Sirip ranggup siakap viral tiga rasa tambat selera - Utusan Malaysia

Sirip ranggup siakap viral tiga rasa tambat selera

Chef Eksekutif Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur, Hazif Ramli menunjukkan hidangan siakap viral yang disediakan pada promosi bufet Ramadan di Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur., baru-baru ini-MINGGUAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADUNAN tiga resipi sekali gus sebagai bahan perap ikan siakap sudah cukup menghasilkan keenakan tersendiri.
Paling sedap dan menarik, hirisan sirip ikan ranggup dicicah dengan air asam atau sos pasti membuatkan sesiapa sahaja terliur.
Malah tidak hairan ada pengunjung bufet Ramadan Selera Rasa Senja di Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur ini menambah hidangan itu beberapa kali disebabkan keenakannya.
Menu dinamakan ikan siakap viral tiga rasa itu dihasilkan dengan menggunakan gabungan resipi Melayu, Cina dan India dalam satu hidangan, sekali gus menjadikan menu ini mesti dicuba.
Selain ikan siakap, pengunjung juga perlu mencuba kambing golek yang dimakan bersama nasi mentega.
Apa yang menarik, menu kambing golek di sini menampilkan kelainan dengan adunan rempah yang dapat dinikmati pada setiap gigitan daging berkenaan.
Eksekutif Sous Chef, Hazif Ramli memberitahu, antara rahsia di sebalik keenakan daging tersebut adalah kaedah yang digunakannya untuk memastikan setiap inci daging tersebut diresapi dengan rempah selain memastikan isinya lembut.
“Kami perap kambing selama dua hari dan kemudian balut serta letakkan dalam peti sejuk beku. Apabila dibakar pula, ia biasanya akan mengambil masa dua jam dengan suhu rendah.
“Untuk resipi pula kadang kala saya gunakan resipi Barat atau Timur Tengah mahupun tempatan, bergantung pada hari tertentu,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Dia yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang masakan berkata, hidangan bufet Ramadan di hotel berkenaan terdiri daripada pelbagai juadah lain antaranya Barat, tempatan dan hidangan Timur Tengah.
“Ada lebih kurang 120 juadah kami sediakan setiap hari sepanjang Ramadan. Ada beberapa menu menarik kami hidangkan. Antaranya, ikan sembilang asam pedas, teresek kaki ayam dan masak lemak cili api.
“Saya menggunakan resipi yang diberikan turun temurun daripada nenek saya. Contohnya, masak lemak cili api dengan kuahnya pekat dan pedas dengan rasa asli Negeri Sembilan,” jelasnya.
Selain itu, antara makanan lain yang perlu dicuba adalah Mi Kuali Besar, Roti Jala Serawa Durian dan Onde-onde yang dihidangkan panas-panas.
Dalam pada itu, Hazif memberitahu sebanyak 30 cef terlibat dalam penyediaan makanan di hotel berkenaan sepanjang Ramadan kali ini.
Bagi pengunjung yang mahu menikmati bufet Ramadan di sini, harga yang dikenakan adalah RM198 bagi dewasa dan RM98 bagi kanak-kanak berumur 7 sehingga 12 tahun dan beroperasi sehingga 2 Mei nanti.
Dalam pada itu, Pengarah Jualan dan Pemasaran, Shidatul Nur Fairuze A. Rashid berkata, selain bufet Ramadan, pihaknya turut menyediakan pakej penginapan beserta hidangan berbuka dan sahur dengan harga RM560 untuk dua orang.
“Kebanyakan pengunjung yang datang menikmati hidangan berbuka puasa akan mengambil pakej penginapan disebabkan perbezaan harga yang tidak begitu tinggi,” jelasnya.
Tambah Shaidatul Nur Fairuze, pihaknya juga akan melanjutkan pakej penginapan beserta juadah rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri nanti. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya