KEDAI Dapo Kita yang diusahakan oleh pasangan suami isteri di Kampung Tok Kandang, Padang Behor, Kangar Perlis hanyalah kedai biasa yang terletak di kawasan halaman rumah.
Namun, kelainan dan keunikan menu yang ditampilkan iaitu piza yang dibakar menggunakan dapur kayu api berjaya menarik ramai pelanggan di kedai berkenaan.
Istimewanya, piza menggunakan dapur kayu api yang diperkenalkan Mohd. Shalim Ahmad,47, dan Lilawati Zainol,43, sejak Disember lalu itu adalah yang pertama di Perlis sekali gus menjadi tarikan baharu di negeri ini.
Ramai khususnya penduduk negeri ini yang ingin mencuba piza menggunakan kaedah tradisional itu yang menyerlahkan lagi keaslian makanan popular Itali itu.
IDEA DAPUR API
Antara menu yang paling menjadi tumpuan di kedai tersebut adalah seperti piza daging dan kambing salai selain pelbagai lagi jenis lain seperti Margherita, Capricosa, Diavola, Hawaiian, Costiera dan pelbagai lagi dengan harga ditawarkan serendah RM12 hingga RM33.
Sementara itu, menu tambahan lain adalah seperti lasagna, cheezy macaroni dan sup cendawan.
Mohd. Shalim berkata, idea untuk menghasilkan piza menggunakan dapur kayu api itu tercetus apabila melihat negeri ini masih tidak ada peniaga yang mengusahakan piza seperti itu.
Katanya, percubaan tersebut bagaimanapun membuahkan hasil apabila tidak sampai tiga bulan menjalankan perniagaan, sambutan yang diterima cukup menggalakkan.
“Rasa piza dibakar menggunakan dapur kayu api berbeza dengan ketuhar. Bakar menggunakan dapur kayu api ini menghasilkan aroma lebih wangi selain teksturnya lebih lembut dan rangup. Proses bakar pula hanya sekitar lima ke 10 minit sahaja.
“Kaedah tradisional ini terus popular di negara-negara Eropah seperti Itali, Sepanyol dan Perancis. Bakar menggunakan dapur kayu api ini lebih menyerlahkan lagi keasliannya.
“Alhamdulilah sejak dibuka sambutan sangat baik. Ramai yang ingin mencuba piza yang dibakar menggunakan dapur kayu api ini selepas sebelum ini tidak pernah mencubanya,” katanya.
30 KG KAYU API
Tambah Mohd. Shalim, kedainya beroperasi setiap hari kecuali Selasa dari pukul 4 petang sehingga 12 tengah malam serta dibantu oleh dua anaknya Mukhriz,19, dan Mirzan,16.
Katanya, setiap hari lebih 30 kilogram kayu api digunakan di dapur bagi membakar piza itu.
Sementara itu, Mohd. Shalim berkata, sebelum ini, dia pernah menjalankan perniagaan piza di Langkawi, Kedah lebih sembilan tahun dan mempunyai pengalaman mengenai makanan itu.
Namun katanya, ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini menyebabkan dia terpaksa menutup kedai selepas tidak lagi mampu menanggung kos yang tinggi termasuk sewa premis berkenaan.
“Selepas itu, saya balik kampung dan usahakan perniagaan piza ini di Perlis dan Alhamdulilah mendapat sambutan cukup baik. Selepas ini, mungkin kita akan menambah pelbagai menu lain,” katanya.
DAPO KITA
Alamat : Kampung Tok Kandang, Padang Behor, Kangar Perlis
Waktu Operasi :
4 petang – 12 tengah malam
Facebook : DAPO KITA