Itik panggang ala Hong Kong hasil kreativiti anak Melayu - Utusan Malaysia

Itik panggang ala Hong Kong hasil kreativiti anak Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menu berasas itik, meskipun semakin mendapat tempat dalam kalangan orang Melayu, namun ia lebih tertumpu kepada hidangan tradisional seperti gulai itik salai dan kerutuk.
Dalam pada keributan restoran yang menawarkan menu sebegitu, beberapa anak muda tampil berani memperkenalkan hidangan itik panggang menggunakan resipi dan ramuan klasik Cina ala Hong Kong, sekali gus memberi warna-warni dalam dunia kulinari.
Itulah yang dapat disimpulkan, saat Mingguan Malaysia berkunjung ke gerai Itik Shack yang terletak di The Paddock, Petaling Jaya. Saat merapati gerai, hidung segera menangkap keharuman itik yang dipanggang bersama rempah ratus yang wangi, lantas segera menaikkan selera.

HIDUP PERLU BERANI
Menurut pemilik yang juga Ketua Pegawai Operasi (CEO) Itik Shack, Shakib Abdul Hamid, 44, jenama itu mula dibangunkan pada awal 2020, sewaktu negara menyaksikan serangan pandemik Covid-19.
“Bagi kami, hidup perlu berani ambil risiko. Meskipun pada waktu itu, negara dibadai wabak Covid-19, namun berkat doa dan sokongan keluarga dan rakan-rakan, saya bersama sahabat lain terdetik untuk memasarkan itik panggang ala Hong Kong.
“Pada peringkat awal, kami menjual secara atas talian. Apabila semakin mendapat sambutan, dan sedikit demi sedikit Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan, akhirnya kami menyewa kios di The Paddock dan mula berniaga itik panggang di sini,” katanya.

MACAM BELAJAR KUNG FU
Sementara itu, Pengurus Pemasaran Itik Shack, Mohd. Azmi Rosly memberitahu, rahsia mereka berjaya mencipta resipi itik panggang ala Hong Kong, terletak kepada kegigihan ketua cef di sini.
“Ketua cef kios kami, iaitu abang saya, pernah menuntut ilmu memanggang itik dari seorang tukang masak berbangsa Cina. Untuk mendapatkan ilmu itu, dia berguru lebih setengah tahun, dan melalui detik sukar apabila dikerah segala keringat demi memastikan segala ilmu yang diturunkan benar-benar dipelajari.
“Pendek kata, kalau pernah tonton filem kung fu, yang mana anak murid diherdik sebelum benar-benar mahir, begitulah pengalaman ditempuhnya.
“Setelah habis menuntut ilmu, maka dia mula merekrut ahli keluarga dan sahabat lain untuk mula berniaga itik panggang. Dari situlah kami bermula,” jelasnya.

HARUM MEWANGI
Pengalaman menjamah menu-menu yang ditawarkan, ternyata semua memang lazat belaka.
“Antara kekuatan utama di sini adalah itik panggang original. Menu ini didatangkan dalam beberapa saiz bagi menyesuaikan dengan pelanggan.
“Itik panggang di sini melalui proses rumit, apabila ia perlu dilumur rempah dari dalam, sebelum ‘dimandikan’ rempah ratus untuk memberi perasa pada bahagian luar. Ini proses memakan masa, namun hasilnya adalah itik yang berperisa,” jelas Shakib.
Dia bercerita, selain boleh dijamah begitu saja, pelanggan juga boleh memilih hidangan nasi itik panggang.
“Nasi kami adalah nasi Hainan, ia menggunakan ramuan rahsia yang menghasilkan nasi penuh berperisa dan sangat sesuai dengan hidangan itik panggang,” katanya.
Selain itu, turut dijamu itik panggang masak lemak, yang mana menurut Shakib adalah menu kreatif yang menawarkan sensasi rasa ala Melayu digabungkan dengan itik berperisa oriental.
“Didatangkan bersama nasi pandan. Yang membezakan hidangan ini dengan lain, kami guna itik panggang. Maka hidangan ini lebih berjus dan padat isi kerana itik panggang lazimnya mengekalkan kepadatan daging berbanding salai,” jelasnya.
Hidangan lain yang turut dijamu adalah yee mee itik panggang. Ini satu lagi menu mengetengahkan ciri masakan Cina yang ketara. Ia ada rasa kicap cair dan minyak bijan dan apabila digabungkan dengan hirisan itik panggang yang harum mewangi, maka terbitlah segala kelazatan yang tiada tolok banding.

Itik Shack
Itik panggang wangi ala Hong Kong

Lokasi: The Paddock, Free Trade Industrial Zone, Jalan SS 8/6, Sungai Way Free Trade Industrial Zone, Petaling Jaya, Selangor
Waktu operasi: 12.30 tengah hari sampai 12 tengah malam
Menu istimewa: Itik panggang ala Hong Kong (beberapa saiz), nasi itik panggang, gulai itik panggang lemak cili api, yee mee itik panggang ala Hong Kong

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya