FILEM Forrest Gump lakonan Tom Hanks mengajar kita tentang bagaimana kesengsaraan bertukar kepada sesuatu perkara yang lebih produktif dan positif.
Dalam disiplin larian, ketabahan dan kesengsaraan itu sudah menjadi lumrah tanpa mengira sama ada ketika latihan atau dalam pertandingan.
Kalau kita faham saling kait antara kedua-dua perkataan ini, ia bukan hanya diterjemah dan diterapkan dalam acara larian, sebaliknya dalam kehidupan seharian.
Justeru, apabila mahu menulis tentang acara larian denai Cultra 2023 baru-baru ini, saya merasakan bahawa dua aspek inilah yang menjadi ‘kunci’ sebenar untuk digunakan sampai bila-bila: bangkit dan tamatkan acara walau berdepan dengan pelbagai dugaan mencabar.
Ada saja halangan yang muncul dan segalanya boleh berlaku dalam acara larian Cultra 2023 di Cameron Highlands ini, apatah lagi apabila membabitkan trek denai yang mempunyai pelbagai bentuk rupa muka bumi.
Lorong yang sempit mendatangkan kesesakan, maka berebut-rebut pelari cuba memotong barisan sehingga adakalanya membahayakan keselamatan walaupun tahu impian naik podium tinggal harapan.
Kebanyakan pelari hanya baru bermula kurang dari tujuh kilometer (km) sebaik dilepaskan daripada garisan permulaan untuk mendaki Gunung Jasar ketika itu.
“Yang penting personal best (PB) dan elak terlebih masa,” kata salah seorang pelari yang menyertai acara 30km ketika cuba-cuba mahu menyelinap memotong barisan.
Bagaimanapun, bukan semua keadaan dan situasi sukar serta mencabar perlu dilalui pelari dalam Cultra 2023.
Kita perlu tahu dan faham untuk menilai aspek lain menerusi penganjuran acara yang diadakan setiap tahun ini.
Sebagai contoh, penanda di setiap laluan boleh dikatakan lengkap dan diletakkan hampir di semua sudut yang boleh dilihat pelari.
Walaupun laluan trek yang digunakan boleh dikatakan hampir sama sebagaimana tahun lepas dan tidak asing bagi peserta lama, penanda atau dikenali sebagai marker ini penting, menjadikan ia sebagai salah satu aspek keselamatan paling dititikberatkan.
Selain itu, pelari dalam acara Cultra 2023 ini kebanyakannya sangat berpuas hati dengan segala penyediaan makanan, minuman dan snek untuk pelari. Tindakan ini adakalanya ‘bahaya’ untuk pelari seperti saya selepas dikaburi dengan ilusi bahawa acara sudah tamat. Walhal masih berbaki lebih 10 km lagi.
Mujur masa tambahan selama satu jam diberikan penganjur bagi memastikan lebih ramai pelari dapat menamatkan larian dalam tempoh masa yang diberikan selain menikmati pemandangan ladang teh yang begitu mengasyikkan.
Dengan ‘diskaun’ yang diberikan ini, risiko dan jumlah pelari yang ‘berputih mata’ tidak menghabiskan larian atau Did Not Finish (DNF) kurang. Namun, satu perkara yang perlu dipelajari terutama pelari yang masih baharu.Perlu ada kekuatan untuk menolak sebarang alasan atau ‘jalan pintas’ di sebalik ‘diskaun’ yang diberikan.
Sebaliknya, pelari perlu mempersiapkan fizikal dan mental menerusi segala latihan selain melatih diri dengan sifat ketabahan serta kegigihan untuk berdepan sebarang kemungkinan untuk acara seterusnya.
Walau apa pun, larian denai yang berjaya menarik penyertaan 2,500 peserta ini bukan hanya untuk golongan pelari semata-mata tetapi turut menyumbang kepada sektor pelancongan di Cameron Highlands.
Malah apa yang paling penting, acara ini juga turut dimasukkan ke dalam kalender acara pelancongan Malaysia oleh Biro Pameran dan Konvensyen Malaysia (MyCEB) pada tahun ini selepas mendapat penyertaan tinggi daripada pelbagai negara luar untuk acara sukan larian denai ultra.
Bayangkan, peserta dari 36 negara secara tidak langsung menjadi ‘duta’ kepada tempat pelancongan terkenal di Malaysia.
Kalau tahu potensi yang ada pada Cameron Highlands dan Cultra, jangan dirosakkan lagi dengan pencerobohan dan penerokaan hutan sesuka hati di kawasan tanah tinggi.
Semoga tahun depan kita semua diberi kesempatan dan dikurniakan kesihatan yang baik untuk menyertai acara Cultra lagi. – Mingguan Malaysia
Cultra 2023: Berlari ikut rentak kaki, fitness sendiri
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOF BAKRI
- 6 Ogos 2023, 5:16 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am