibu jarinya.
Namun begitu Syawal tetap gembira. Dia rasa dia ada tokoh untuk menjadi doktor. Macam Doktor Azmi. Jadi doktor tak payah menulis, hanya beri nasihat dan tunjuk ajar kepada pesakitnya, fikirnya!.
Pada sebelah pagi dia ‘memantau’ kerbaunya makan rumput di bendang. Syawal memandikan kerbaunya dengan air sabun setiap kali sebelum dimasukkan ke kandang. Sebelah petang pula dia mengajak budak-budak kampung berkumpul di balai raya. Dia akan pastikan semua kawannya memakai pelitup muka apabila berkumpul beramai-ramai.
Walaupun budak-budak kampung asyik ketawa dan tidak memberi perhatian kepada apa yang dia kata, Syawal tak kisah.
Asalkan dia dapat berdiri di depan budak-budak tersebut untuk menjadi doktor buat beberapa ketika, biarpun ada waktunya dia tetap ‘panas telinga’ melihat kerenah budak-budak yang tidak menghormatinya dengan pelbagai kerenah.
Sekarang dia menggelarkan dirinya ‘Doktor’ Syawal. Semua orang kampung kenal. Syawal tahu Adam sudah menjadi siswa universiti. Safuan sudah jadi pensyarah. Kawan-kawan lain seperti Putera sudah ada pekerjaan sendiri. Dia juga tidak ingin ketinggalan. Dia tetap ingin menjadi doktor juga suatu hari nanti.
Setiap pagi Syawal mengepit buku menuju ke balai raya, tempat kanak-kanak bermain-main dan mengajar mereka cara-cara membersih badan dan menjaga kesihatan dengan betul. Itulah anak-anak muridnya. Mereka jugalah pesakitnya!.
“Kenapa tak masuk jurusan perubatan doktor?” usik Tok Kudin sambil tersenyum.
“Doktor sekarang tak payah masuk universiti tok. Cukup dengan kepandaian yang ada. Pandai sikit bolehlah jadi doktor, betul tak tok?” balas Syawal.
Tok Kudin hanya senyum lebar, mengiyakan.
“Kalau tak masuk universiti, macam mana nak naik gaji?” balas Tok Kudin.
“Saya tak payah dibayar gaji Tok. Saya mahu berkhidmat untuk semua anak-anak kampung ini. Saya mahu mereka semua boleh jadi doktor macam saya!” balas Syawal sambil terus beredar.
Setiap petang Syawal akan ke balai raya. Dia akan memanggil anak orang-orang kampung untuk bersamanya. Ada dua tiga orang pun cukuplah. Dia akan menasihati kawan-kawannya agar kesihatan diri. Jaga pemakanan. Pilih makanan yang berzat dan bersih. Banyakkan makan sayur dan buah-buahan.
Kalau ada antara mereka yang tidak sihat, Syawal akan gunakan stetoskop untuk mengesannya. Dia akan segera berjumpa ibubapa kawannya yang sakit untuk dibelikan ubat. Doktor Syawal juga mengajar budak-budak kampung melukis gambar hospital, jarum dan pelbagai bentuk kapsul ubat.
Apapun, ramai kanak-kanak yang sukakan Syawal. Syawal baik pada budak-budak tersebut dan selalu mendukung mereka. Dia bangga menjadi doktor sekarang.
Minggu ini hati Syawal benar-benar terguris. Fikirannya mula terganggu. Tok Penghulu dan beberapa penduduk kampung naik radang dengan Syawal kerana setiap hari balai raya dipenuhi dengan kertas-kertas lakaran yang bersepah.
“Eh, Syawal, kau ini dah melampau tahu. Kalau nak bermain pun, carilah tempat lain. Bukannya buat kotor dekat balai raya tu.” Ngomel Tok Penghulu.
“Salahkah saya bertugas di balai raya tu Tok?”
“Tak salah, tapi kau buat kotor dekat situ. Kau suruh budak-budak bawa kertas dan macam-macam jenis gambar, kemudian tinggalkan begitu saja. Kenapa tidak dibersihkan? Kau kan doktor. Doktor kena jaga kebersihan” bentak Tok Penghulu.
Syawal tersenyum.
“Sebenarnya Tok, minggu ini saya tak jadi ajar mereka mengenal jenis-jenis makanan berzat. Mereka dah bosan kerana sudah acapkali saya ajar. Jadi, saya nak ajar cara nak buat pelitup muka dengan menggunakan cantuman kertas berwarna. Ada tulis ucapan raya lagi kat bahagian atas tu,” kata Syawal.
“Pelitup muka berwarna?” Tok Penghulu mengerut kening.
“Kan kita nak raya tak lama lagi. Pelitup muka pun mestilah kena buat cantik-cantik pakai masa raya nanti .”
“Orang macam kau ini pun tahu nak raya juga ya!” sindir Tok Penghulu sambil berlalu dari situ.
Syawal terlongo. Kenapa Tok Penghulu kata macam tu. Dia juga nak sambut raya. Dia kena sambut raya sebab kata Nek Siah, Syawal memang lahir bulan Syawal. Syawal Cuma tidak boleh puasa. Kata Nek Siah, perut Syawal tak boleh kosong. Ramai orang kampung pun tahu Syawal tak boleh berpuasa.
Hari Isnin. Matahari hampir tegak di atas kepala. Di hujung kampung Kubang Panjang, suasana agak riuh rendah dengan berita Syawal hampir lemas dalam sebuah kubang kerbau yang agak dalam. Nek Siah dalam keadaan termengah-mengah berjalan ke tempat kejadian. Dia masih tidak tahu pangkal cerita sebenarnya.
Tubuh Syawal penuh dengan lumpur yang berbau hanyir sewaktu dia dibawa naik ke batas bendang. Syawal masih tak sedarkan diri. Budak-budak di sekeliling tak berhenti-henti memanggil nama Syawal. Mata Syawal masih terpejam.
“Kenapa kamu semua suka usik dia hah Kudin, Zahar!” Sergah Nek Siah sebaik dia tiba di tempat kejadian.
“Bukan nek. Kami tak usik apa-apa pun. Zahar yang nampak Syawal lemas dalam kubang besar ni!” Jelas Kudin bersungguh-sungguh.
Air jernih mula bertakung di kelopak mata Nek Siah. Nek Siah duduk memangku Syawal.
Beberapa minit kemudian, jemari Syawal mula bergerak-gerak. Mulutnya kumat-kamit. Budak-budak di sekeliling berpandangan sesama sendiri sambil tersenyum.
“Syawal, Syawal… Nenek ada dekat sini sayang.” Suara Nek Siah masih tersekat-sekat.
Perlahan-lahan Syawal celikkan mata. Dia pandang sekeliling. Syawal bangkit perlahan-lahan. Dia memandang muka orang di sekelilingnya. Kemudian dia peluk Nek Siah dalam rasa kasih sayang yang mendalam.
“Nek, tadi Syawal. Syawal nampak kerbau macam tak sihat, tak nak makan. Syawal cuba cucuk dengan picagari ni. Habis, kerbau tu mengamuk dan nak tandukkan Syawal. Syawal pun lari ke sini. Tak nampak pula kubang besar ini. Syawal jatuh sorang-sorang nek!”
Nek Siah tersenyum, walaupun air jernih kian banyak bertakung di kolam matanya. Ketawa hilai mula berderai di sekeliling.
Syawal yang seketika tadi berwajah serius mula mengukir senyum. Kemudian dia turut ketawa. Seketika kemudian dia bangkit berdiri.
“Diam!!!”
Semua orang yang asyik ketawa tergamam bila dengar pekikkan Syawal. Mereka hairan. Perlahan-lahan Syawal merebahkan kepalanya di bahu Nek Siah.
“Nek, Doktor Syawal nak raya!”
Nek Siah mengangguk-angguk. Hatinya berbaur antara gembira dan sebak. Sambil membelai rambut Syawal, air mata Nek Siah kian deras menuruni pipi! – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya