Di sini, kekuatan kami adalah Bapaq Ayam dan Kepala Bapaq Cow,” demikian pembuka bicara pemilik restoran yang satu ini, Iskandar Azaman, 41.
Mendengar mukadimah tersebut, segera terpana untuk memberi ruang otak menghadam kenyataan itu. Rupanya, beliau berkata, itu nama menu-menu popular di Skohns Canteen.
Menurutnya, Bapaq Ayam merujuk menu burger berintikan cop ayam goreng (chicken chop) yang rangup berjus.
“Sementara itu, Kepala Bapaq Cow pula adalah menu stik daging yang digoreng jeluk. Ia diapit roti burger segar, yang ditabur di atasnya onion rings serta sos berperisa yang lazat,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
JANTUNG DAMANSARA PERDANA
Katanya, beroperasi sejak April 2013 di jantung kota Damansara Perdana, itu membolehkan Skohns Canteen memenuhi keperluan masyarakat pelbagai bangsa dan kelas demografi.
Hal ini, katanya memberi peluang bereksperimen dengan menu-menu klasik serta fusion bagi menarik pelanggan, seterusnya menghasilkan hidangan yang menarik, luar biasa dan catchy.
“Selain Kepala Bapaq Cow dan Bapaq Ayam, kami juga menawarkan menu-menu fusion dan klasik yang menarik.
“Misalnya, nasi kerabu kami dipadankan dengan menu fusion iaitu ayam telur masin. Kami juga menawarkan kombo hidangan Barat yang kaya dengan protein dan karbohidrat mengenyangkan. Menu ini sesuai untuk pengunjung yang datang beramai-ramai,” katanya.
ENAK TAK TERPERI
Menikmati juadah yang dijamu, ternyata memuaskan serakah ke tahap maksimum.
Bayangkan, saat pinggan berisi Bapaq Ayam diletak atas meja, hidung segera menangkap bauan harum, lemak dan masam yang sangat menarik. Bau harum dan lemak itu terbit dari kepingan cop ayam rangup yang panas berasap manakala ia diserikan pula dengan sos berasid yang masam manis dan memikat selera.
Kami turut dihidangkan sepinggan menu bernama Country Fried Steak.
Secara peribadi, ini menu paling enak dan luar biasa yang pernah dijamah. Kepingan stik daging yang disalut tepung dan digoreng rangup, sebaik disuap, segera menerbitkan rasa mengasyikkan.
Kerangupan salutan luarnya, ditambah pula kelembutan daging yang berjus dan hangat, pasti membuat siapa sahaja jadi ketagih!
KELANTAN DIADUN HIPSTER
Beralih pula ke satu menu lain yang tak terkalahkan, iaitu nasi kerabu dengan ayam telur masin.
Ia turut didatangkan dengan sos khas yang lemak manis dengan sedikit rasa pedas. Saat menyuap hidangan itu, terasa nyaman tekak ini menelan butiran nasi ditanak empuk yang diharumkan dengan hirisan ulaman Melayu.
Membuat ia jadi luar biasa apabila menu sohor Kelantan ini dipadankan dengan ayam goreng telur masin. Aduh, tatkala isi ayam yang harum dengan sos telur masin itu masuk ke mulut, terbayang bidadari bermain harp, persis bersantap di kayangan.
TRIPLE COMBO
Pada masa sama, Iskandar turut menghidangkan satu menu laku keras iaitu Triple Combo. Hidangan ini didatangkan dengan sekeping stik daging, sekeping stik kambing serta beberapa hidangan berprotein yang mewah dan premium.
Paling memukau adalah stik daging. Ia sangat lembut, malah sewaktu dipotong, meleleh jus daging membasahi pinggan. Menurutnya, perapan yang sederhana membuatkan stik itu punyai ciri tersendiri.
“Kami memang tak berlebih-lebihan memerapnya dengan rempah-ratus. Sebab kami nak mengekalkan rasa sebenar daging,” katanya.
Formula itu ternyata berjaya. Buktinya adalah stik yang sarat rasa umami semulajadi, dengan sedikit sentuhan thyme dan rosemary.
TIPS
Dalam pada itu, Iskandar tak lokek berkongsi tips kepada anak muda yang ingin menceburi bidang bisnes makanan.
Katanya, untuk berjaya seseorang harus memiliki daya tahan yang tinggi, selain kebijaksanaan menguruskan kakitangan.
“Dalam bisnes ini, kakitangan faktor utama jatuh bangun perniagaan. Sebaik menyertai bisnes, mereka adalah sebahagian dari keluarga kita. Maka majikan harus tabah dalam menguruskan hal-ehwal pekerja.
“Maksudnya, kita harus bijak. Kalau terlalu berlembut, barangkali ada kakitangan yang ambil kesempatan. Manakala kalau terlalu keras, mereka angkat kaki. Jadi di sinilah kebijaksanaan kita menguruskan pekerja main peranan,” kongsinya.
HARAPAN
Katanya, beliau berharap untuk memperkukuh jenama perniagaannya dengan cara memastikan kualiti menu sentiasa dijaga ke tahap tertinggi.
“Saya menubuhkan restoran ini dengan titik peluh dan penat lelah. Insya-Allah, demi meneruskan legasi bisnes, saya akan berusaha memastikan setiap hidangan yang terhidang, adalah hidangan yang paling memuaskan setiap pelanggan,” katanya mengakhiri perbualan. – Mingguan Malaysia