Kerja ‘gila’ kaki pancing

Kerja ‘gila’ kaki pancing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA tidak boleh nafikan dalam aktiviti memancing hanya dua situasi boleh berlaku iaitu sama ada pulang dengan hasil lumayan atau pulang dengan tangan kosong.

Sebab itulah, memancing menjadi aktiviti dan hobi yang sering kali dipandang sinis bagi mereka yang bukan dalam kalangan peminatnya.

Apatah lagi apabila melibatkan kos dan masa yang telah ‘lebur’ berbanding membeli ikan di pasar. Namun, bagi mereka yang bergelar kaki pancing tegar, kepuasan hakikatnya bukan pada jumlah ikan yang diperoleh, sebaliknya di saat ketika joran disentap dan ditarik ikan bersaiz mega.

SELAIN memancing, Selvakumar turut gemar memasak.

Bagi A. Selvakumar, 40, aktiviti memancing sudah sebati dan menjadi sebahagian daripada jiwanya biarpun perlu bijak membahagikan masa dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Malah, dia yang berpengalaman lebih 20 tahun tidak kisah berhabis wang ringgit demi memenuhi tuntutan hobi serta kegilaannya.

Bagi anak jati Bagan Datuk, Perak ini, banyak pengalaman yang berjaya diperoleh sama ada ketika memancing di dalam atau luar negara.

“Saya masih ingat lagi antara pengalaman yang tidak akan dilupakan adalah ketika memancing di Guam, Amerika Syarikat (AS). Kebetulan salah seorang pelajar saya mempunyai bot di sana dan saya merasakan betapa bertuahnya kerana berpeluang untuk memancing di Lautan Pasifik.

“Walaupun laut bergelora pada masa itu, saya berkeras mahu pergi juga memancing kerana ia akan menjadi satu pengalaman berharga. Malah ada satu ketika saya rasa agak menyesal kerana terlalu turutkan hati dan bimbang dengan keselamatan diri. Namun itulah apa yang dikatakan sebagai minat,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Dia yang berjaya memperoleh ikan belitung atau dikenali sebagai wahi-wahi seberat 10 kilogram (kg) dalam trip tersebut berkata, saiz itu sebenarnya masih dikira kecil berbanding dengan rekod yang pernah ditangkap pemancing lain sebelum ini di Lautan Pasifik.

Selain AS, dia juga pernah mengikuti trip memancing di Kalimantan Utara, Indonesia dan pelbagai kawasan lain untuk memburu game fish seperti toman, jemuduk dan black bass.

Dalam pada itu, Selvakumar yang memasang impian untuk memancing di Hutan Amazon, Brazil satu masa nanti berkata, sehingga kini rekod ikan terberat yang berjaya ditangkap adalah hampir 11 kg.

“Ikan tersebut merupakan spesies black bass atau dikenali sebagai tembaring yang berjaya ditangkap tahun lepas iaitu 10.91 kg.

“Itu pun saya dapat ikan daripada spesies tersebut selepas trip memancing yang kelima di tempat yang sama,” ujarnya.

Kata Selvakumar lagi, kebia­saannya seseorang pemancing itu perlu datang ke tempat sama beberapa kali untuk memahami keadaan persekitaran terutama corak pemakanan, pasang surut air serta cuaca.

“Pulang tangan kosong itu pasti. Bagi saya kalau kali pertama datang dapat ikan, itu rezeki walaupun seseorang itu pernah memburu ikan yang sama di tempat lain.

“Ini kerana memancing walau di mana-mana mempunyai perbezaan dan faktor tertentu. Ia bukan hanya di kawasan semula jadi tetapi di kolam memancing komer­sial,”jelasnya.

Sehingga kini, Selvakumar berbelanja lebih RM50,000 bagi memenuhi tuntutan minat­nya dengan membeli peralatan dan keperluan selain bot.

Walaupun bergelar si pem­buru ikan, Selvakumar hanya membawa pulang spe­sies yang sedap dan sesuai untuk dimakan sahaja.

“Biasanya ikan toman atau saiz yang terlalu besar saya akan lepaskan kembali ke habitat asal kerana bukan semua jenis ikan sedap dimakan.

“Hanya spesies seperti jenahak, jemuduk, siakap atau kerapu saha­ja saya bawa balik untuk dimasak,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya