MELAKA: Hidangan popular berasal dari Pantai Timur iaitu nasi kerabu menjadi juadah istimewa dipertaruhkan Ketua Cef di Hotel Casa del Rio Melaka, Cef Yuzgauran dalam menu bufet Ramadan bertemakan ‘Sajian Warisan Kita’.
Yuzgauran atau lebih mesra dipanggil Cef Yuz berkata, nasi kerabu yang disajikan merupakan resipi turun temurun keluarganya menggunakan bunga telang bagi menghasilkan warna biru asli pada nasi.
Katanya, nasi berkenaan turut disajikan bersama ayam goreng berempah dengan ramuan perapan istimewa, selain pelengkap lain seperti sambal, telur masin dan solok lada.
“Selaras dengan tema bufet Ramadan kali ini iaitu ‘Sajian Warisan Kita’, saya pertaruhkan nasi kerabu sebagai salah satu hidangan istimewa. Dengan resipi asli warisan keluarga sendiri, hidangan ini dilihat dapat membuka selera sesiapa sahaja yang mencubanya, selain amat bersesuaian dijadikan menu sihat berbuka.
“Selain itu, kita ada puluhan menu lain yang ditawarkan dalam bufet Ramadan. Daripada pembuka selera, kerabu, ulaman dengan sambal, sup dan aneka bubur.
“Untuk hidangan utama pula, kita sediakan nasi kukus, nasi jagung, sambal tumis udang petai, ayam bakar bersama sos percik dan macam-macam lagi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambah Yuzgauran, harga yang dikenakan kepada pengunjung adalah RM118 untuk dewasa, RM83 bagi warga emas berumur 60 tahun ke atas dan RM59 untuk kanak-kanak berusia enam hingga 11 tahun. – UTUSAN