KALAU hanya melihat kepada satu sudut iaitu kisah silam, pasti ramai yang berkata, tiada apa yang boleh dibanggakan terhadap bekas penagih dadah disebabkan kesilapan mereka.
Begitulah stigma negatif terhadap bekas penagih dadah yang sukar dihakis dalam kalangan masyarakat dan itulah realiti yang dihadapi mereka sehingga ada kalanya kekal ke penghujung hayat.
Hakikatnya, setiap daripada mereka mempunyai kisah, cabaran dan pengalaman hidup tersendiri dan ada sebahagiannya bukan orang yang ‘biasa-biasa’. Namun, menjadi kebiasaannya, kita jarang bercakap tentang usaha dan kejayaan bekas penagih yang mampu keluar daripada sisi kegelapan dan kesilapan mereka.
Dalam program yang telah dirangka Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), pelbagai manfaat diperoleh bekas penagih dadah yang tidak bergantung kepada rawatan semata-mata.
Antaranya dapat dilihat menerusi pembinaan Sepang Eco-Challenge & Outdoor Recovery Park (i-SCORE) iaitu kawasan rekreasi yang mempunyai pelbagai aktiviti lasak seperti kenderaan lasak pelbagai bentuk muka bumi (ATV), berkhemah, berbasikal dan aktiviti motosikal lasak.
Bertempat di Puspen Sepang, i-SCORE dibina dan diuruskan bekas penagih dadah yang menjalani pemulihan di tempat berkenaan dengan kerjasama kakitangan AADK.
Kewujudan pusat yang mengetengahkan pelbagai aktiviti rekreasi ini sebenarnya dapat memberi pelbagai pendedahan kepada bekas penagih dadah yang berada dalam fasa pemulihan.
Apabila saya diberi peluang melawat, berinteraksi dan melakukan aktiviti di sini, banyak yang boleh dirasakan. Saya dapat mengenali mereka dengan lebih rapat. Hal-hal sebegini biasanya dapat dijadikan panduan untuk kita bergerak pada masa hadapan dan menahan godaan, disebabkan banyaknya jalan untuk lalai melaksanakan tanggungjawab terhadap diri sendiri. Pada masa sama, saya teruja dan timbul perasaan ingin tahu kerana belum pernah rasanya aktiviti sukan rekreasi seperti ATV diadakan dalam tempat pemulihan ketagihan dadah.
Itu belum lagi bercerita tentang tahap kesukaran trek ATV yang agak mencabar dan perlu meredah pelbagai halangan berlumpur terutama ketika musim hujan atau waktu malam. Semua aktiviti ini menjanjikan keseronokan.
Di samping itu, pengunjung juga akan melalui beberapa jenis trek dan kawasan utama seperti tasik, jambatan buluh dan laluan yang agak curam.Segala aktiviti dan perkhidmatan yang diberikan saling tidak tumpah sebagaimana operator sukan lasak di tempat lain dengan harga ditawarkan sangat murah serta berbaloi.
Sebagai contoh, harga untuk ATV adalah RM24 sehingga RM 135 bergantung kepada pakej yang diambil.
Dalam pada itu, Pengarah Puspen Sepang, Nik Muhammad Nik Dir berkata, segala kemudahan di situ dibina oleh penghuni atau dikenali sebagai klien dan petugas pusat berkenaan.
“Dulu kawasan di sini semak samun. Kami bergotong-royong membinanya termasuk trek sepanjang 3.2 kilometer,” jelasnya.
Justeru katanya, orang awam dialu-alukan melakukan aktiviti di i-SCORE dan merasai sendiri pengalaman pelbagai aktiviti lasak yang terdapat di sini selain klien juga berpeluang berinteraksi dengan mereka sebagai pengendali aktiviti tersebut.
“Seratus peratus klien di pusat ini akan terlibat dalam aktiviti itu. Mereka berperanan sebagai pengusaha dan mengoperasikan i-SCORE. Sebagai orang yang mengoperasikan aktiviti, secara tidak langsung mereka ini lebih terdedah kepada segala aspek pengoperasian, penyelenggaraan dan perkhidmatan pelanggan,” terangnya.
Bagi Apek, 32, salah seorang penghuni di pusat itu berkata, pada awalnya dia keliru dan timbul tanda tanya apabila diminta melakukan aktiviti luar dan tidak masuk ke kelas seperti kebiasaan.
“Dulu saya ditempatkan di Puspen Ruan di Raub, Pahang. Apabila ditukarkan ke sini Mei lepas, ia berubah 360 darjah. Kami diajar tentang nilai kehidupan. Memang sakit dan payah pada mulanya untuk membina kemudahan seperti apa yang semua lihat sekarang ini.
“Apabila siap i-SCORE, baru saya faham kenapa pengarah (Nik Muhammad) minta kami melapangkan kawasan hutan di sini. Rupa-rupanya untuk mendapat sesuatu yang amat berharga, kami perlu melakukan pengorbanan dan berusaha keras,” katanya. – Mingguan Malaysia
i-SCORE: Kemampuan, kejayaan bekas penagih dadah jangan diperlekeh
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 29 Oktober 2023, 6:04 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am