Cerpen karya Wan Marzuki Wan Ramli
LELAKI itu masih bersandar pada banir sebuah pohon besar. Tiupan angin semilir meliuk-liukkan pepohon di keliling, irama pun beralun tatkala dedaun bergeseran sesama sendiri.
Sesekali dia ingin melaungkan suara kepada saujana belantara ini, agar segera mengikat batang tubuhnya dengan temali yang berjuntaian. Biarlah dia terus kaku di sini. Dia rela diperlakukan apa sahaja ketika keperitan menggigit.
Dia masih bersendirian. Saat ini jasadnya tidak lagi dipedulikan. Setelah tersadung di rimba ini. Tiada seorang pun yang sanggup memapahnya mencari arah dan jalan pulang. Tiada lagi mereka yang setia setelah dirinya terlempar ke ruang kabur ini. Jalan yang dirintis mula dihadang konflik nurani dari dalam diri.
“ Tuan, kenapa kita mesti mati dengan suratan atau takdir? Talian hayat kita masih terbuka. Mengapa diketepikan ikhtiar dan doa. Kita perlu bertabah dengan permulaan hadangan yang sukar dan penuh dugaan sebegini.”
Lelaki itu segera memalingkan mukanya ke arah susuk tubuh yang mungkin telah lama memerhatikan gerak-gerinya.
“ Aku Kelana. Aku juga seperti dirimu tuan. Tapi, aku hampir menemui jalan keluarnya.”
“ Siapa kamu untuk menceroboh ke dalam diriku ini. Aku yakin dengan kemahuan dalam diri. Aku sedia kumpul kembali kudrat urat dan tulang ini. Aku akan mulakan langkah keramat untuk keluar dari kesesatan ini,” balas lelaki itu.
Lelaki itu menunjukkan sebatang kayu.
“ Kayu ini adalah tongkat dan senjata…”
“Cukup dengan kayu itu?” soal Kelana.
“Ia sangat berharga sewaktu terdesak begini. Sudah tentu berjalan di waktu siang lebih mudah berbanding malam. Kayu ini adalah titiknya untuk bergerak dalam gelap nanti.”
Kelana menggeleng-gelengkan kepala.
“ Tuan, jiwa ragamu masih belum bersedia sebenarnya…” balas Kelana
“Maksudmu?”
“ Kayu ini belum kuat untuk menjadi tongkat tuan. Ia perlu dinafaskan dengan semangat jihad yang lurus.”
Kelana menghulurkan daun yang mengandungi nota. Lelaki itu terdiam seketika. Pantas fikirannya teringatkan ilmu bacaannya yang menyatakan apabila tidak menemui jalan keluar, kita perlu berhenti seketika dari rasa gusar.
Kenapa hendak dibandingkan dua situasi berbeza, getus hati halusnya. Apa saja kejadian Tuhan akan digerakkan makrifat tersendiri. Dia juga telah mulakan dengan tunduk dan sujud, Dia terhumban ke sini kerana kesilapan menjaga pendokongnya yang rata-ratanya oportunis.
“Tuan, manusia hidup dengan digerakkan kemahuannya. Waktu dan segala yang dimiliki akan digunakan bagi merealisasikan segala kehendak dan keinginan hakiki mereka.
“Tuan, kemahuan siapa yang wajar diikuti dan bagaimanakah bentuknya?
“Tuan mungkin terlupa, ilmu ladunilah yang menjadi asas untuk pengukuhan kemahuan tersebut. Belantara ini berserabut sifatnya. Sekali tuan terlepas pandangan, semakin jauh tuan tersasar. Ke mana jiwa akan terus melara tanpa denai syariat, tanpa jejak makrifat dan hakikat?
“ Tuan Besar terlalu meletakkan kepercayaan pada orang lain. Mereka itu tidak jujur. Sepatutnya kita perlu terlebih dahulu menguasai rohani mereka,” bisik salah seorang teman setianya.
Dia senyum tawar. Dia turut merasa impaknya. Dia sedikit hampa kerana musuhnya sedang galak membina jalan dan laluan luas di luar sana, sedangkan dia masih tercari-cari kaedah untuk keluar dari kesamaran hidup. Dia yakin, dia mampu untuk keluar nantinya.
“Selepas ini tahulah mereka, tinggi dan rendahnya langit di atas sana,” tambah seorang lagi pembantu proksinya. Impaknya, sekadar dia sahaja yang terperangkap lalu terlempar di belantara ini.
“Tuan, manusia yang banyak lebih gemar menurut kemahuan diri. Walaupun kebebasan penting untuk menghidupkan sikap berdikari, namun ia tetap membataskan. Manusia yang tidak mengenal batas dirinya sendiri lebih cenderung takbur. Pesan Junjungan, orang yang hanya turuti kehendak nafsu adalah selemah-lemah insan kerana sanggup menyimpan angan-angan, namun gagal mengendalikan iman dan amal sendiri.”
Jiwanya mula bersuara. Mengapa dia harus mengalah. Sedangkan pihak musuh yang ternyata sengaja mencipta nista, melempar durga dan pesona di merata. Bengkak nubarinya bagai telah lama membusung. Deritanya pecah dengan sendu dan tangisan kaum kerabat tercinta.
Bukan pendirian dan prinsipnya untuk berundur. Dia tidak sanggup melihat pihak lawannya terlebih dahulu melebar laluan di lembah kesengsaraannya. Dia bersumpah untuk tidak akan membiarkan jalan lurusnya dibengkok-bengkokkan oleh sikitul upahan.
Dia sedang berkira-kira untuk mencipta kompas sendiri. Dia bukan sahaja akan ketemu jalan keluar dengan jasadnya, tetapi seluruh jiwa raganya akan bebas lepas dan akan kembali bersedia menggempur musuh yang sedang leka menjadi raja!.
Catatan ketiga lebih panjang untuk di hadam mindanya. “ Keduanya, manusia yang didalangi keinginan sendiri yang membuak-buak akan sentiasa didorong manusia di sekeliling. Orang-orang inilah yang sentiasa diapi-apikan untuk mendorongnya bertindak. Inilah manusia yang tidak ada paksi diri. Ke mana angin berhembus ke sanalah dia akan melayang.”
“Wasiat junjungan, janganlah menjadi orang yang tidak berpendirian yang menyatakan ‘jika orang berbuat baik, kami juga berbuat baik, jika mereka berbuat zalim, kami juga perlu melakukan kezaliman. Kenapa perlu dikendurkan tekad dalam dada. Balaslah kebaikan dengan kebaikan, namun diamkanlah dirimu jika kamu dizalimi.”
Hatinya yang kasad sekian lama bagai dijepit dan ditarik. Nubarinya sedikit terkoyak tatkala jasadnya diterajang nestapa, dihambur nista yang bertubi-tubi sehingga pernah dia menggelupur lantaran posisinya dirabakkan musuh yang berselindung di sisinya.
Ah…pedulikan. Kemahuannya masih didokong pengikutnya yang masih ramai. Haq dan batil itu boleh dibicara kembali.
“Tuan Besar, kenapa perlu ada manusia berperang kerana kemahuan dirinya dan kemahuan orang lain? Lebih berat, kemahuan penciptanya?. Dia ingin sentiasa diterima semua orang, namun dalam masa yang sama tidak pula sanggup berkorban. Keinginan naluri sendiri adakalanya menongkah arus kehidupan.
Inilah golongan yang kalau melangkah di jalan luas, pasti terhoyong-hayang ke kiri, ke tengah dan ke kanan tanpa mempedulikan orang lain yang turut sama ingin sampai ke destinasi. Peperangan sengit dan rumit sering terjadi dalam diri mereka. Yang mampu menemukan diri mereka dengan naungan-Nya hanyalah memilih antara beribu kemahuan yang satu. Jika gagal, sudah pasti mereka tidak akan mampu menemui skala prioriti dengan derita batin dan gejolak pemikiran yang tidak akan berakhir.”
Ketika pagi masih limun benar, lelaki itu dengan jiwa sudah separuh terisi, dia bergerak ke lorong-lorong kecil di celah-celah rimbunan hijau yang berakar keras. Dia tercari-cari daun-daun lebar untuk dijadikan bekas menyimpan air. Sebelum senja selalunya hujan akan berjuraian gugur. Dia sudah berkira-kira, andainya bekalan air semakin rumit, terpaksalah dia menelusuri parit-parit kecil yang selalunya membawanya ke anak sungai. Namun, sumber air tersebut tidak menjanjikannya sumber air bersih berbanding air yang jatuh dari langit Tuhan.
Sambil menikmati baki beberapa teguk air dari tiub plastik, dia merenung-renung sekeliling. Sang Kelana terus tidak muncul sebaik menghulurkannya daun-daun bernota beberapa hari lepas.
Otaknya berputar menyaring dan berkatarsis. Dia teringatkan sabda junjungan yang menyatakan, sesiapa yang menjadikan fikiran sebagai fikiran akhirat, Allah cukupkan maslahah dunianya. Dan sesiapa yang fikirannya bercabang-cabang pada urusan duniawi, sesungguhnya Allah tidak akan peduli di lembah dunia mana dia akan binasa.
Tiba-tiba saja dadanya diserang rasa sebu, pedih matanya memijar pandangan. Sebak hiba mula singgah di lubuk nuraninya. Dia amat merindui semua ahli keluarganya. Apakah kemelut dirinya turut sama menghimpit mereka?
Sebelum terlempar ke sini, ada beberapa pemuda dari pihak musuhnya datang menghampiri.
“Sudahlah Tuan Besar. Elok ditamatkan sahaja krisis hati dan perasaan ini. Tak guna jiwa terus bersengketa…”
“Perjuangan aku belum di penghujung lagi..” pantas lelaki itu memintas.
“Kita ingin sama-sama bebas di jalan luas. Kita perlu mencari pedoman untuk lepas bebas. Orang di luar sana sedang tekun membina jalan bagi memudahkan pergerakan fizikal. Kita bermatlamat sama, ingin bergerak menuju kemajuan dan kesamaan. Lagipun tanah yang kita pijak ini bukan hak mutlak kita Tuan Besar.
“Semudah itu untuk mengalah?” kata-kata lelaki itu agak keras.
Lelaki itu terus melayan perasaannya hingga larut malam. Sebelum mata terkatup, bagai terngiang-ngiang di cupingnya kata-kata akhir sebelum Kelana beredar.
Tuan, Mengapa perlu berpecah untuk sampai ke destinasi yang sama? Walaupun jalan terbentang tetap berbengkang bengkok, ia sama sekali tidak akan menggoyah akidah dan fahaman atas ajaran yang haq.
Mata lelaki itu berkedip-kedip. Otaknya terus berputar, namun benak fikirnya menjadi sedikit sempit. Dia sukar menemukan konklusi terhadap simpang siur data yang berselerak di peta mindanya saat ini.
Aku di tapak yang betul, desis hatinya yang keras. Mengapa perlu mundur? Mengapa harus dikendurkan tekad dan nekad yang dibina bertahun-tahun lamanya. Dia tidak bersendirian selamanya. Bukan sekali dua dia tewas dan dijepit hampa. Namun, jiwa raganya tetap kuat, iltizamnya masih mampat. Sebelum dia terlempar ke sini, dia mendengar satu suara menerjah gegendangnya.
“ Tuan Besar ingin menjadi dalang rupanya!”
Dalang? Dalang apakah?
Ada suara halus muncul dari lubuk nubarinya.
“Kamu tidak memiliki ilmu yang cukup untuk membentang jalan sendirian. Rimba ini bukan tempat mencipta masa depan. Ayuh berjuang di datar lapang.”
Tidak! Tidak! Tidak, aku bukan dalang!, meluncur sahaja kata-kata dari suara lelaki itu sambil tangannya tergenggam erat. Dia ingin terus berjuang untuk menyucikan nusa dan bangsanya dari pelbagai khilaf dan penyelewengan yang terhidang di depan matanya.
Suara halus dari dalam dirinya masih bersahutan
“Agama suci kita sendiri melarang berlebih-lebihan dalam apa jua perkara. Selalunya ketaksuban akan membenih kekufuran bila kita tolak kesederhanaan. Rasulullah sendiri menyatakan tentang berlebih-lebihan telah banyak membinasakan orang-orang terdahulu.” Sambung pemuda itu, suaranya menjadi sayu.
Dia membetul-betulkan fikirannya yang sedikit kusut.Sesekali di terfikir, di sudut manakah dia kini?
Apakah dia terlalu mendabik dada dengan ketinggian ilmu dan kefahaman sehingga menolak segala-galanya dengan mata batin sendiri.
Malam tadi lelaki itu bermimpi lagi bertemu sang Kelana buat ke sekian kalinya. Kali ini dia dihulurkan sehelai daun yang cukup lebar. Ada catatan berdakwat hitam di jalur urat yang bergaris.
Tuan, ketamadunan kita perlu dimartabatkan. Bangsa kita tidak mengiktiraf wujudnya dualisme antara kerohanian dan kebendaan. Ataupun apa jua pendekatan pluralisme dan liberalisme yang boleh mengancam pemikiran umat. Agama dan kehidupan adalah yang terbaik daripada Allah.
Kita perlu tawaduk. Merendah diri dalam apa saja pendekatan adalah nilai terbaik. Ia bersifat kekal dalam apa jua situasi. Manusia berkualiti ialah yang mengerti dan memahami hakikat dan fungsi manusiawi. Menyedari diri dalam memikul amanah sebagai khalifah di bumi-Nya ini.
Lelaki itu menundukkan kepalanya ke bawah. Pandangannya membuntuti gerombolan semut yang sedang mengangkut satu bongkah kecil berwarna keemasan. Biar sukarnya menempuh jalan berliku, namun tetap bergandingan memerah keringat di semua posisi. Jiwanya yang terpalu mula sebu. Sebak menyonsongi kerongkong. Perlahan-lahan aliran air berkaca turun membasah kelopak, bergenang dan hampir melimpahi kolam matanya. – Mingguan Malaysia