Menurut laman www.scholastic.co.uk, dalam rencana bertajuk History of Theatre, kewujudan seni teater dikesan seawal kurun 1,000 sebelum Masihi. Pada waktu itu, orang Yunani kuno mencipta pentas khas dipanggil amphitheatre.
“Ia biasanya dibina pada bahagian lereng bukit yang ditarah dengan tempat duduk berjenjang mengelilingi panggung berbentuk separuh bulatan. Kebanyakan pementasan Yunani kuno pada waktu itu disandarkan pada mitos dan legenda, terutama membabitkan dewa-dewa,” menurut rencana itu.
TEATER TRADISIONAL NUSANTARA
Meskipun peradaban Barat menyaksikan seni pementasan teater muncul ribuan tahun sebelum Masihi, namun tidak bermakna tamadun di Asia Tenggara khususnya Nusantara, terpinggir dalam bidang itu.
Pensyarah Kanan di Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya, Dr. Rosdeen Suboh, 48, berkata dalam konteks serantau, sejarah perkembangan teater termasuk di Malaysia, dikesan seawal 800 tahun dahulu.
“Dari aspek pengertian, teater ini boleh diistilahkan sebagai tempat beraksi. Ia diambil dari frasa teatron, iaitu perkataan Yunani bermaksud pentas beraksi. Pada zaman Yunani purba, ia jadi tempat persembahan yang mana ada korban binatang kepada dewa terutama Dionysus.
“Namun dalam konteks Nusantara, seni ini juga telah bertapak lama, seawal 800 ke 1,000 tahun lampau. Ini dikesan di Angkor Wat, Majapahit, Srivijaya, Ayuthia dan Patani,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
RITUAL BABITKAN ROH
Namun beliau berkata, terdapat perbezaan ketara antara teater Yunani kuno dengan teater di rumpun Nusantara.
“Di sini, ia bukan persembahan di atas pentas yang mengasingkan penonton dengan aktor, sebaliknya kedua-dua elemen ini bersepadu. Pada masa sama, ada juga persamaan, yang mana sejajar dengan nilai kepercayaan silam, teater kita dahulu kala lazimnya menerapkan ritual membabitkan pemujaan roh.
“Ia bertujuan sebagai kaedah berkomunikasi dengan alam lain, minta dielak daripada gangguan roh jahat. Malah, pemujaan roh dalam persembahan teater purba kala Nusantara juga berfungsi agar roh dapat membantu satu-satu lakonan dan pementasan,” katanya.
FALSAFAH KEARIFAN TEMPATAN
Rosdeen menambah, falsafah utama teater alam Melayu berpaksikan kepelbagaian unsur dan elemen.
Katanya, semua teater di Nusantara mempunyai ciri local genius dengan silang budaya yang unggul dan bersepadu.
“Local genius ini merujuk kepada kearifan tempatan. Konsep ini berkait tentang reaksi setempat ketika kebudayaan asing menerjah masuk. Ia digelar genius susulan kemampuan kita untuk menerima unsur luar dan menyesuaikan ia dengan selera tempatan,” katanya.
HIBRID ATAU KLASIK?
Sewaktu dilontar soalan, sama ada silang budaya dalam teater tradisional tempatan adalah petanda seni itu sudah kehilangan identiti, beliau berkata, ia bergantung kepada persepsi dan perdebatan.
“Di nusantara ada dua bentuk potensi teater tradisional boleh berkembang. Pertama ke arah konsep klasik dan kedua, hibrid. Konsep klasik bermaksud, satu-satu seni teater tradisional yang berjaya bertahan melepasi usia 50 tahun ke atas dan tetap mengekalkan nilai estetika asal. Hibrid pula adalah konsep teater tradisional yang menggabungkan lebih dari satu elemen luar sehingga menjadi paten baru.
“Malaysia mempunyai terlalu sedikit jenis teater yang benar-benar warisan tradisi berbanding Thailand dan Indonesia. Sebagai contoh, teater makyung dan jikey, kita cuba mengekalkan strukturnya tanpa mengubah apa-apa ciri asal, dengan alasan takut ciri itu hilang,” ujarnya.
BAIK DAN BURUK HIBRID, KLASIK
Antara kebaikan mengekalkan ciri estetika satu-satu teater adalah membolehkannya mencapai status klasik, katanya.
“Misalnya teater makyung dan jikey. Di Malaysia, jarang ada usaha hibridkan dan modenkan teater ini, lantaran keraguan kononnya nilai dan ciri asalnya akan terjejas. Lama-kelamaan, makyung dan jikey ini mencapai status klasik malah mula mendapat pengiktirafan Unesco.
“Namun ada buruknya. Ini kerana teater sebegitu sukar dijiwai generasi muda. Kesannya, anak muda mencari teater yang lebih dekat dengan perkembangan generasi mereka, dan ia adalah teater
Barat yang ada elemen moden. Akhirnya, budaya Barat jadi dominan di tanah air sendiri,” katanya.
HARAPAN
Tambah Rosdeen, adalah menjadi harapan para penggiat termasuk dirinya, untuk melihat teater tradisional dicambahkan variasinya dalam pelbagai domain kenegaraan.
“Amatlah indah kalau cetak tradisional teater kita boleh dipecahkan. Contohnya, lagu teater asli seperti jikey dan makyung, dapat diaplikasi dalam domain kehidupan lain seperti aerobik misalnya, supaya jadi lebih dekat dengan generasi muda,” katanya. – Mingguan Malaysia