MELANGKAH masuk ke Restoran Congkak yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur, fikiran terus mengimbau memori di kampung. Mana tidaknya, dekorasi setiap sudut restoran berkenaan ditransformasi sepenuhnya seperti suasana di desa.
Menyuntik elemen tradisional yang ditampilkan alat permainan congkak di pintu masuk sebagai subjek utama dekorasi, menyerlahkan lagi ciri-ciri kemelayuan agar tidak ditelan arus zaman dan pemodenan.
Bertepatan dengan konsep itu, Restoran Congkak menyajikan sepenuhnya menu ala kampung citarasa Melayu nusantara.
Jika anda terlalu rindukan masakan mak-mak di kampung, di sinilah tempatnya. Menikmati hidangan beralaskan kain batik sambil dihiburkan melalui tontonan filem P. Ramlee, membangkitkan lagi suasana masyarakat Melayu pada zaman sekitar 60-an.
Antara masakan istimewa yang anda wajib mencuba adalah rusuk panggang masak hitam. Tulang rusuk direneh dengan rempah ratus semalaman dan dipanggang menggunakan arang serta disalut dengan kuah masak hitam adalah signature utama di sini.
Menurut Chef Eksekutif, Mohd. Firdaus Daud, hidangan terbaik juga disediakan iaitu nasi ambeng lauk gulai ayam dan daging masak kicap amat berbeza dengan kebanyakan nasi ambeng yang biasa disajikan di tempat lain.
Berpengalaman lebih 17 tahun dalam bidang perhotelan dan F&B, beliau yang diberi tanggungjawab sepenuhnya menguruskan Restoran Congkak ini turut menggabungkan konsep Melayu dan nusantara dan ‘digaulkan’ dalam menu di sini.
Tidak lengkap jika hidangan tanpa sayur. Urap campur bukan ‘kaleng-kaleng’ masakan sayur. Ia merupakan campuran sayur yang direbus seperti pucuk ubi, kangkong, lobak merah, kubis, kacang panjang dan digaul dengan serunding kelapa serta ditaburkan tauhu dan tempe goreng.
Sekali-sekala mencuba menu berasaskan lauk itik, pasti tidak menghampakan walaupun anda bukan penggemar unggas itu. Mohd. Firdaus memperkenalkan sajian itik goreng berempah sejak restoran itu dibuka tiga tahun lalu. Diperap menggunakan rempah seperti jintan manis, jintan putih, ketumbar, serai dan kunyit, digoreng dengan api sederhana sehingga masak serata lalu dicecah bersama sambal berlado pasti terangkat.
Satu lagi hidangan yang wajib dalam bucket list anda di sini adalah ikan talapia goreng. Ikan talapia merah diperap dengan kunyit hidup, jintan putih, jintan manis serta bahan-bahan rempah pedas dan digoreng garing dengan minyak panas, dihidangkan pula bersama kicap pedas dan sambal berlado. Memang padu!
Sudah biasa makan nasi putih, apa salahnya mencuba nasi kuning pula. Nasi kuning dimasak menggunakan rempah dan kunyit hidup, menambah aroma serai dan daun pandan pasti tidak mengecewakan.
Pelengkap hidangan, tauhu telur dipukul sehingga sebati dan dituang ke dalam mole semasa digoreng, dihidang dengan sos rojak dan kacang tumbuk, boleh menjadi pencuci mulut anda.
Restoran Congkak merupakan kedai makan milik syarikat rangkaian restoran dan perhotelan, Piccolomondo Gastro sejak 1996 bakal membuka sebuah lagi cawangan di Damansara The Curve tidak lama lagi. Jom singgah!
Congkak
Tel: 019-2897008
Alamat: 24, Jalan Beremi, Off Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Menu memukau: Rusuk panggang masak hitam dan Ikan Wayang.