Tulang rusuk panggang ala Jawa menusuk kalbu - Utusan Malaysia

Tulang rusuk panggang ala Jawa menusuk kalbu

Eksekutif Chef DoubleTree by Hilton, Faizal Ghani bersama menu hidangan di Makan Kitchen di Putrajaya. - MINGGUAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANDA tentunya pernah merasai hidangan tulang rusuk panggang. Dimasak ala Barat dengan perapan sos lada hitam, sudah biasa didapati di kebanyakan restoran yang menghidangkan sajian Barat.
Bagaimanapun, berlainan pula dengan hidangan yang diperkenalkan restoran Makan Kitchen di Hotel DoubleTree by Hilton Putrajaya Lakeside. Tulang rusuk panggang diolah ala masakan Melayu Jawa pastinya memberikan rasa luar biasa.
Tulang rusuk lembu panggang dengan rempah sangai Jawa disaluti tempe dan cili rangup begitu menusuk aromanya ketika Eksekutif Chef, Faizal Ghani menghidangkannya sebagai antara menu sajian utama hidangan bufet di Makan Kitchen.
Menurut Chef Faizal, bagi membangkitkan rasa sebati dalam daging tulang rusuk, bahan-bahan seperti bawang merah, bawang putih, halia, serai, jintan manis, jintan putih, serbuk ketumbar dan serbuk kunyit diperap semalaman sebelum dibakar di dalam ketuhar pembakar selama dua jam.
Jika kebiasaan hidangan daging dicicah sos lada hitam, namun bagi menu ini, ia menggunakan cili gesek dengan kesemua bahan asas digoreng dengan api perlahan sehingga lembut. Selepas daging tulang rusuk siap dibakar, serbuk tempe yang dihancurkan secara kasar digaul bersama cili kering sangai sebelum ditabur di atas permukaan daging.
Rasa dan aromanya sungguh padu dan menusuk kalbu apabila hirisan daging lembut masuk ke dalam mulut. Cukup lengkap dengan gabungan pedas dan rasa kriuk kriuk tempe dengan tekstur da­ging juicy.
Selain tulang rusuk panggang ala jawa ini, Makan Kitchen memperkenalkan pelbagai hidangan bufet berkonsepkan makanan kepelbagaian bangsa.
Puyuh tandori amat mencuri perhatian dalam senarai hidangan bertemakan masyarakat India, manakala hidangan ayam percik tebu pula menjadi tarikan tema masyarakat Melayu.
Persembahan hidangan sayur dan salad segar turut menjamah mata sebaik melangkah masuk ke restoran ini. Saya amat kagum apabila diberitahu ke semua sayur-sayuran dan salad yang dihidangkan adalah hasil tanaman pihak hotel sendiri berkonsepkan tanaman hidroponik.
Lebih mengujakan, apabila saya diberitahu ke semua bahan mentah seperti daging, ayam dan hasil laut diperoleh daripada pembekal tempatan dari penduduk berhampiran demi membantu pengusaha kecil-kecilan sekali gus menjana pendapatan mereka.
Orang Melayu biasanya tidak lengkap tanpa makan nasi. Anda boleh cuba briyani ayam dalam buluh yang dipanaskan di atas tempat pemanasan teknologi canggih menggunakan batu-batu kecil tanpa tidak langsung menjejaskan rasa dan tekstur makanan.
Penggunaan sistem pemanasan itu adalah keistimewaan Makan Kitchen yang mana DoubleTree by Hilton Putrajaya Lakeside adalah rangkaian hotel Hilton pertama di Asia Tenggara mempunyai kelengkapan pemanasan tercanggih itu.
Selain itu, anda wajib mencuba hidangan ikan Salmon Culibiac dengan sos daun herba dill dan lemon krim sangat mengujakan jika anda peminat ikan.
Rusuk kambing bersama sos barbeku ala Cina pula merupakan signature utama bagi konsep hidangan masyarakat Tiong Hua di samping laksa Johor dan mee udang istimewa boleh memberikan pilihan jika anda penggemar makanan berkuah.
Restoran ini boleh memuatkan 200 pelanggan dengan mengaplikasikan SOP penjarakan sosial ketika ini.
Beroperasi dari 6.30 pagi ke 10.30 malam, terdapat juga aneka set makan tengah hari dan makan malam seperti Tiffin Set Lunch dan Dulang Set Dinner yang menarik untuk dicuba. Selain bufet makan malam, bufet hi-tea turut disediakan.

MAKAN KITCHEN
Operasi: 6.30 pagi – 10.30 malam
Tiffin Set makan tengah hari (Isnin-Sabtu) 12.00 PM – 2.30 PM
Hi- Tea (Ahad dan cuti umum) 12.00 PM – 3.30 PM
Set Dulang makan malam (Ahad hingga Khamis) 6:30 PM – 10.00 PM
Dinner Bufet (Jumaat, Sabtu, cuti umum dan hari perayaan) 6.30 PM – 10.00 PM
Bufet makan malam: RM 148 untuk dewasa / RM 74 untuk kanak-kanak
Bufet hi-tea RM 98 untuk dewasa / RM 49 untuk kanak-kanak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya