Rusuk kambing big bang - Utusan Malaysia

Rusuk kambing big bang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tatkala cebisan daging rusuk kambing panggang yang harum dan lembut disuap ke mulut, segera terkenang kata dialektik sasterawan Eropah, George Bernard Shaw.
Meskipun diketahui sebagai penyokong parti haluan kanan pimpinan Hitler iaitu Nasionalis Sosialis (NSDAP), namun Shaw juga ada sisi romantis.
Buktinya beliau pernah mengungkapkan: “Sesungguhnya, tiada kecintaan yang lebih unggul berbanding cinta seseorang terhadap makanan”.
Ungkapan itu ternyata kena dalam konteks kali ini. Mana mungkin, seseorang tidak jatuh cinta dengan keenakan hidangan di restoran ini.
Tak lain tak bukan, restoran dimaksudkan adalah steakhouse yang paling sohor dalam kalangan penggemar daging. Mengungguli dunia kulinari tanah air dengan wira utama iaitu rusuk anak lembu dan kambing yang penuh aroma, restoran itu adalah Tony Roma’s, cawangan IOI City Mall, Putrajaya.

20 TAN RUSUK SEBULAN
Menurut Pengurus Besar Penjenamaan, Tiong Guat Ci, 41, cawangan IOI adalah paling tinggi dari segi jualan berbanding keseluruhan sembilan yang lain.
Hal ini, katanya, disebabkan ruang makan yang luas serta kedudukan strategik dalam pusat beli-belah popular itu.
Katanya, Tony Roma’s menekankan beberapa aspek sebagai ‘senjata’ menambat pelanggan. Ini termasuk layanan mesra, di samping keenakan menu-menu premium yang disaji.
“Di sini, hero utama adalah rusuk kambing dan anak lembu. Saya percaya, jarang ada mana-mana steakhouse yang boleh menyajikan rusuk selembut dan sesedap ini,” jelasnya.
Membuktikan kenyataan itu, Tiong berkata, secara purata semua cawangan menggunakan kira-kira 20 metrik tan rusuk lembu dan kambing setiap bulan.
“Melalui angka itu dapat memberi gambaran sambutan yang kami terima. Sudah pasti, ia datang dengan tanggungjawab besar. Kami harus pastikan kawalan kualiti yang ketat agar setiap hidangan mencapai standard terbaik,” katanya.
Membuatkan pengalaman bersantap di sini lebih mengasyikkan, layanan yang diterima krew Mingguan Malaysia juga sangatlah meriah. Berpinggan-pinggan juadah premium berasas daging dijamu.
Tak sekadar itu, dipelawanya kami mencuba segala macam jenis minuman serta juadah sampingan. Sambil menghidangkan menu, mulutnya petah memberi deskripsi setiap hidangan, mencerminkan sifat ramah dan keterbukaannya meraikan kunjungan kami.
Di balik sifat ramah dan kemesraan layanan, ia ternyata tak tertanding dengan keenakan juadah yang dihidangkan.
Di atas meja makan tersergam indah berpinggan-pinggan hidangan berprotein yang wangi semerbak dengan aroma barbeku.
Ada Roma Rack iaitu rusuk anak lembu panggang, Lamb Ribs (rusuk anak kambing panggang), Steakhouse Burger serta Combo Meal (terdiri dari rusuk anak kambing serta ayam panggang).
Paling menggamit memori, sudah pastilah rusuk kambingnya.
Bayangkan, lapisan pertama, lemak yang membaluti daging. Itu barangkali bahagian paling enak.
Apa tidaknya, selain mempunyai aroma barbeku yang memukau, ia juga lembut dan sangat memuaskan nafsu makan.
Di bawah lapisan lemak itu pula adalah bahagian daging rusuk. Ini bahagian dengan dimensi rasa yang paling kompleks. Ada kewangian rempah thyme dan rosemary, disulami pula bauan ‘asap’ yang harum, semua itu segera membangkit selera.
Saat disua ke mulut, ibarat letusan big bang yang menghasilkan alam semesta, kelembutan daging rusuk kambing itu segera memberi signal, barangkali ini menu berasas kambing yang paling enak pernah dijamah!

RUSUK LEMBU
Beralih ke pinggan rusuk lembu panggang juga satu nikmat yang luar biasa. Rusuknya lembut, malah hanya memerlukan sedikit kudrat untuk mencairkannya dalam mulut.
Rempah perapannya juga sangat menyelerakan. Selain diharumkan dengan bahan aromatik Barat, ada sentuhan rasa barbeku yang manis dan pedas. Itu semua mencipta satu bentuk pengalaman yang memukau.
Tidak cukup dengan menu berprotein, turut dihidangkan satu menu sampingan yang menurut Tiong, menu paling popular. Menu itu adalah kentang putar.
“Kami tak gunakan serbuk kentang, sebaliknya kentang sebenar yang direbus dan dilecek.
“Kemudian, ia digaul pula dengan hirisan ayam salai (smoked chicken bakon) yang wangi. Ini memberi tekstur menarik,” katanya.  – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya