Sensasi menu eksotik aromatik di Shangri-La - Utusan Malaysia

Sensasi menu eksotik aromatik di Shangri-La

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berbaloi! Itu gambaran paling tepat mengenai pengalaman berbuka puasa ala bufet di Restoran Lemon Garden di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur.
Saat baris ini dikarang, terbayang itik panggang yang sarat aroma rempah dan herba Cina, yang apabila disuap maka terpancut dan mengalir segala jus itik yang penuh sensasi membanjiri mulut.
Bahagian kulitnya rangup, wangi dan manis berempah, malah berbunyi ‘kruk-kruk’ macam keropok saat dikunyah. Bahagian isi pula sangat lembut dan kaya aroma itik yang kuat. Isinya kekal bertekstur meski dipanggang untuk tempoh lama. Hasilnya adalah produk itik yang sangat enak dan membuka selera.
Membuatkan menu ini lebih seksi, chef menyadur dua sos berbeza, iaitu sos plum dan cili ke atas kepingan itik. Cuba bayangkan, sudahlah itiknya sangat menggiurkan dengan sensasi aroma ‘asap’ yang mengancam, ia disiram pula sos plum yang masam manis serta diseimbangkan dengan sos cili yang lazat!

PALING SOHOR DI KL
Menurut Pengurus Perkhidmatan Tetamu, Usmarini Amril, 40, Lemon Garden sentiasa meniti di bibir pelanggan sebagai antara restoran paling unggul dalam carta kulinari tanah air.
Kenyataan itu disokong melalui pelbagai anugerah yang diterima restoran yang beroperasi selama 36 tahun itu, yang mana menurut laman klook.com, telah memenangi Tripadvisor Travelers’ Choice, Forbes Travel Guide – 4 Star serta Destin Asian Readers’ Choice Awards 2020.
Dalam konteks bufet Ramadan di sini, Usmarini berkata, restoran ini antara yang menawarkan menu paling meriah, selain kapasiti besar yang terkawal demi mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Meriah di sini bermaksud, kami menampilkan aneka sajian seantero dunia, termasuk makanan laut, makanan Jepun, makanan Cina, tradisional Melayu, menu India, makanan Itali dan Barat serta pelbagai lain,” katanya.

MI MELANTUN-LANTUN
Menyajikan lebih 100 menu yang rata-rata berkelas premium, sebagai penggemar makanan Cina, antara yang paling memukau saya secara peribadi selain itik panggang, adalah laksa nyonya. Kalau ada yang persoalkan, apa istimewanya laksa nyonya di sini? Jawapannya terletak kepada segala aspek bahan dan penyediaan.
Bayangkan, kuahnya lemak berkrim, dan sarat rasa umami makanan laut barangkali ditumis dengan udang kering. Itu menghasilkan kuah yang sangat kaya dengan rasa yang mengasyikkan.
Kebetulan, mi yang dipilih adalah jenis yee mi. Entah yee mi jenis apa yang digunakan, teksturnya melampau-lampau kenyal dan enak, malah ibarat melantun dalam mulut saat dikunyah.

MENU PREMIUM KAW-KAW
Beralih ke hidangan nasi dan lauk-pauk, selain itik panggang di sini yang didatangkan dengan aneka pilihan nasi, menu lain yang sangat menarik perhatian pencinta makanan, ialah ‘Sea Cucumber Fish Maw Braised with Black Mushroom’. Bagi yang arif dengan makanan Cina, ini menu ‘orang kaya’, lantaran ramuan yang premium terdiri daripada gamat dan perut ikan dikeringkan.
Saat paduan gamat dan perut ikan yang sangat bergelatin itu digaul bersama nasi dan dijamah, segera minda tenggelam dalam kenikmatan yang tiada tolok banding. Bagaimana rasa menu eksotik ini? Ia terlalu unik dengan rasa tumis yang ringan, sangat sesuai sebagai pembuka selera sewaktu berbuka puasa.

IKAN STIM YANG
MEMIKAT SELERA
Beralih ke menu lain, yang tak kurang menyengat. Di balik puluhan jenis makanan laut di sini, barangkali tak tertanding dengan ikan bawal stim ala Cina.
Di sini, ikan bersaiz mega itu dikukus dalam sos kicap cair yang ringan dan sarat aroma daun bawang. Kebetulan, chef memberi penghormatan dengan memotong dan menyendukkan bahagian kepala ke dalam pinggan, maka itu melengkapkan lagi pengalaman bersantap menu luar biasa ini.
Isi bahagian kepala ikan itu, yakni bahagian paling terkenal dengan rasa yang enak, terasa sangat lemak dan kaya rasa umami semula jadi. Ia terlalu sedap, sampai habis disedut-sedut segala gelatin yang melekat di kepala ikan itu! – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya