Kerengga - Utusan Malaysia

Kerengga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cerpen

Karya Mitch

Hidup biar seperti kerengga, berani menentang manusia walau sekecil itu cuma, ia tak pernah gentar menghadap aku atas nama kebenaran, sedari diri namun tetap dipertahan. Deretan kerengga itu aku perhatikan dengan penuh takjub dan minat. Ada yang keluar dari barisan dan menghidu sisa makanan bersepahan atas meja. Bila ku sanggah dengan jari, ia mengangkat taring tanda melawan. Sengaja ku ulangi beberapa kali perbuatan itu untuk menguji keberaniannya. Ternyata ia lebih berani dari manusia yang suka menyimpan kebenaran kerana takut harta dan kuasa disita.
Ada pula yang menyinggah di bibir cawan teh tarik yang sedang aku nikmati.
“Berani yang amat kalian ya?”
Kemudian ku sua sedikit makanan ke arah serangga kecil itu, tak bertangguh ia mengetip. Sekali menggigit memang terasa bisa walau sedikit, ku biarkan sahaja hingga ku ucapkan padanya.
“Aku ini manusia, lebih besar dan gagah darimu, kau berani menentang aku?”
Namun ia tidak peduli.
“Kenapa kau berani menentang aku, hah? Kau tak takut matikah?”
Tiada jawapan, ia terus-terusan menggigit sekuat-kuat hati hingga terjongket punggungnya.
Ketika itu bisa terasa menjalar, walau tidak sekuat mana. Terpaksa ku jentik. Ia cuma terpelanting di atas meja namun ia bangkit kembali mahu menyerang.
Aku menggeleng. Tiba-tiba makanan yang ku sua ditinggalkan begitu sahaja. Aku berfikir sejenak, adakah ia kurang enak atau sesuai? Apakah makanan itu tidak manis maka diabaikan?
Ti­dak, mereka tidak mengharap belas ihsan manu­sia kerana tahap kebersamaan adalah hamba semata.
Pemberianku barangkali sudah terjangkau dalam fikirannya bahawa aku ingin memperdaya mereka.
Akhirnya aku mengangguk. Rupanya ia yakin, haqqul yakin bahawa rezeki itu datang dari Tuhan, bukan daripada manusia seperti aku. Ia yakin bahawa rezeki sudah tertulis sejak azali.
Ia yakin sesungguhnya hanya berharap kepada Ilahi, bukan hamba seperti aku. Ia tidak meminta-minta seperti manusia yang suka memintal kata, membelit bicara demi segugus wang ringgit. Ia jujur semata dan ikhlas dalam perjuangan. Bukan kerana harta, kuasa mahupun nama.
Termenung aku melihat mereka yang masih tiada punya rasa takut kepada aku dalam mencari apa yang dicari. Berani kerana benar, benar harus dihadapkan ke wajah kehidupan.
“Baiklah wahai kerengga.” Sengaja ku tuang sedikit minu­man hingga membentuk titis bulatan yang membesar di atas meja.
Aku mahu menguji pula dengan manis-manisan, apakah ia akan terpedaya atau mampu bertahan kekar kukuh bagai paku lekat di dinding.
Ia kembali menyerang dan merasa namun ia berlalu pergi. Ternyata mereka adalah makhluk yang berpegang teguh pada prinsip, tidak mudah tersilau dek rezeki di hadapan mata.
Prinsip hidup kerengga mencari dengan kendiri, ikhlas mendahului, yang dicari adalah reda Ilahi. Biar seluas mana dibentangkan manusia, ia tidak mengharapkan apa-apa.
“Sungguhlah beranimu melebihi manusia dalam menegakkan kebenaran dan mempertahankan mandiri. Sungguh berani kau menolak rezeki di hadapan mata. Kenapa kau begitu berani?”
Setengah yang lain, berpeleseran bagai tiada arah tujuan. Aku fikir ia pasti mencari makanan, bekal dibawa pulang ke sarang.
Sedikit jajan pula ku letakkan sekali lagi betul-betul di hadapan kumpulan kerengga yang masih berderet berjalan.
Sekujur itu juga, ia menyerang menyangkakan aku mahu memecah-belahkan kumpulan mereka.
Tiada perbincangan antara mereka, masing-masing faham, anasir luar bermakna gangguan yang perlu diusir keluar. Enggan berkompromi lagi denganku.
Entah mengapa pula pagi ini aku dihadapkan dengan kerengga untuk berdialog wa­lau tiada balasan. Tiba-tiba timbul perasaan cemburu, yang hinggap di tangan kiri lantas ku jentik.
Ia terpelanting dan menge­rekot. Datang rakannya dan mengangkat pergi dengan perasaan yang tidak dapat kuselami.
Adakah rakannya itu sedih atau pilu melihat ia terbujur kaku tak bernyawa lantas akan dikebumikan?
Aku terus memerhatikan ke manakah ia akan dibawa. Dari atas meja makan, perlahan dia menuju ke pokok yang berhampiran, lantas memanjat tinggi.
Di atas pokok itu ada segumpal sarang dari dedaunan hijau yang bergulung. Kerengga itu tadi lantas ghaib dari pandangan. Ke manakah ia membawa rakannya? Kembali ke sarang? Untuk apa pula? Yang jelas, ia tidak meninggalkan rakan sepermainannya terbiar begitu. Ia tidak tersilau dek makanan, tidak juga terpedaya dek minuman.
Berjuang sampai mati, hidup tidak dihambakan oleh sesiapa.
Punya prinsip perjuangan yang sukar dimengerti. Punya falsafah hidup dipegang sampai mati. Punya aturan dipegang sekuat hati. Punya tanggungjawab ditanggung penuh berani. Punya hati sekukuh bersi khursani. Punya setiakawan dibawa ke mana-mana. Menyumbang maksud pada ritma alam terkembang, menjadi guru sekalian yang memandang.
“Siapa yang mengajarmu begitu?”
Ada perasaan silu malu mendarat di benak dari langit jawapan. Ada panah pengertian menusuk ke dalam kalbu. Terkesima aku cuba mentadbir rahsia alam di laluan masa yang tidak pernah lucut sebagai ingatan daripada Dia.
Seketika aku terlupakan sang kerengga yang masih berselerakan di atas meja. Hanya ketika hujung jariku diketip, aku tersentak dan kembali ke alam nyata.
“Kau mahu apa lagi?”
Ku lihat di kaki meja ia berkerumun, banyak sekali hingga melarat ke kakiku. Kemudian ada gumpalan daun yang rebah menyembah ke tanah.
Ah, bagaimana pula sarangmu boleh jatuh sebegini rupa? Aku tidak mampu bertahan lagi, tak terpemanai ia melata hingga merayap ke dalam seluar.
Menggelepur seketika, terasa kesakitan yang amat, kaki seluar aku kibas-kibaskan dengan kuat.
Tiba-tiba terpelanting seekor kerengga yang agak besar dari kebiasaan. Kepalanya besar, perut mengening kehijauan nipis. Berbelas ekor kerengga mengejar dan berpaut mendapatkannya, tidak kurang juga yang mengiringi.
Dalam fahamku, pasti itu adalah ratu sarang mereka. Entah apa yang mereka perkatakan, aku dihambat pergi oleh belasan kerengga yang mengetip kuat.
Kali ini aku benar-benar mengalah, terpaksa mengambil jarak yang lebih jauh sambil menepis-nepis kerengga yang mula memanjat kaki dan betis.
Namun mata ku tidak terlepas dari memandang ratu kerengga yang masih dikawal rapi oleh tentera-tenteranya.
“Setia sungguh kamu wahai sang ratu, tidak sesekali melupakan rakyatmu. Rak­yat­mu pula tak sesekali mender­haka dan melawan apatah lagi menghina caci-cerca.
Kau adalah rakyatmu, rak­yatmu adalah kau. Kalau aku jadi rakyatmu, pasti aku juga akan pertahankanmu sehabis nyawaku! Biar melayang rohku ke udara namun sesekali tidak akan ku biarkanmu mati!”
Setelah agak lama ku perhatikan, ada seekor anak cicak entah dari mana muncul cuba menodai setiakawan dan mahu merosakkan keharmonian kawanan kerengga. Pantas sekali mereka mengerumuni haiwan berdarah sejuk yang gagal membaca hukum alam.
Walau sekuat mana ia meronta namun puluhan malah ratusan kerengga terus membenamkan taring tanpa belas kasihan.
Biarpun ada beberapa rakan mereka terkorban dililit lidah cicak tidak bertulang namun ku kira ia bukan kematian yang sia-sia.
Aku tersenyum melihat pengajaran dari alam. Betapa­jika menjadi makhluk pe­nga­cau adu domba dan penghuru-hara, pasti suatu hari masa akan tersungkur tumbang di kaki kebenaran. Kebenaran yang tidak akan sesekali membelakangkan tanggungjawabnya untuk diketengahkan.
Lambat-laun manusia pasti akan menyedari semua ini walau sudah terlambat. Sebagai serangga dari alam lain pula, janganlah sesekali berani mencabar perundangan semesta yang sudah sedia ada.
Jika perundangan tidak dapat bertindak dengan baik, aku yakin suatu masa perbuatan mereka pasti mendapat pembalasan sewajarnya; seperti cicak yang tidak sedarkan diri itu.
Akhirnya ratu kerengga hilang dari pandangan. Barangkali ia sudah masuk ke dalam sarang.
Dan paling menarik apabila ratu itu mati, pasti ia akan diganti dengan lain. Ah, betapa bijaksana-Nya mengatur alam dalam siratan benang tersurat, dalam huraian maksud yang tersirat.
Ketika itu muncul seorang budak lelaki, terseringai melihat gumpalan sarang kerengga itu. Dia mengekah daunan itu tanpa belas kasihan.
“Mahu bikin apa?” tanyaku, kurang senang dengan perbuatannya.
“Telur kerengga, buat umpan mengail.”
Ada juga perasaan mahu menegahnya tapi naluri pantas menahan dan menjelaskan segala.
“Ia adalah hukum alam bahkan ketetapan Tuhan bahawa tiada satu pun kejadian-Nya sia-sia.”
Hanya mata aku terkebil-kebil menyaksikan penjarahan yang berlaku. Demi sebuah nafsu dan kepuasan, makhluk lain menjadi korban seolah tiada nilai ataupun harga. Setelah puas mengambil apa yang patut, dia berlalu dalam senyum melebar.
Aku masih di situ menyaksikan lembaran pengajaran yang terbentang. Betapa benarnya kehidupan adalah sebuah kampus alam yang tidak berpenghujung.
Matahari subur tumbuh di atas kepala. Pijar panas sang suria mula menyengat.
Sementara kumpulan kerengga tadi masih melata dan mengumpulkan cebisan daun yang sudah bercerai-berai. Bersama mereka membawa ke destinasi lain, mencari penghidupan baharu.
Tanpa ku sangka, di sebuah rimbunan pohon yang lebat dan rendang, tidak jauh dari tempatku berdiri. Mereka berkumpul dan membina sarang lain.
Bagai ada kuasa yang menarik, aku ke situ, mahu mengintai lagi drama apakah yang bakal dipentaskan.
Beratus kerengga memegang daun yang seakan dikerat, sementara yang lain bagai menjahit dan menyapu gam dari dalam kelongsong yang bakal menjadi sarang baharu.
Walaupun kaki ku mula terasa diketip halus tentera mereka, namun kali ini aku membiarkan sahaja. Ku tahankan selama mungkin. Kalaulah seekor kerengga mampu menghadapi makhluk yang lebih besar daripadanya, takkan aku mahu mengalah pada serangga yang tidak sebesar mana.
Aku memberi salam dan selawat serta menyebutkan perihal kisah dan Nabi Sulaiman, bahawa kehadiran aku hanya untuk menjadi seorang penyaksi. Saksi sebuah kebenaran kalimah Tuhan dalam kitab-Nya. Tidak lama mana, kaki terasa lega.
“Kalau tidak keranamu, wahai kerengga, pasti pokok ini menjadi mangsa sang pemangsa.”
Beberapa kuntuman bunga kecil sedia ada menyerlah di celahan daun. Tahulah aku tidak lama lagi ia akan menumbuhkan hasil yang bakal dimakan manusia dan unggas sekitar.
Manusia menzalimimu, unggas menganiayakanmu namun kau tetap berbakti kepada mereka. Bersih dan murni hatimu bagaikan Yusof tak tertanding.
Puas. Aku puas menyaksikan segala drama kehidupan dengan para pelakon yang beraksi menurut skrip masing-masing.
Semua patuh, tiada membantah. Yang kuat membantah ini tiada lagi makhluk lain. Yang terlengkap segala tetapi hatinya terlalu cacat dan miskin daya budi akal dan hati; manusia.
Sebuah keluhan yang berat ku lepaskan.
Sambil mengucap salam dan selamat tinggal mataku tertumpu pada ratu kerengga yang tiba-tiba entah dari mana muncul di hujung kaki.
Ia diam dan tidak berganjak lantas aku tunduk dan merenung tepat ke dalam anak matanya.
Mujur juga ia tidak berkubur di bawah tapak kaki ku tapi ia tetap di situ. Berani kerana ia tidak takut pada maut yang menganga, anggun kerana ia seekor ratu yang bijaksana dipuja rakyat jelata.
Kerengga itu mendongak sekilas dan seolah berbisik, “Biar jadi kerengga, jangan jadi berengga.”
Ia pun berlalu pergi tanpa menghiraukan aku yang masih termangu. –Mingguan Malaysia

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya