ELEMEN taman dalam kafe ini menghadirkan nuansa nyaman dan tenang. Ditambah dengan dekorasi moden ala industrial minimalis, menjadikan Sulb di Alor Setar, Kedah kini destinasi tepat untuk menjamu selera dan bersantai.
Paling penting, Sulb amat instagrammable untuk konten media anda. Tidak hanya mempertaruhkan konsep dan dekor itu, Sulb berkonsepkan masakan Itali menyediakan pelbagai minuman kopi artisan yang cocok untuk menjadi hidangan termasuk untuk berbuka puasa.
Ketika ini walaupun di bandar kecil seperti Alor Setar, kopi bukan sekadar minuman biasa tetapi berubah menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat.
Menghirup secangkir kopi artisan yang sempurna bancuhannya di Sulb dengan atmosfera tenang dan santai bersama teman-teman kadangkala dapat mengindahkan hari anda.
Terdapat aneka jenis kopi artisan di Sulb daripada espresso, long black, caffe latte, cappuccino dan mocha termasuk cold brew black dan cold brew white.
Namun istimewanya, menu kopi di Sulb adalah ia diadun menggunakan bahan pilihan dan kualiti terbaik daripada biji kopi Arabica dari Rwanda dan Brazil.
Olahan biji kopi di Sulb menggunakan formula pemilik restoran ini sendiri, Hanif Nazri, 30, dan isterinya Fatin Hani Zaharulail, 28, yang sudah enam tahun berkecimpung dalam dunia perkopian.
Dunia perkopian yang kini ditumpahkan ke Sulb yang beroperasi sejak awal bulan lepas bukan sesuatu yang baharu bagi pasangan suami isteri ini yang lebih dahulu mewujudkan kafe kopi pertama mereka, Kopi & Roti yang juga di Alor Setar, enam tahun lepas.
“Sulb sebenarnya kerjasama Kopi & Roti dengan syarikat hartanah Kumpulan Imperio yang mempelawa kami membuka cawangan baharu di premis jualan dan bilik pameran hartanah mereka pada 2019. Kesempatan ini kami ambil untuk membuka restoran jenama kopi kami sendiri, Sulb.
“Kami tidak mahu memecahkan pelanggan Kopi & Roti kerana di Sulb kami ingin terus menyediakan menu kopi dan makanan berkualiti dengan kopi premium kami sendiri,” kata Fatin Hani ketika ditemui di Sulb yang terletak di Pekan Simpang Kuala, Alor Setar, Kedah baru-baru ini.
Begitu juga bahan bagi menu makanan di Sulb, katanya, menggunakan bahan berkualiti untuk menjamin keunikan dan keenakan setiap hidangan kepada pelanggannya.
“Bukan sahaja biji kopi kami cipta sendiri tetapi juga pasta dan roti yang digunakan dalam menu Sulb juga diperoleh daripada yang pakar dalam pembuatannya.
“ Ini bahan utama untuk hidangan di Sulb jadi kami ingin beri keunikan dari segi rasanya,” tambah Fatin Hani.
Hidangan yang istimewa di Sulb adalah egg benedict, Turkish eggs, crouque madame dan beef quesadillas.
Sementara menu pasta pula, ipesto carbonara, smoked duck aglio e olio, meatball cabonara, classic carbonara dan chicken cacciatore sehingga ke menu utama seperti wiener schnitzel, lamb rack dan orange mango duck confit.
Khusus untuk hidangan pencuci mulut pelbagai menu disediakan daripada sandwich, kek dan croissant.
Sulb menjadi tempat ideal untuk berkumpul bersama keluarga, teman dan rakan sekerja untuk bersantai atau meraikan hari istimewa selain untuk bermesyuarat di bilik khas yang mampu memuatkan sehingga 12 pelanggan.
Sulb dibuka dari pukul 4 petang sehingga 11 malam pada bulan Ramadan ini.
Sempena Ramadan ini, Sulb turut memperkenalkan pakej berbuka puasa dari harga RM45 untuk dewasa, RM39 (warga emas) dan RM19 (kanak-kanak) yang terdiri daripada tiga hidangan iaitu pembuka selera, utama dan pencuci mulut.
Harga lebih murah dengan tempahan awal iaitu cuma RM39 (dewasa) RM35 (warga emas) dan RM15 (kanak-kanak).
Restoran Sulb
Lokasi: 66&67 Tingkat 2, Pekan Simpang Kuala, Alor Setar Kedah
Waktu operasi: 4 petang – 11 malam (waktu Ramadan)
Facebook&IG: sulb