Foto: Iskandar Ishak
SAYA tidak menyangka terdapatnya sebuah pusat Islam yang bercirikan Masjid Nabawi di Sungai Penchala, di ibu negara. Niat asal hanya mahu melihat lebih dekat koleksi berharga dan penting kepada sejarah umat Islam, bertukar kepada sesi lawatan ke pusat tersebut yang siap dibina tahun lalu.
Apatah lagi apabila mengingatkan kembali peranan masjid dan pusat Islam yang memberi sumbangan besar kepada pembangunan syiar Islam, penyebaran ilmu dan ukhuwah sejak dahulu lagi.
Manfaatnya pula bukan sekadar untuk satu generasi, sebaliknya boleh diturunkan kepada generasi seterusnya. Malah dalam setiap aspek sekalipun, masjid dan pusat Islam memberi manfaat keseimbangan antara dunia serta akhirat untuk umat Islam
Pengasasnya, Datuk Abul Hassan Mohamed Rashid berkata, pembinaan pusat Islam itu adalah cetusan idea Habib Umar Muhammad iaitu ulama berpengaruh yang turut memiliki salasilah Nabi Muhammad SAW.
“Pembinaan yang turut dijadikan pusat pembangunan Islam ini diilhamkan dari Masjid Nabawi dan masjid di Tarim, Yaman.“Di masjid ini juga menjadi salah satu lokasi Habib Umar menyampaikan ilmu agama ketika menjelajah ke Asia Tenggara. Dari situlah saya mendapat ilham untuk mengimarahkan lagi agar Islam terus berkembang di tempat ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Apabila diberi peluang melihat dengan lebih dekat, masjid ini turut menjadi tempat pertemuan beberapa nama ulama terkenal dari Asia Barat. Habib Ali Zaenal Abidin antara yang pernah hadir bagi menyampaikan ilmu agama selain berusrah di sini.
Koleksi sejarah Islam, rambut Rasulullah SAW
Di satu sudut dalam pusat tersebut, turut tersimpan pelbagai artifak yang boleh menjadi rujukan umat Islam.
Antara adalah helaian rambut Rasulullah SAW, kitab suci al-Quran lama berusia ratusan tahun, songkok Erdogan, kain kiswah Kaabah dan batu yang dikatakan tempat tidur Nabi Muhammad SAW. Bagaimanapun, Abul Hassan enggan mengulas panjang berkenaan helaian rambut milik Rasulullah SAW untuk mengelak daripada buruk sangka, fitnah atau pertikaian banyak pihak.
Katanya, apa yang paling penting, rambut itu dan koleksi-koleksi lain akan dijaga rapi dalam bilik kaca untuk memastikan ia sentiasa dalam keadaan baik.
“Saya dapat rambut Rasulullah SAW dari Arab Saudi. Sudah puas saya berusaha dan akhirnya ada individu berikan kepada saya. Semuanya tersimpan rapi untuk menyemai perasaan cintakan Rasulullah SAW.
“Akan tetapi saya tidak mahu mengulas secara terperinci. Sekiranya mahu membuktikan ketulenan, ada dipaparkan sijil pengesahan bahawa ia tulen,” terangnya.
Difahamkan, rambut Rasulullah SAW memiliki beberapa ciri tertentu antaranya tidak terlalu lurus dan tidak terlalu keriting.
Ulama perlu diiktiraf
Dalam pada itu, katanya, beliau sangat berharap golongan ulama di negara ini diangkat dan diberikan pengiktirafan.
Katanya, jasa dan pengorbanan mereka bukan sahaja dalam bidang pendidikan, tetapi melibatkan pembangunan negara.
“Ulama terdahulu seperti arwah Tok Kenali, Abdul Rahman Limbong dan lain-lain perlu diberi pengikitrafan sewajarnya daripada pemerintah kerana mereka turut berjuang menentang penjajah demi kemerdekaan.
“Ini termasuk memberi gelaran sebagaimana yang diterima tokoh politik atau tokoh lain yang sama-sama memberi sumbangan kepada negara,” jelasnya.
Tambahnya, apa yang dilakukannya hanya untuk perkembangan umat Islam tanpa ada niat lain.
“Sebab itu, saya bina pusat Islam ini. Kita mengadakan majlis ilmu setiap minggu bermula waktu Maghrib serta terbuka untuk Muslimin dan Muslimat. Makan dan minum turut disediakan.
“Bagaimanapun, ia terhad kepada 700 orang dalam satu-satu masa disebabkan keluasannya. Majlis khas untuk wanita turut diadakan dengan dipimpin seorang ustazah, ” jelasnya.
Beliau berharap segala koleksi yang tersimpan dan pembinaan masjid tersebut dapat membantu meluaskan syiar Islam selain membantu umat Islam dalam aspek perkembangan ilmu selain mempersiapkan diri menghadapi akhirat nanti. – Mingguan Malaysia