SAYA seronok melihat ramai yang bercuti ke Pulau Tioman bersama keluarga atau rakan-rakan bagi melihat keindahan alam terutama laut dan kawasan floranya. Keseronakan saya juga timbul selepas sektor pelancong tempatan kembali pulih selain berpeluang menyertai program Start In Tioman (SIT) 2023 baru-baru ini.
Walaupun ini bukanlah kali pertama menyertai program ini, SIT membuatkan hampir sesiapa sahaja akan rasa begitu dekat terutama dalam kalangan peserta sendiri selain peluang mengenali komuniti di Kampung Genting dan Kampung Mukut, antara penempatan popular di pulau ini.
Di samping itu, SIT juga bukan sekadar tempat permulaan untuk menceburi sukan selam skuba atau bersantai bersama keluarga, sebaliknya tempat membina jalinan persahabatan.
Malah SIT menjadi tempat terbaik untuk healing, sebagaimana yang sering kali diungkap anak muda masa kini sehingga sudah menjadi trend.Mengapa saya katakan begitu? Pertama, SIT ada banyak aktiviti yang boleh disertai sesiapa sahaja tanpa mengira had umur.
Di sinilah tempat untuk mereka melakukan aktiviti pendakian, snorkeling dan melihat kehidupan masyarakat kampung di Pulau Tioman secara lebih dekat lagi. Berkumpul dan berkongsi hobi yang sama.
Bukan itu sahaja, walaupun penganjuran SIT ini sudah memasuki tahun ke-14, ia mempunyai kelainan tersendiri daripada segi suasana, tema dan program setiap kali ia diadakan.
Sebagai contoh, pernah dahulu diadakan ‘mini konsert’ dengan melibatkan beberapa ahli kumpulan Wings. Mereka sendiri turut menjadi ikon setiap kali penganjuran SIT beberapa tahun lalu.
Selain itu, turut diadakan aktiviti skuba mengikut tema tertentu seperti mengundi di dasar laut dan kibaran jalur gemilang.
Bagi Pengarah Program SIT, Syed Rizalman Syed Abu Bakar, SIT yang berjaya melahirkan sebanyak 2,000 penyelam setakat ini boleh menjadi medium terbaik memperkenalkan cara hidup masyarakat di Pulau Tioman.
Justeru katanya, beberapa aktiviti tambahan diadakan dalam penganjuran kali ini seperti sukan rakyat, sembang santai bersama Persatuan Selam Skuba Malaysia, khidmat komuniti dan kerja pembersihan sisa dalam dasar lautan.
“Kita mahu peserta yang pulang nanti bukan hanya dapat pengalaman menarik tetapi turut membawa pengetahuan seperti sejarah Pulau Tioman, masakan dan cara hidup masyarakat di pulau ini terutama di Kampung Mukut yang ada cerita tersendiri.
Syed Rizalman memberitahu, SIT adalah acara tahunan dalam kalendar pelancongan Negeri Pahang selain pernah menjadi acara sempena tahun Melawat Malaysia pada 2014.
Sebanyak 96 peserta terlibat dalam penganjuran yang diadakan Damai Tioman Resort dan Willagers Travel & Tours Sdn. Bhd. dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Tioman, Pahang Tourism, Ben Ameen Sdn. Bhd. dan kumpulan rock Wings.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Datuk Idros Yahya berkata, SIT adalah antara usaha untuk menjadikan Pulau Tioman sebagai destinasi utama untuk mengambil lesen selam skuba.
“Pada peringkat awal SIT menyasarkan untuk peserta ambil lesen sahaja. Namun selepas itu, ia sudah menjadi medium kepada alumni untuk berkumpul semula setiap tahun dengan membawa ahli atau bakal penyelam baharu.
“Jadi, di sini kita boleh lihat Impaknya nanti mereka yang berlesen dari Pulau Tioman akan secara automatik menjadi duta kepada pulau ini sama ada kepada keluarga, komuniti atau pihak,” katanya.
Dalam pada itu katanya, pihak TDA juga sedang berusaha untuk menyediakan peralatan kebuk hiperbarik atau dikenali sebagai hyperbaric chamber bagi menyokong semua usaha aktiviti lesen selam skuba dan latihan pihak berkuasa. – Mingguan Malaysia
Pentingnya SIT kepada Pulau Tioman
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOF BAKRI
- 1 Oktober 2023, 5:47 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am