KEPELBAGAIAN juadah berbuka puasa sama ada menu antarabangsa atau tempatan pasti membuka selera sesiapa sahaja yang mahu menikmati hidangan di hotel di sekitar ibu negara.
Tidak ketinggalan Hotel Berjaya Times Square terletak di tengah-tengah ibu kota yang menyediakan hampir 200 menu sama ada tempatan mahupun antarabangsa termasuk dari negara Iran.
Selain kepelbagaian hidangan makanan dan minuman, hotel ini juga bakal mencatat rekod tersendiri dengan menyediakan bufet terpanjang di ibu negara setakat ini.
CATAT REKOD BUFET TERPANJANG
Eksekutif Chef Tony Tang berkata, 20 menu Iran ‘dipertaruhkan’ pada tahun ini selain kari kepala ikan yang menjadi identiti hotel setiap kali menjelang Ramadan.
“Setiap hari kita akan hidangkan antara lima sehingga lapan jenis menu selain makanan tempatan. Jadi jumlah keseluruhan hampir 200 menu. Kita juga ada kari kepala ikan merah claypot sama ada bersaiz besar atau kecil.
“Apa yang membanggakan, di samping makanan yang pelbagai, kita berjaya mencatat rekod sendiri apabila menjadi hotel yang menyediakan hidangan bufet terpanjang di ibu negara,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Tony, sebanyak 60 tukang masak terlibat dalam penyediaan juadah bufet Ramadan tahun ini termasuk tukang masak dari Iran.
Menurutnya, dengan adanya tukang masak yang didatangkan khas dari negara tersebut, ini semestinya memberikan rasa asli makanan berkenaan.
Selain itu, pihaknya turut menyediakan menu lain seperti steamboat, satay dan pelbagai makanan lain termasuk hidangan ala Barat.
HARGA
Harga bufet bagi dewasa adalah RM148 manakala bagi kanak-kanak RM88.Bufet Ramadan pada tahun ini diadakan di Junior Manhattan Ballroom, Tingkat 14 dengan kapasiti pengunjung 1,250 orang dalam satu-satu masa.
Bagi penulis, menikmati pelbagai jenis makanan di hotel ini ketika berbuka puasa sesuatu peluang yang tidak dilepaskan.
MENU WAJIB CUBA
Lauk yang wajib dicuba di hotel ini semestinya nasi arab dan kambing bakar yang diadunkan khas bersama pelbagai jenis rempah.
Paling menarik, daging kambingnya lembut dan berjus dicicah bersama sos lada hitam khas sudah pasti membuatkan pengunjung susah untuk melupakannya dan akan datang sekali lagi. Selain itu, aroma kedua-dua makanan ini ketika dihidangkan sudah cukup membuatkan sesiapa sahaja ‘terliur’.
Untuk tempahan atau pertanyaan pakej berbuka puasa di Hotel Berjaya Times Square boleh menghubungi di talian 018-6688176 atau email [email protected].