Menu elit cita rasa Asia rai iftar Ramadan - Utusan Malaysia

Menu elit cita rasa Asia rai iftar Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh AMREE AHMAD

MESKIPUN usianya belum lagi genap setahun, namun Casa De Madani ternyata makin meraih tumpuan penggemar hidangan mewah dengan selera tempatan pada harga amat berpatutan.
Terletak cuma bersebelahan kompleks Malakat Mall di Cyberjaya, Selangor, restoran dua tingkat ini yang dibuka sejak Julai tahun lalu, turut bersedia meraikan bulan Ramadan.
Bertemakan Santapan Sepurnama @ Casa De Madani, premis milik Kumpulan Malakat itu malah menawarkan lebih 300 menu elit yang berkonsepkan ala Eropah Moden dengan cita rasa Asia.
Menariknya, setiap pelanggan diberikan enam pilihan hidangan utama istimewa untuk berbuka puasa sepanjang Ramadan dengan keunikan tersendiri dan pengalaman tidak dapat dilupakan.
“Anda cuma perlu bayar harga untuk satu menu utama dipilih itu manakala pelbagai hidangan enak lain yang disajikan di sini boleh diambil secara percuma,” kata Mohd. Shahrul Nizam Zulkifli.
Cef Eksekutif Kumpulan Malakat itu ditemui media selepas sesi uji rasa dirasmi­kan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kum­pulan Malakat, Mohd. Fadzil Hashim di restoran tersebut baru-baru ini.
Restoran berkenaan mampu memuatkan 80 pelanggan dalam satu masa selain mereka akan dihiburkan dengan irama tradisional ghazal dan gambus serta azan dilaungkan secara langsung.
Turut disediakan adalah ruang surau di aras bawah restoran tersebut yang cukup luas, selesa dan berhawa dingin untuk pelanggan dapat menunaikan solat fardu Maghrib selepas buka puasa.
Mohd. Shahrul memberi jaminan bahawa segala hidangan utama walaupun nama kedengaran agak Barat, namun diperakui ‘halalan toyyiban’ berdasarkan hukum syarak.
“Antaranya daging lembu terbaik di dunia iaitu wagyu yang lazimnya dimasak dengan campuran bahan haram seperti arak.
“Tetapi berjaya diubah suai mengikut konsep patuh syariah,” katanya.
Berasal dari Pulau Pinang dengan pengalaman lebih 17 tahun dalam bidang kulinari termasuk sebagai cef kerabat diraja, beliau bersyukur dapat menyajikan daging gred premium Jepun itu.
Wagyu lembu baka terbaik itu diimport khas terus dari negara berkenaan yang diiktiraf halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bahkan dalam bentuk segar dan bukan sejuk beku.
Begitu juga katanya, daging kambing biri-biri dibawa dari New Zealand selain ikan kod terbaik yang ditangkap nelayan Chile dan udang kara segar Borneo serta daging itik import luar negara.
“Mutu makanan dijaga ketat oleh pegawai kawalan kualiti dan secara jujur agak jarang restoran di Malaysia ada menu sentuhan Eropah malah kami lain daripada yang lain,” kata Mohd. Shahrul.
Pernah bertugas di Singapura dan Emiriah Arab Bersatu, beliau berbangga hidangan disediakan ramai cef ternama dan bekas kru kabin Penerbangan Malaysia dengan layanan setaraf di udara.
Beliau yang mahir masakan Jepun, Itali, rantau Mediterranean dan benua Eropah turut optimis, pelang­gan akan berpuas hati dengan hidangan ditawarkan daripada harga serendah RM130.
Antara menu utama itu meliputi Aussie Braised Lamb Shank dan Smoked Duck with Purple Mash, Pan Search Wagyu MB5 with Orange Sweet Potato dan Rack of Lamb with Purple Carrots.
Tidak ketinggalan, Lobster Thermidor duo Spaghettini Aglio Olio, Pan Search Wagyu MB7 with Roast Japanese Sweet Potato dan Oven Baked Aromatic Chilean Cod Fish with Mango Chutney.
Pelanggan juga boleh menikmati segala hidangan pembuka selera termasuk aneka jenis kuih tradisional dan moden, kek, coklat, ais krim, bubur, salad, buah-buahan dan minuman istimewa.
Ia amat sesuai untuk seisi keluarga termasuk anak kecil, namun disebabkan ruang terhad, pelanggan digalakkan membuat tempahan awal dahulu sebelum datang untuk iftar di restoran berkenaan.
Kanak-kanak pula cuma dikenakan bayaran RM50. Mereka yang berminat, boleh menempah dengan hubungi 016-2214961 atau melayari laman sesawang http://casademadani.asia/

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya