Kicap cair bahan utama - Utusan Malaysia

Kicap cair bahan utama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mengulit pengalaman bersantap di restoran autentik Jepun yang satu ini, ternyata menggamit memori. Sambil menemu ramah cef, krew Mingguan Malaysia dijamu kudap-kudap negara matahari terbit yang sohor, iaitu gyoza dumpling.
Ladu khas yang sarat inti berprotein dan sayuran itu, bukan kudapan biasa-biasa. Teknik penyediaannya yang teliti, menghasilkan ladu rangup berkerak di bahagian bawah, namun lembut, berjus dan kaya kepelbagaian tekstur pada bahagian atas.
Inti ladu di sini sarat dengan bahan berprotein yang dipadankan dengan aneka jenis sayuran. Ia turut dihidangkan dengan sepiring kecil kicap cicah khas, yang sangat berumami. Ternyata, kicap di sini merupakan kekuatan utama restoran Original Teppanyaki.

50 LITER SEBULAN!
Menurut ketua cef, yang juga pakar masakan Jepun tanah air, Mohd. Yusof Che Mansor, 50, Original Teppanyaki amat menitik beratkan kualiti kicap dalam setiap hidangan.
“Di sini, kami tidak berkompromi bab bahan resipi, terutama kicap. Menggunakan kicap jenama premium yang dicampur ramuan rahsia tersendiri, daya tarikan itu ibarat magnet yang memanggil pelanggan tak putus-putus ke restoran kami,” katanya.
Buktinya, Mohd. Yusof tanpa berselindung memberitahu, restoran itu menggunakan kira-kira 50 liter kicap cair setiap bulan, bahkan adakala lebih.
“Di sini, kami gunakan kicap premium keluaran tempatan sebagai ramuan utama, dan ia diolah dengan ramuan khas kami, sebagai bahan asas untuk hasilkan sos-sos lain. Ini termasuk sos bawang putih bermentega, sos halia serta shogayaki,” katanya lanjut.

HARUM SEMERBAK
Selesai berbual sambil menjamah kudapan ladu yang enak, satu demi satu hidangan lain dihantar ke meja. Paling menarik dari segi persembahan dan kualiti rasa, ialah nasi goreng bawang putih.
Menggunakan beras Jepun yang lembut, berkanji namun wangi, hidangan ini harum dengan rasa beras Jepun yang lemak, yang diadun dengan keenakan bawang putih yang melapisi setiap butir beras.
Uniknya, meski sarat rasa enak bawang putih, namun ia diseimbangkan oleh tekstur ramuan lain yang digaul bersama, menghasilkan dimensi rasa yang menarik dan menyeronokkan saat dikunyah.

HIRISAN DAGING LEMBUT BAK SUTERA
Beralih kepada hidangan lain, cef kemudian mempersembahkan ‘kekuatan’ utama Original Teppanyaki, iaitu sliced beef shogayaki.
Ini ternyata menu yang unggul. Dagingnya sangat lembut bak sutera, senang sahaja ia mencair dalam mulut. Digoreng kilas dengan api kuat, ada sedikit rasa ‘nafas kuali’ atau ‘wok hei’, sekali gus menghasilkan sensasi ‘hangus kuali’ (wok sensation) yang enak luar biasa.
“Di sinilah terletaknya kekuatan kami, kerana daging digoreng kilas bersama kicap shogayaki, yang berasaskan kicap premium khas namun diolah dengan ramuan tertentu. Ini menu paling laku keras, bahkan ada antara pelanggan sanggup datang dari jauh hanya untuk menu yang satu ini,” kata cef.
Meski ringkas, yang hanya bergantung kepada ramuan asas seperti bawang putih dan daun bawang, namun hirisan daging bahagian sirloin itu bergabung dengan sempurna bersama ramuan lain, lantas menghasilkan dimensi rasa yang unik.
Ia lembut bertekstur, dengan rasa umami yang sederhana. Menyeimbangkan hidangan ini adalah daun bawang yang memberi haruman yang ‘ringan’ namun menyelerakan.

HIDANGAN MAKANAN LAUT PREMIUM
Pada masa sama, cef tampil mempersembahkan sepinggan ikan salmon yang disadur sos khas Jepun.
Menu itu adalah teppanyaki salmon ala carte, iaitu kepingan salmon yang dimasak sempurna, rangup di luar namun lembut berjus pada bahagian isi.
Ia menu yang turut mengungguli carta kulinari di sini. Apa tidaknya, isi salmon yang lembut berkeping-keping (flaky) itu, didatangkan juga bersama hirisan bawang putih digoreng rangup. Bayangkan, rasa lemak ikan salmon yang bergabung dengan keharuman bawang putih rangup, disadur pula kicap cair yang ‘ringan’ namun berumami, menu ini nyata bakal membuatkan pengunjung datang berulang kali.

Original Teppanyaki
Alamat: G – 11, Pusat Perniagaan Bangi Avenue, Persiaran Bangi Avenue, Seksyen 2 , Taman Bangi Avenue 43000 Bangi, Selangor.
Harga: Sangat berpatutan dan mesra poket!
Menu memukau: Ladu khas Jepun, Beef fried rice, sliced beef shogayaki

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya