“WALAUPUN restoran berkonsep makanan Barat premium sekarang ini tumbuh macam cendawan lepas hujan, namun kami ada kekuatan tersendiri.
“Pertama, kami menggunakan daging berkualiti tinggi dan premium, bagi memastikan kesegaran dan keenakan stik. Kedua, untuk menu pizza, bermula dari bahan penyediaan doh sehingga inti (topping), semua disediakan sendiri. Ini supaya menjamin kesegaran dan kualiti.
“Malah di sini turut menawarkan kepelbagaian menu makanan Barat dengan sentuhan Timur dan oriental, misalnya kami padankan spaghetti bersama sos telur masin. Pendek kata, kami ada keunikan luar biasa.”
Demikian penjelasan Pengarah Operasi di Mu’sier Fine Meat and Steak, Shahrul Nashriq Muhmad, ketika menyambut kunjungan kru Mingguan Malaysia ke sana, baru-baru ini.
JURUTERA JADI
PEMILIK RESTORAN
Ceritanya, ilham menubuhkan restoran yang terletak di USJ, Subang Jaya ini terbenih lama dahulu.
“Saya berlatar belakang sarjana muda kejuruteraan mekanikal. Selepas beberapa tahun berkhidmat di sebuah syarikat kejuruteraan, saya dan beberapa senior ada berbincang untuk menceburi dunia makanan.
“Kebetulan kami dipertemukan dengan seorang mentor yang juga pakar daging tersohor tanah air, maka kami menimba sebanyak mungkin ilmu. Selanjutnya, saya dan rakan jurutera lain mula membangunkan restoran berkonsep stik dan makanan Barat. Masing-masing ada jenama sendiri, dan saya memilih jenama Mu’sier, iaitu dalam bahasa Kelantan bermaksud daging yang lembut,” katanya.
Mula ditubuhkan pada Mei 2021, Shahrul berkata, restoran miliknya semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat daging terutama Lembah Klang.
“Alhamdulillah, berkat doa dan sokongan ramai, jenama kami semakin dikenali. Misalnya, kalau hujung minggu, memang jadi kelaziman terpaksa beratur sebelum dapat meja, sebab memang penuh pelanggan.
“Malah, kami juga sering menerima kunjungan artis malah VVIP yang ingin mencuba kelazatan daging-daging berkualiti premium di sini,” ceritanya.
Bercerita lebih lanjut, dia berkata Mu’sier menawarkan puluhan jenis menu, termasuk hidangan yang sesuai untuk kanak-kanak.
Antara menu sohor, katanya adalah stik angus tomahawk, angus porterhouse, wagyu ribeye, aneka jenis pizza, aneka jenis hidangan ayam serta pasta.
Paling menarik, katanya adalah kreativiti cef di sini, yang berjaya memperkenalkan beberapa menu pasta unik.
“Antaranya, pasta yang disadur sos telur masin. Ia penuh dengan kepelbagaian rasa yang sukar diterjemah, kena makan dulu baru tahu,” terangnya.
PESTA DAGING PREMIUM
Tak tunggu lama, sebaik temu bual selesai, pelayan mula menghidangkan aneka hidangan yang sarat daging.
Antara yang paling mengujakan adalah stik wagyu ribeye dengan skor marbling 9-10. Menurutnya, ini antara menu paling premium, menggunakan daging wagyu import yang terkenal lembut dan lemak berkrim.
“Seperti diketahui, daging wagyu ini kaya dengan bebenang lemak yang lazat. Ia sangat lembut, malah kalau masuk ke mulut sangat senang mencair,” katanya petah memberi penjelasan.
kami turut dijamu angus tomahawk. Saat diletak atas meja, selambak daging yang dimasak medium rare memenuhi ruang meja, menaikkan seri hidangan. Tambah menarik, hidangan mewah itu disusun cantik apabila kepingan daging yang berjus dibariskan sejajar dengan tulang selangka. Maka berkelip-kelip cahaya ‘flash’ dari kamera jurugambar kami, merakam sebaik mungkin hidangan enak itu.
Kehebatan cef mengendalikan pemanggang, berjaya menghasilkan hidangan yang cukup lembut untuk dikunyah. Kemanisan daging tambah terserlah apabila difahamkan cef turut menggunakan sos perapan khas buatan sendiri bagi memerap daging.
Beralih ke menu stik angus porterhouse juga sangat mengujakan. Menggunakan bahagian daging yang premium, iaitu gabungan tenderloin dan striploin, stik itu menampilkan ciri hidangan mewah kelas tinggi. Apa tidaknya, ada sedikit kerangupan dek kerak bahagian luar, namun dagingnya kekal berjus dan lembut tak terperi.
Mu’sier Fine
Meat and Steak
Alamat: G-9, Jalan Usj Sentral 2, USJ Sentral, Subang Jaya, Selangor
Tel: 013-793 4309
Menu sohor: Stik wagyu, tomahawk, angus porterhouse, aneka jenis pizza, pasta telur masin