JIKA dilihat pada menu, sudah tentu ramai yang mengatakan ia biasa-biasa dan ada di mana-mana kafe mahu pun restoran lain.
Namun tidak di Tamu Manis Cafe. Terletak di Kapar, Klang, kedai ini menyediakan hidangan ala Barat dan boleh dikatakan antara yang terbaik pernah saya cuba setakat ini.
Malah rasa hidangannya juga memenuhi cita rasa sesiapa yang datang ke sini dan apa paling menarik, pelanggan boleh mengubah suai hidangan mengikut selera sendiri.
Sekiranya datang ke kedai ini, antara menu wajib cuba di Tamu Manis Cafe adalah nasi goreng chicken chop, nasi goreng nenas, rojak sotong cucur udang serta spaghetti aglio bersama ayam bakar.
Keempat-empat hidangan ini memang berbaloi lebih-lebih lagi rojak sotong cucur udang dimakan bersama kuah kacang yang amat jarang didapati di sekitar Kuala Lumpur. Jika ada pun, rasanya hanyalah ‘biasa-biasa’.
Selain tarikan kuah kacang, cucur udang yang dihidangkan juga lembut dan didatangkan secara pakej bersama tauhu goreng. Saiz hidangan besar ini cukup untuk dua orang.
Tapi bersedia untuk memesan satu lagi selepas menikmati keenakannya. Terus terang saya katakan, setakat ini hanya dua tempat sahaja yang betul-betul menyediakan cucur udang ‘lima bintang’ iaitu di Tampin, Negeri Sembilan dan Tamu Manis Cafe.
Selain rojak sotong cucur udang, spaghetti aglio di sini antara yang terbaik kerana ia didatangkan khas bersama ayam bakar dan sos lada hitam.
Ayam bakar yang dihidangkan juga lembut dan berjus menjadikan ia kombinasi terbaik untuk dimakan bersama spaghetti aglio.
Menurut Cef Tamu Manis Cafe, Syaza Nur Liyana Ahmad Fa’eli, antara bahan perapan yang digunakan adalah bawang putih, sos tiram dan sos cili ia sememangnya resipi sendiri.
Katanya, pelanggan juga boleh mengubah suai menu sedia ada mengikut cita rasa sendiri.
“Sebagai contoh pelanggan boleh menukar ayam bakar kepada ayam chicken chop bagi menu-menu terpilih. Kita mahu pastikan mereka berpuas hati,” jelasnya.
Tambah Syaza Nur Liyana, pelanggan turut diberi kejutan dengan beberapa menu khas masakan ibunya mengikut hari tertentu.
“Menu ini resipi ibu saya sendiri. Dia akan masak satu menu khas hampir setiap hari dan ia bertukar-tukar. Antara menu khas tersebut mee jawa dan pecal,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengurus Tamu Manis Cafe, Muhammad Shukri Ahmad Fa’eli berkata, pembukaan kedai tersebut hasil cetusan dia bersama tiga beradiknya sebelum ini bagi mengetengahkan menu-menu yang sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan.
“Jika sebelum ini, menu-menu yang disediakan hanya dibuat berdasarkan permintaan sahaja. Tiada kedai khusus.
“Tapi kini kami beralih konsep untuk memudahkan sesiapa sahaja terutama penggemar makanan Barat datang ke kedai dan menikmati hidangan kami,” jelasnya.
Tamu
Manis Cafe
Alamat: Lot 9282-1A, Jalan Kebun Baru off Jalan Kapar, Kampung Perepat, Klang Selangor Waktu
Operasi : Dibuka setiap hari kecuali Khamis dari pukul 4 petang sehingga 11 malam.