ASYIK melayan biskut raya coklat atau red velvet sahaja pasti bosan. Bagi mengembalikan tradisi dan kelainan Aidilfitri pada tahun ini, biskut raya berperisa pandan wajib dihidangkan kepada tetamu yang datang bertandang ke rumah.
Maka, terhasillah resipi biskut pandan nutella oleh Tiyah D. Kadir. Katanya, idea untuk membuat biskut raya lain daripada kebiasaan itu tercetus secara tidak sengaja dan spontan. Ujarnya, olahan tersebut dalam masa sama mampu memartabatkan keaslian rasa pandan pada biskut raya.
Bahan-bahan
-1 buku salted butter Anchor
-175 gram gula kastor
-1 biji telur
-1 sudu besar perasa pandan
-1 sudu besar pewarna hijau
-20 gram susu tepung
-20 gram tepung jagung
-260 gram tepung gandum
-Badam cincang
-Nutella
Cara penyediaan
1. Satukan mentega dan gula. Pastikan mentega pada suhu bilik supaya senang untuk sebatikan.
2. Kacau sehingga sebati dan elakkan ia menjadi kembang. Jika acuan kembang, biskut akan leper dan tidak menjadi.
3. Masukkan telur, pewarna dan perasa pandan. Kacau sebati (boleh juga digantikan dengan perasa red velvet atau coklat).
4. Masukkan susu dan tepung jagung. Kacau dan masukkan tepung gandum. Uli sehingga menjadi doh.
5. Buat bentuk bulat dan golekkan atas badam yang dicincang. Bulat-bulatkan supaya badam melekat pada doh.
6. Tekan atau buat lubang di tengah-tengah menggunakan ibu jari, kemudian gunakan piping syringe untuk meletakkan Nutella.
7. Bakar pada suhu 160 darjah celsius selama 20 minit. Kemudian sejukkan dan simpan dalam balang. Selamat mencuba!
Terima kasih :
TIYAH D. KADIR
Instagram: @dapurtiyah
Facebook: Dapur Tiyah
TikTok: @dapurtiyah