Sarapan ‘tradisional’ warung dalam kampung - Utusan Malaysia

Sarapan ‘tradisional’ warung dalam kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI mereka yang ingin menikmati sarapan pagi dengan ketenangan di dalam suasana sebenar kampung, pastinya Warung Chaq yang terletak di Kampung Balik Bukit, Chuping, Perlis menjadi antara pilihan.
Hanya sebuah warung kecil dengan atap rumbia, kedai yang dikelilingi keindahan sawah padi menghijau dan berlatar belakangkan sebuah bukit itu menyediakan pelbagai jenis menu makanan tradisional atau kampung.
Diusahakan pasangan suami isteri, Abd. Razak Kasim, 65, dan Rohani Osman, 57, warung itu menyediakan menu seperti nasi lemak, pulut lemak selain pelbagai jenis kuih tradisional seperti karas, tepung bungkus, tepung talam dan pelbagai lagi makanan tradisional lain. Meskipun sekadar makanan ‘biasa-biasa’, namun keindahan kawasan itu menjadi tarikan orang ramai ke situ yang turut tidak melepaskan peluang merakamkan gambar.
Abd. Razak berkata, selain sarapan dengan menu tradisional, kebanyakan pengunjung dari seluruh negeri ini yang datang ke warung itu mahu menikmati ketenangan dalam suasana kampung.
Katanya, sejak mula dibuka minggu lalu, dia menerima sambutan cukup memberangsangkan selepas gambar warung bersebelahan sawah padi itu dimuat naik di dalam media sosial Facebook.
Ujar bekas pekerja kilang simen itu, warung tersebut berkonsepkan pondok tradisional zaman dahulu apabila mereka menggunakan atap rembia.
“Selepas ini, kami akan menambah pelbagai lagi menu lain bagi memenuhi permintaan pelanggan yang ingin menikmati makanan ala-ala kampung ini.
“Orang ramai yang datang juga meluangkan masa merakam gambar keindahan kawasan Kampung Balik Bukit ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Tambah Abd. Razak, harga makanan yang dijual serendah RM2 sehingga RM5 dengan pulut lemak dan nasi lemak yang menjadi antara tumpuan di warung tersebut
Katanya, kedai tersebut beroperasi dari pukul 7 sehingga 11 pagi pada setiap hari.
Sementara itu, seorang pelanggan, Azizi Hashim,21, berkata, di Perlis ada pelbagai kedai makan unik dengan terbaharu di Warung Chaq ini.
Katanya, sarapan dengan menu tradisional dalam suasana kampung sangat memberikan kelainan kepadanya yang berasal dari Johor.
“Makanan di sini sedap-sedap. Selepas ini, mungkin boleh ditambah baik dengan menyediakan lebih banyak menu memandangkan warung ini sangat unik yang berpotensi menjadi salah satu kedai makan tumpuan di Perlis,” kata pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis itu. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya