ACARA larian denai atau trail run banyak memberi sumbangan terhadap pertumbuhan sektor pelancongan di sesebuah tempat seperti Cameron Highlands . Malah aktiviti ini sudah sinonim dalam kalangan rakyat Malaysia yang menjadikan ia sebagai runcation – gabungan perkataan Inggeris running dan vacation iaitu berlari serta bercuti pada masa sama.
Cameron Highlands antara salah satu destinasi yang popular bagi percutian berkonsepkan runcation -menerusi acara tahunan Cameron Ultra (Cultra).
Kebiasaannya, pelari akan datang bersama keluarga atau rakan, berbelanja dan menghabiskan masa beberapa hari sebelum pulang. Malah, ada beza suasana di Cameron Highlands ketika penganjuran Cultra 2024 berbanding hari minggu atau hari cuti lain.
Boleh dikatakan hampir segenap ceruk di Cameron Highlands ada pelari denai sama ada peserta kategori 4 kilometer (km); 14km; 30km; 60km dan 100km.
Justeru, apabila diberi peluang sekali lagi menyertai acara Cultra 2024 , saya fikir perkara ini sangat penting dan perlu dibangkitkan: tentang potensi acara dan penambah baikkan di Cameron Highlands lebih-lebih lagi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 nanti.
Sebab, persiapan rapi membantu dalam menghidupkan industri pelancongan terutama apabila memperkatakan tentang potensi aktiviti berkaitan yang boleh dimasukkan dalam kalendar acara Tahun Melawat Malaysia 2026 termasuk larian sebagaimana Cultra 2024.
PROMOSI DAN POPULARITI CAMERON HIGHLANDS
Apatah lagi dengan penyertaan 2,000 peserta tempatan dan antarabangsa dari 37 negara dalam acara yang memasuki edisi kelapan ini memberi impak besar.
Antaranya Indonesia; Thailand; Singapura; Filipina; Vietnam; Jepun; Perancis; Britain; Jerman; India; China; Australia; Taiwan; Belanda; Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.
Penganjuran sebagaimana Cultra 2024 bagus kerana dengan jumlah peserta dan negara yang terlibat, pulangan hasil dapat dinikmati bukan sahaja negara ini tetapi penduduk setempat.
Paling penting, peserta Cultra 2024 juga menikmati kelainan dan keunikan berbanding pelancong lain apabila dapat melihat Cameron Highlands dalam sudut pandang sisi yang berlainan.
Sebagai contoh laluan denai di Ladang Teh Boh yang terkenal di Malaysia, Air Terjun Robinson dan Kem Sungai Pauh di samping mendaki Gunung Jasar (1,696 meter dari aras laut) dan Gunung Berembun (1,014 meter).
Itu belum lagi cabaran cuaca yang tidak menentu. Sebab itu, saya tidak pelik kalau terjumpa ramai peserta sama yang menjadikan acara ini sebagai acara tahunan termasuk dari luar negara.
Peserta perlu ada ketahanan untuk menduga bentuk muka bumi dan keadaan di sini yang menyajikan cabaran terhadap ketahanan mental serta fizikal.
Sukar untuk menceritakan tentang tahap cabaran denai yang perlu dilalui setiap peserta yang pasti ada episod lutut bertemu dagu bagi sesiapa yang menyertai kategori seperti 30km; 60km atau 100km.
Secara asasnya, tidak banyak kekurangan daripada segi penganjuran. Kalau ada pun rungutan peserta lain, mungkin berkenaan yuran yang dikatakan agak tinggi.
Namun, saya tidak mahu komen disebabkan keperluan dan peningkatan kos lebih-lebih lagi aspek berkaitan logistik.