Negeri Sembilan memang terkenal dengan masakan gulai lemak yang pedas berapi. Apatah lagi, jika gulai itu dipadankan pula dengan ikan sungai yang segar, maka bertambah sedaplah juadah yang bakal terhidang.
Di Senawang, ada satu restoran yang menyajikan hidangan ikan baung segar. Dimasak dalam dua jenis kuah berbeza, iaitu gulai lemak cili api serta gulai tempoyak, kedua-duanya memang pedas dan menyengat, malah kelazatannya bisa membuatkan pelanggan minta nasi tambah.
Ikan baung yang digunakan sangat segar, dibuktikan melalui tekstur yang kenyal melantun. Rasanya manis, dan isi yang berkeping-keping itu ada keunikan tersendiri yang sinonim dengan ikan sungai.
Berpeluang menjamah bahagian kepala ikan baung yang dimasak asam tempoyak ala Pahang, rasa kuahnya memang tak sama dengan gulai tempoyak di restoran kebanyakan. Ia tidaklah berwarna kuning seperti kelaziman, sebaliknya kemerahan barangkali menggunakan cili api merah.
Rasa seimbang antara manis, pedas dan masam, yang bersebati dengan kepala ikan yang berlemak, ternyata menu laku keras di restoran Rumah Makan Perpateh.
BARU BUKA DAH SOHOR
Menurut pemilik yang juga pengurus operasi, Mohd. Khairi Abdul Rahman, 33, restoran itu mula beroperasi sejak November, 2021.
Terangnya, ilham menubuhkan restoran muncul apabila berpeluang menyewa lot tepi di kawasan komersial Senawang.
“Kadar sewa waktu itu agak murah susulan musim pandemik, maka saya dan isteri tanpa banyak soal terus bersetuju. Kemudian, selepas menyewa, kami mula buat perancangan untuk berniaga masakan kampung.
“Memikirkan persaingan sengit, maka timbul idea untuk tampil berbeza. Di sini, kami tak hidang nasi campur, sebaliknya setiap pesanan pelanggan akan dimasak dan dihidang panas-panas. Maka pelanggan akan dapat merasai pengalaman ibarat bersantap air tangan nenek di rumah,” kata bekas jurutera ini.
Ceritanya, susulan faktor lokasi yang strategik dan mudah dilihat, maka sambutan amat menggalakkan.
“Bayangkan, pada hari pertama buka kedai, kami terpaksa tutup selama dua jam kerana pelanggan terlalu ramai dan operasi di dapur semacam kaku sebab tak bersedia untuk menyambut pelanggan seramai itu. Selepas dua jam kami perhalusi kaedah operasi, barulah kedai dibuka semula.
“Sejak itu, kami memantapkan operasi bahagian dapur agar setiap pesanan dapat disediakan dengan pantas. Sejak itu juga, kami perkemaskan lagi menu agar sesuai dengan selera pelanggan,” jelasnya.
IKAN BAUNG, ITIK SALAI MENU LAKU KERAS
Antara kekuatan di Rumah Makan Perpateh adalah konsep hidang panas-panas, selain pilihan menu lauk-pauk kampung yang menyelerakan.
“Antaranya, kami menyajikan dua jenis hidangan ikan baung termasuk gulai lemak cili api dan asam tempoyak. Kami juga ada itik dan ayam kampung salai, yang digulai lemak cili api bercampur pucuk pegaga,” terangnya.
Pada masa sama, katanya, ada juga hidangan gulai jenahak asam pedas, perut digulai lemak cili api bercampur rebung, patin tempoyak serta ikan bakar bersambal petai.
WAKTU OPERASI BERLAINAN
“Di sini, kuantiti hidangan amat dititikberatkan. Satu hidangan itik salai misalnya, boleh makan dua orang.
“Waktu operasi kami juga berlainan dari kedai masakan kampung lain. Di sini, kami beroperasi dari 11 pagi sampai 4 petang. Kemudian, kami buka semula restoran mulai 6 petang sampai 10 malam. Jadi, ini memudahkan keluarga yang bekerja, selepas pulang dari pejabat, boleh menikmati masakan kampung ibarat makan di rumah,” katanya.
Restoran: Rumah Makan Perpateh
Alamat:
1, Jalan Bandar Senawang 1, Pusat Bandar Senawang, 70450 Senawang, Negeri Sembilan
Menu laku keras:
Gulai ikan baung cili api, asam tempoyak ikan baung, itik salai gulai lemak cili api, daging salai, telur itik lemak pedas