Memasuki ruang makan restoran yang satu ini, panorama syahdu menyambut kami. Penataan ruang yang strategik dengan pencahayaan redup, menampilkan suasana makan yang elit dan romantik. Namun menariknya, harga yang ditawarkan pula amat berpatutan.
Itu antara pengalaman bersantap di restoran TTDI Meat Point. Berlatarkan kawasan kelas atasan Taman Tun Dr Ismail, ia sekali gus memberi sensasi gastronomi seakan-akan berada di Third Avenue, New York!
TINGGALKAN
KERJAYA DOKTOR
Menurut pemilik yang juga perancang strategik restoran, Hamzah Faisel, 33, beliau menubuhkan premis makan berkonsep semi-fine dining kerana kecintaan mendalam terhadap bisnes makanan.
Katanya, atas dorongan itu dia sanggup meninggalkan profesion sebagai doktor perubatan dan menubuhkan TTDI Meat Point sejak Jun, 2012.
“Alhamdulillah, walaupun sebelum ini saya belajar bidang perubatan, namun kerana minat berniaga maka saya belajar bersungguh-sungguh selok belok menguruskan restoran.
“ Syukur, ia menampakkan hasil apabila restoran kami mendapat sambutan sangat menggalakkan,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
KONSEP LUAR BIASA
Katanya, meskipun tampil elegan dan mewah, namun kekuatan utama restorannya terletak pada harga berpatutan dan servis yang berkualiti.
“Di sini, harga makanan bermula serendah RM12. Malah setiap pelanggan turut diberikan starter percuma iaitu roti panas homemade.
“Kami percaya, itu adalah kuasa sedekah, yang mana semakin banyak kita memberi maka semakin banyak juga rahmat yang akan dilimpahkan,” katanya.
JUS DAGING
Mengekalkan konsep hidangan berasas daging, restoran ini tampil megah dengan menu premium yang sangat menggiurkan. Saat menyambut kunjungan krew kami, berpinggan juadah sudah tersedia disusun atas meja.
Antara yang paling memukau adalah Angus Rib Eye Steak. Ia merujuk stik bahagian daging dari potongan tulang rusuk lembu.
Menu ini menurut Hamzah adalah yang paling popular, lantaran kesegaran dan kualiti hidangan yang tinggi.
Pengalaman menjamah cebisan stik itu, ternyata membenarkan kenyataannya. Saat potongan itu dikunyah, melimpah dan meleleh jus daging membanjiri mulut, seraya mencetuskan fenomena kulinari yang penuh sensasi!
Bayangkan, setiap kunyahan ibarat mengunyah keju. Ia segera mencair, bukti betapa dagingnya sangat lembut.
RUSUK MENGANCAM
Beralih pula ke hidangan rusuk kambing panggang, Lamb French Rack. Melihat kepingan rusuk yang disusun cantik dalam pinggan putih, itu sahaja pun sudah cukup menaikkan seri hidangan sekali gus merangsang deria penglihatan. Menariknya, hidangan ini disertakan dengan semangkuk kecil garam khas dari Perancis.
Menurut Hamzah, garam kepingan nipis ini dinamakan Maldon Sea Salt Flakes.
“Garam ini melengkapkan hidangan rusuk kambing kami. Ini kerana ia mempunyai tekstur dan dimensi rasa yang luar biasa,” katanya.
Tanpa lengah, kepingan garam berkristal itu ditabur atas potongan daging rusuk kambing, dan saat sahaja ia dikunyah, hampir pengsan dibuatnya dek keenakan rasa yang sangat memukau.
Bayangkan, sudahlah daging itu cukup lembut dan aromatik, ditambah pula rasa umami garam khas itu, ia membuatkan menu itu menduduki kelas tersendiri.
MAKANAN LAUT
Memberi lebih sensasi kepada pengalaman kami, Hamzah turut menjamu sepinggan menu berasas makanan laut, iaitu Meat Point Scallop. Ia adalah kekapis yang dipanggang menggunakan mentega dan disadur rempah Barat yang mewah. Saat cebisan kekapis itu disua ke mulut, segera deria ibarat menari tango tanpa henti dek kelazatannya. Ia sarat dengan haruman thyme, rasa lemak mentega dan kesegaran kekapis itu sendiri.
SAMBUTAN
“Ramai cef terkenal yang menjamu selera di sini, selain juga VIP. Dari mereka, kami banyak belajar teknik untuk menguruskan perniagaan. Ya, saya tak malu mengaku, kami belajar banyak ilmu dari pelanggan kami,” ujarnya menamatkan perbualan. – Mingguan Malaysia