MENIKMATI saat anak panah dilepaskan dan terkena tepat pada sasaran memberi satu kepuasan. Ketetapan anak panah yang tepat perlu bersandarkan kepada beberapa perkara termasuk cara bidikan, memasang anak panah dan menegangkan tali penarik.Sudah semestinya sasaran tepat menjadi keutamaan kerana setiap markah akan dinilai berdasarkan panahan tersebut.
Kini sudah banyak pemanah handal dilahirkan menerusi acara panahan tradisional yang semakin mendapat tempat dengan kewujudan banyak kejohanan sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa.
Semua kejohanan ini menjadi medan mencari bakat baharu sebelum diketengahkan untuk pergi lebih jauh lagi. Bagaimanapun, ada kelainan dalam kejohanan memanah tradisional jemputan Bintulu Invitation yang diadakan setiap tahun ini.Saya yang masih ‘hijau’ dalam sukan memanah tradisional dapat merasakan kelainan itu, tidak seperti kelaziman pertandingan yang diadakan. Mengapa saya katakan begitu? Pertamanya, hadiah pemenang bukan hanya dikira daripada pemanah yang menduduki tempat pertama, kedua dan ketiga sebagaimana biasa. Sebaliknya, hadiah yang lebih lumayan disediakan untuk yang menduduki tempat pada angka tertentu seperti tempat ke 15; 22; 31; 33; 55; 99 dan 222 berbanding pemenang tempat pertama dan seterusnya.
Hadiah yang disediakan penganjur lebih bersifat terbuka dan bukan untuk yang handal semata-mata.
Ini format yang menarik. Bintulu Invitation membuka ruang sangat luas kepada peserta bersaing dan dalam masa sama memupuk jalinan persahabatan tanpa mengira latar belakang atau tahap kehandalan setiap pemanah.
Semua peserta berpeluang untuk mengajar dan diajar demi memartabatkan sukan sunnah Rasulullah SAW ini.
Sifat pertandingan Bintulu Invitation santai dalam bersaing dan tidak kepada merebut hadiah kemenangan semata-mata, ia merentasi garis kesukanan demi perpaduan.
Itu belum lagi selingan banyak lagi acara lain sepanjang pertandingan yang diadakan dari 31 Ogos sehingga 2 September lalu. Antaranya, majlis barbeku dan program ziarah ke beberapa rumah ahli jawatankuasa penganjur. Selain itu, diselit acara fun game sepanjang pertandingan yang boleh disertai setiap pemanah dari negeri dan persatuan ini.
Dalam pada itu, menurut Pengarah dan Presiden Assyakirin & Modern Archery (ATMA), Bujang Ham, pertandingan yang diadakan sejak 2015 itu berjaya menjadi pelopor kepada kewujudan sukan memanah tradisional di Sarawak.
“Semangat untuk menganjurkan pertandingan ini timbul selepas melihat banyak kejohanan di negeri tertentu termasuk Selangor pada 2015. Pada masa itu kami hanya jadikan memanah sebagai aktiviti rekreasi.
“Malah di Sarawak pada ketika itu tiada kelab memanah tradisional. Kalau ada pun panahan moden. Selepas itu, ada satu ketika terdapat pelajar madrasah yang berlatih di Masjid Assyakirin dan daripada situ kami terus merancang mengadakan kejohanan peringkat dalaman sebelum dibuka kepada penduduk luar,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Bujang memberitahu sebelum mengadakan kejohanan Bintulu Invitation kali pertama, dia dan rakan-rakan menghadapi beberapa cabaran.
“Pada masa itu, anak panah pun tiada. Jadi, kami beli dari China. Sasaran juga begitu terpaksa diimport. Harga kos penghantaran pula satu masa mencecah RM400.
“Di situlah timbul idea menghasilkan inovasi sendiri. Kami perlu cari alternatif sendiri,” jelasnya.
Pertandingan memanah Bintulu Invitation ini menyediakan beberapa format pertandingan antaranya ATMA Team Descending Challenge; dengan melibatkan lebih 20 kelab antaranya Darul Jariyah, Marine Archery Club, Teku Archery Club, CG Murni dan Penyu Gapete.
Dalam pada itu, salah seorang pemanah Said Hawa Mohd. Salleh berkata, dia yang telah beberapa kali menyertai pertandingan ini dan menyifatkan ia adalah ruang kepada pemanah untuk menjalinkan persahabatan selain menimba ilmu kepada pemanah masih baharu. – Mingguan Malaysia
Kelainan Bintulu Invitation: Antara persaingan dan ukhuwah persahabatan
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 17 September 2023, 3:47 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Syaqiera pecah rekod peribadi aksi kelayakan Olimpik Paris
25 Julai 2024, 11:29 pm
Si-hyeon pecah rekod dunia ketika aksi kelayakan Olimpik Paris
25 Julai 2024, 7:24 pm
Kejohanan memanah terbuka IKAC platform cungkil bakat baharu
2 Jun 2024, 10:03 pm