Keenakan ketam Alaska, udang kara berkeju - Utusan Malaysia

Keenakan ketam Alaska, udang kara berkeju

Antara menu hidangan istimewa yang terdapat di IOI City Mall Putrajaya. -MINGGUAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memasuki ruang restoran kali ini, terasa luas pemandangan yang dilempar. Ruang restoran yang luas, ditambah pula dinding kaca lutsinar, itu membuatkan suasana nampak cukup lapang.
Menariknya, bertentangan dengan ruang makan, ada pancuran air yang menaikkan seri pemandangan, sekali gus memberi pengalaman mengasyikkan. Tambahan pula, hidangan yang ditawarkan terdiri daripada makanan laut premium dengan harga berpatutan, ini membuatkan Ombak Kitchen di IOI City Mall, Putrajaya sentiasa mendapat sambutan.

500 EKOR KETAM
RAJA ALASKA
Menurut Eksekutif Pemasaran Ombak Kitchen, Balqis Nabilah Agusli, 27, antara kekuatan di sini adalah aneka makanan laut yang segar dan berkualiti.
Ini, katanya, termasuk ketam raja Alaska (Alaskan king crab) yang sohor dalam kalangan peminat makanan laut sebagai menu aras tinggi.
Ceritanya, sambutan terhadap menu itu sangat menggalakkan, apabila ketiga-tiga cawangan Ombak Kitchen termasuk di IOI City Mall, memperuntukkan lebih 500 ekor ketam setiap bulan.
“Di sini, kami menawarkan kira-kira 200 menu berbeza, yang bermula serendah RM29.90. Ini terdiri daripada aneka makanan laut seperti ketam raja, ketam nipah, tiram segar, lobster dan bermacam-macam lagi.
“Selain itu, ruang yang luas juga antara faktor kekuatan. Di sini, boleh muatkan 150 pelanggan pada satu-satu masa, maka ramai yang menjadikan restoran ini sebagai tempat mengadakan majlis kecil,” jelasnya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

ANEKA MAKANAN LAUT
Antara yang menarik adalah lobster thermidor. Udang karang bersaiz besar itu disadur sos keju yang lemak berkrim, serta dipadankan dengan hirisan cendawan yang melazatkan hidangan. Selain itu, ada juga three cheese oven baked cheesy oyster. Ini juga hidangan luar biasa, apabila tiram dibakar sempurna, dan disaratkan juga dengan inti berkeju yang lemak dan kaya rasa kesegaran makanan laut.
“Tiram di sini antara menu laku keras. Ini kerana kami menggunakan yang segar, dan teknik penyediaan disempurnakan cef membuatkan hidangan ini rasa cukup menyelerakan.
“Cef menyediakannya sambil disaratkan inti mengandungi tiga jenis keju cair, iaitu cheddar, parmesan dan cream cheese. Ia kemudian ditabur pula daun ketumbar,” jelasnya.
Pada masa sama, kru kami dijamu hidangan ketam nipah dan udang yang digaul sos khas cajun. Menariknya, semua hidangan ini dihidang secara lambak atas meja, maka semakin seronok pengalaman makan sambil berbual-bual.
“Tradisi kami di Ombak Kitchen, memang makanan dihidangkan secara lambak supaya pelanggan dapat menikmati sepuasnya makanan laut tanpa risau tak cukup pinggan untuk menghidangkannya.
“Kami ada sos khas sendiri yang dipadankan dengan makanan laut, ini termasuk sos cajun serta cheesy zesty lemon. Di sinilah kekuatan utama kami yang berbeza dengan pesaing lain,”jelasnya.

MESRA KANAK-KANAK
Kata Balqis, restoran ini juga menawarkan menu yang membuka selera kanak-kanak.
“Kami ada fish and chips, spaghetti napolitana serta sosej mini dengan kentang goreng. Pencuci mulut juga dihidangkan dengan teknik yang sangat menarik, apabila cef akan menghidangkan aneka sos buah-buahan, sebelum menyusun marshmallow, donut serta kekacang dalam corak lautan dan pantai. Pendek kata, bukan kanak-kanak saja teruja, malah orang dewasa juga,” katanya.

Ombak Kitchen
Alamat: GE-15, Ground Floor IOI City Mall, Lebuh IRC IOI Resort City, Wilayah Persekutuan Putrajaya
Waktu operasi: 11 pagi – 10.30 malam
Tips: Disaran buat tempahan awal jika berkunjung pada hujung minggu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya