Keenakan udang galah sepit biru - Utusan Malaysia

Keenakan udang galah sepit biru

TELUK INTAN 10 MAC 2022: Udang galah goreng kunyit antara hidangan pilihan pelanggan di Restoran Tepian Sungai Perak di Teluk Intan. - PEMBERITA dan GAMBAR: AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERAIRAN Sungai Perak di sekitar Teluk Intan yang terkenal sebagai lubuk udang galah secara tidak langsung mewujudkan perniagaan makanan berasaskan udang galah di sekitar daerah ini.
Antara restoran terkenal yang menyajikan masakan berasaskan udang galah adalah Restoran Tepian Sungai Perak di bandar Teluk Intan yang terletak di tepi Sungai Perak.
Di restoran itu terdapat pelbagai jenis masakan udang galah yang enak dan menyelerakan seperti masak lemak cili api, sambal pedas, kari, masak kacang dan goreng kunyit.
Pemilik restoran itu, Sayed Azman Sayed Abu Bakar berkata, dia mengusahakan kedai makan itu bersama-sama anak-anaknya.
Menurutnya, masakan udang galah di situ adalah masakan yang biasa dimasak oleh penduduk Bota di Perak Tengah.

MENU POPULAR
Sayed Azman memberitahu, tukang masak atau chef di restorannya mempunyai ramuan tersendiri dalam menghasilkan masakan kampung berasaskan udang galah Sungai Perak yang memuaskan selera pelanggan itu.
“Menu pilihan popular dalam kalangan pelanggan adalah udang galah sepit biru bersaiz besar masak sambal atau masak lada juga goreng biasa atau goreng kunyit.
“Biasanya jika satu keluarga mereka akan pesan udang seberat tiga kilogram tapi selalunya tak cukup dan akan meminta masak lagi dua kilogram.
“Biasanya restoran dipenuhi pelanggan dan bertambah pada Jumaat, Sabtu dan Ahad, kadang kala pelanggan kena tunggu lama sedikit, tapi mereka tak bising sebab faham keadaan,” katanya.
Mengenai harga, Sayed Azman berkata, harga udang yang siap dimasak RM130 sekilogram namun ia bergantung pada saiz.
Jelasnya, biasanya sepinggan sekurang-kurangnya tiga ekor udang galah.
“Harga yang kami tawarkan berpatutan, tiada pelanggan yang merungut makanan di sini mahal malah mereka berpuas hati dengan keenakan hidangan di sini.
“Mereka kata makan biar sedap dan puas, harga mereka boleh bayar,” terangnya.
Katanya, pelanggan biasanya memilih makan beramai-ramai bersama ahli keluarga atau rakan-rakan dan memesan pelbagai masakan kampung dan moden.
“Pelanggan gemar makan secara santai, suap mengunakan tangan yang membuka lagi selera sambil menikmati tiupan segar angin Sungai Perak,” katanya.
Menurutnya, bekalan udang di restorannya dijamin segar kerana ia diperoleh terus dari Sungai Perak.
Katanya, udang galah Sungai Perak di sekitar Teluk Intan berbeza dengan udang galah di tempat lain.
“Udang galah Sungai Perak di sini lebih manis kerana persekitaran tebing sungai di Teluk Intan berpasir.
Katanya, selain udang, restorannya juga menyajikan masakan berasaskan ikan.
“Ikan paling istimewa sudah tentu jelawat, patin emas, ketutu, dan baung merah,” katanya.

APA KATA PELANG­GAN
Sementara itu, seorang pelanggan, S. Ganesan, 65, berkata, jika datang ke bandar Teluk Intan, dia pasti singgah di Restoran Tepian Sungai Perak untuk menikmati udang galah.
Katanya, dia puas menikmati masakan udang di restoran itu kerana bersiaz besar, sedap dan harga pun berpatutan.
“Saya sudah lama tak datang ke Teluk Intan, kebetulan ada urusan hari ini lalu saya singgah di restoran ini.
“Selain makan di restoran ini, saya juga sempat beli 10 kilogram udang galah sepit biru dan beberapa jenis ikan.
“Makan di restoran ini memang sedap, saya suka masakan orang Melayu,” katanya.
Seorang lagi pelanggan, Cik Roslan Cik Abdullah, 43, dari Sungkai berkata, hidangan paling digemari olehnya sekeluarga adalah udang masak berlada.
“Sebulan sekali kami akan datang makan di sini. Masakannya sangat sedap, tentang harga ia tiada masalah sebab ditentukan mengikut saiz udang,” katanya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya