Stik wagyu dengan nira kelapa? - Utusan Malaysia

Stik wagyu dengan nira kelapa?

Pemilik Kars Fine Meat and Steak, Sudirman Rodhi menunjukkan antara hidangan utama yang terdapat di Kars Fine Meat and Steak di Cyberjaya. - MINGGUAN/FAUZI BAHARUDIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seandainya disusun 10 restoran hidangan Barat terbaik di Malaysia, yang menyajikan potongan wagyu premium A5 yang lembut dan harum ibarat marshmallow cair, barangkali restoran ini antara yang layak mendapat tempat yang tinggi dalam senarai.
Menariknya, teknik penyediaan potongan wagyu mewah itu sangat teliti, kerana cef menghasilkan dua tekstur berbeza yang bergabung secara harmoni.
Ia sedikit rangup di luar, namun lembut pada bahagian dalam. Kewangian daging mewah itu jelas terasa saat dipotong, apabila mengalir segala jus daging yang wangi semerbak memukau deria.
Demikian pengalaman krew Mingguan Malaysia bersantap dalam suasana ibarat pesta daging premium, di Kars Fine Meat, Cyberjaya, baru-baru ini.

PERKEMBANGAN
EKONOMI MUSLIM
Kata pemilik yang berasal dari Pulau Pinang, Sudirman Rodhi, 44, jenama Kars mula mencambah benih pada April, 2020. Didorong matlamat mahu memeriahkan industri makanan halal yang menawarkan sajian premium yang bersih, halal dan terjamin kepada masyarakat khususnya Muslim, maka beliau mengambil langkah berani membangunkan restoran di kawasan elit Cyberjaya.
“Di negara ini, kita boleh lihat kepesatan pembangunan ekonomi umat Islam dan orang Melayu khususnya, apabila permintaan terhadap makanan premium terutama stik meningkat.
“Ini satu tanda aras yang bagus, menunjukkan kemakmuran ekonomi Muslim, dan dari itu saya terpanggil untuk menawarkan produk yang terjamin berkualiti, halal dan bersih kepada masyarakat,” katanya.

TOMAHAWK DAN
PORTERHOUSE
Keramahan tuan kedai meraikan kehadiran krew kami, jelas terpamer tatkala menjejakkan kaki ke ruang atas restoran. Dari satu pinggan ke pinggan lain dibawa pelayan, akhirnya tersusun aneka hidangan daging premium memenuhi meja.
“Sebaiknya, mulakan santapan dengan stik angus porterhouse,” kata Sudirman.
Ceritanya, potongan itu antara yang paling rare dan digemari dalam kalangan penggemar daging, kerana ia menggabungkan dua jenis daging berbeza iaitu tenderloin serta striploin dalam sepotong stik.
“Ini potongan yang ter- kenal dengan kelembutan dan keunikan tersendiri, kerana ada dua tekstur berlainan. Teknik memasak juga penting, disarankan agar ia disediakan secara medium. Ini akan mengekalkan kelembutan dan jus, namun cef yang baik akan menghasilkan tekstur yang sedikit rangup berkerak pada bahagian luar,” jelasnya.
Beralih ke pinggan lain adalah wagyu tomahawk. Ini antara hidangan paling cantik di mata. Apa tidaknya, selambak daging memenuhi papan pemotong, disusun cantik sejajar dengan sepotong tulang selangka.
“Ini juga hidangan laku keras di sini. Sudah tentu, selain tekstur luar biasa, ia juga cantik di mata dan sesuai buat yang gemar mengambil gambar makanan. Tomahawk ini bermaksud kapak Red Indian, jadi sudah tentu ia menarik perhatian,” katanya.

WAGYU A5 JEPUN
Namun, hidangan yang paling eksklusif, kata Sudirman adalah stik wagyu A5 Jepun.
“Ini stik menggunakan antara daging paling tinggi kadar marbling. Potongan stik premium ini lebih kaya dan padat dengan ‘bebenang’ lemak yang cantik.
“Rasa dan tekstur lebih lemak berkrim dalam setiap gigitan. Meskipun ada rasa kemewahan berlemak (buttery) yang ketara, namun ia tidak menenggelamkan identiti dan tekstur daging sebenar,” katanya memberi penerangan terperinci.

NIRA KELAPA DENGAN STIK?
Jika restoran lain berebut-rebut menawarkan air aneka jenis, namun Sudirman mengesyorkan kami menyulam rasa daging yang kuat dalam mulut, dengan sebotol nira kelapa. Jelasnya, rasa masam manis nira itu amat sesuai dipadankan dengan daging yang kaya berlemak.
Bagaimana rasanya? Perca­yalah, ia sensasi paling menarik yang bakal dirasai apabila menyudahi hidangan sarat berda­ging dengan seteguk nira masam manis yang sejuk dan menyegarkan.

Kars Fine Meat
and Steak

Lokasi: No.9, off, Persiaran Apec, Cottage Walk, 63000 Cyberjaya, Selangor
Tel: 014-888 8693
Kekuatan: Stik angus porterhouse, stik tomahawk, stik wagyu A5, spaghetti, nira kelapa dibotolkan
Tips: Buat tempahan meja sebelum datang, terutama waktu hujung minggu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya