OLEH RIDZUAN KAMIS
Menurut Ar. Ahmad Hilmy Addullah@Mie, Rossem tidak pernah berhenti melakar penanya di atas kertas. Sudah begitu banyak karya yang dihasilkan dalam pelbagai bentuk dan pendekatan. Hampir tiada subjek yang tidak pernah disentuhnya, hampir semua perkara, isu, bidang, pendekatan dan media pernah dijadikan bahan melalui karya-karyanya yang bertambah matang bersama pengalamannya.
Buku Sebuah Travelog : Jalan-jalan Tanah Seberang hasil kartunis tersohor, Rossem sememangnya berbeza, unik, tersendiri dan istimewa dek kelainan total yang ditampilkan. Rossem nama kartunis bagi Rosidi Semail bercerita secara langsung tentang wisatanya, tentang kelananya mengembara ke Indonesia. Dengan hanya lukisan kartun (karikatur) dan tulisan tangan yang asli, Rossem melakarkan panorama menarik tempat-tempat dilawatinya, membentangkan fakta sejarah sesuatu persinggahan selain pemaparan budaya yang ditemui tatkala dalam pengembaraan ilmunya. Secara tersiratnya, bukan sahaja lakaran dan coretan perjalanan seorang kartunis semata-mata tetapi ceritera tentang persabahatan dan ukhuwah rakyat dua negara, Malaysia dan Indonesia (dua negara serumpun) dapat diakrab mesrakan.
Sisi kartunis Rossem yang bijak dengan pemaparan fakta berbentuk diari, catatan perjalanan yang santai tetapi bernilai tinggi. Dengan lakaran foto manual yang seolah-olah hidup, gambaran sesuatu objek amat jelas dan mengujakan pemerhatian deria telah menaikkan mood pembaca yang seakan-akan turut sama mengembara bersama-sama penulis. Rossem telah melakar 150 buah lukisan untuk melengkapkan trevelog perjalanan wisata dan kelana ilmunya ke-11 wilayah di Indonesia. Walaupun dunia kini serba moden dek terdapatnya kamera canggih, namun Rossem dengan bakat semula jadi mampu menterjemahkan gambaran alam dalam lukisan yang bugar, menarik dan tersendiri.
Menurut Rossem yang juga memiliki Balai Kartun Rossem (BKR) di Kelantan, catatan pengembaraan ini bukanlah berkisah seputar peribadinya semata-mata. Wisata kelana ini lebih menjurus kepada mengangkat kembali aspek sejarah tempat yang dilawati, reka bentuk rumah tradisional sesuatu etnik dalam rumpun Melayu khususnya di Indonesia, perbezaan dan persamaan makanan, kehidupan sosial masyarakat dan kesamaan budaya antara Malaysia dan Indonesia.
Perjalanan Rossem dimulakan di Palembang tanggal 12 November 2014 dengan melawat makam Radja Sriwnaya di Bukit Siguntang yang ketinggiannya hanya 27 meter dari aras laut dan berkeluasan 12.5 hektar sahaja. Berbeza pemahaman kita (termasuk saya) bahawa Bukit Siguntang itu amat tinggi dan luas. Hal ini kerana buku Sejarah Melayu yang dikarang oleh Tun Sri Lanang menyatakan, Bukit Siguntang itu dihuni oleh Wan Empuk dan Wan Malini yang mengusahakan tanaman padi huma. Dikatakan padi yang ditanam menjadi seperti emas dan terlalu luas humanya. Namun di mata Rossem, Bukit Siguntang hanya bukit kecil.
Apabila menyebut Bukit Siguntang, ceritera perjanjian Demang Lebar Daun juga tidak boleh dilupakan kerana di sinilah bermula salasilah keturunan Raja-raja Melayu di Tanah Melayu. Parameswara yang mengembara ke Melaka dikatakan berasal daripada keturunan Demang Lebar Daun hasil perkahwinan anaknya iaitu Sang Nila Pahlawan dan Wan Sundari. Rossem bijak mengadun cerita sejarah Melayu sambil membanding bezakan dengan fakta sebenar. Pemaparan lukisan pengembaraan di Palembang yang seolah-olah saya berada di sana secara imaginasi seperti Jambatan Empera, Masjid Haji Muhammad Cheng Ho, Masjid Agung Palembang, Benteng Kuto Besak, Masjid Amirul Mukminin, Muzium La Galigo, Makam Syeikh Yusuf dan banyak lagi.
Selain tempat bersejarah, seperti lawatan ke Candi Borobudur yang merupakan kuil terbesar di dunia, siri pengembaraan Rossem juga menumpukan kepada aspek budaya seperti penemuan alat muzik kecapi Bugis dan gendang Bugis. Di Bandung pula, penemuan penyanyi, pemuzik jalanan merupakan pemandangan biasa di sini untuk mereka mencari rezeki. Jika dibuat perbandingan setara, Candi Lembah Bujang di Kedah sebenarnya mempunyai kaitan sejarah sezaman antara kedua-duanya.
Elemen mencuit hati juga diselitkan oleh Rossem ketika lawatan ke Bandung apabila dengan bersahaja menulis “mencari makanan di Bandung tak susah, tapi mi bandung, air sirap bandung seperti di Malaysia tak jumpa”. Nada berseloroh Rossem sememangnya benar kerana mi bandung dan air sirap bandung hanya terkenal di Malaysia tetapi tidak di Bandung. Namun begitu, makanan lain mudah diperoleh seperti bakso, sup buntut, sup iga bakar, sup kaki, soto, ayam bebek, nasi padang, bubur ayam dan banyak lagi. Makanan seperti yang dinyatakan sebenarnya banyak juga terdapat di Malaysia yang sudah menjadi makanan tradisi rumpun Melayu Nusantara.
Perasaan ‘cemburu’ terhadap Rossem juga wujud apabila siri wisatanya ke Tasik Danau Toba yang merupakan tasik vulkanik dengan keluasan 100 kilometer dan 30 kilometer lebar. ‘Kecemburuan’ timbul lagi apabila Rossem mengekpreasikan Danau Toba itu amat indah dan cukup mengagumkan seseorang yang beriman dengan panorama menakjubkan. Terasa Tasik Danau Toba dilawati bersama-sama Rossem walaupun hanya dalam imaginasi visual lakaran sahaja. – Sastera dan Budaya, Mingguan Malaysia